Support My Blog

Tuesday, March 2, 2010

PULASAN


PULASAN (Nephellium mutabile) merupakan sejenis buah nadir yang kini mula dikenali ramai. Pulasan merupakan sejenis buah-buahan yang berasal dari Malaysia yang mempunyai ciri-ciri seperti Rambutan. Pulasan (Nephelium mutabile) adalah berbeza dengan buah Rambutan (Nephelium lappaceum) walau pun keduanya adalah dari keluarga Sapindaceae. Pulasan saya dapati mempunyai nama daripada kata "PULAS" kerana perbuatan untuk membuka buah ini adalah secara memulas buah tersebut. Pulasan termasuk dalam kategori buah nadir di Malaysia. Tanaman ini dulu ditanam secara suka-suka dikeliling rumah dan mula di komersialkan sekitar tahun 1980'an di Selangor, Terengganu dan Negeri di Johor (Daerah Muar). Penulis mempunyai pengalaman menjaga dusun pulasan di Pusat Pertanian Tangkak, Johor dan melawat beberapa kebun pulasan di Muar dan Batu Pahat, Johor. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah pulasan yang kini mendapat perhatian beberapa petani untuk menanam secara komersil bagi dijadikan bahan rujukkan anda.


Pulasan merupakan tumbuhan buah tropika yang merupakan pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 15-20 meter dan ukurlilit batang sehingga 30-40 cm jika tidak dicantas. Pulasan mempunyai dahan yang rimbun dan daun berwarna hijau gelap. Biasanya pembungaan aktif selepas musim kemarau dan di Johor buah mulai masak pada Jun - Ogos setiap tahun. Bunga pulasan terbentuk dihujung pucuk secara jambak dan masaalah utama bagi buah pulasan ialah Proses Pendebungaan. Kajian penulis di sekitar Daerah Muar dan Pusat Pertanian Tangkak mendapati, pokok yang tidak mempunyai sistem pengairan sempurna ketika berbunga kurang berjaya membentuk buah (Kurang dari 15% kejadian buah). Jadi untuk memberikan peratus pembentukkan buah yang tinggi (Kadar lebih 60%), saya syorkan sangat perlu dipastikan cukup baja organik dan bekalan sumber air. Sebaiknya pokok pulasan mempunyai sistem pengairan titis yang dipasang setiap pokok terutama ketika musim berbunga dan musim kering.

Anak benih pulasan boleh di perolehi daripada kaedah mengetut (Marcotted) dan juga benih dari biji (Kurang disyorkan untuk ditanam -lambat). Benih yang mempunyai bilangan daun lebih 8 helai dan akar yang sihat di tanam dalam lubanag penanaman berukuran 2 kaki x 1.5 kaki x 2kaki. Siram anakbenih pokok selepas tanam. Varieti atau Klon yang di syorkan ialah dari Jenis AH HOCK yang mempunyai nilai pasaran yang baik dan penghasilan lebih tinggi. Baja asas seperti tanaman buah rambutan adalah terdiri daripada baja NPK 15:15:15 di berikan dengan kadar 100 gram/ pokok/ tahun dan kapor GML 500 gram/ pokok/ tahun pada tahun pertama dan di naikkan berperingkat2 mengikut tahun. Baja organik (Tahi Ayam) diberikan sebanyak 10 kg/pokok setahun. Buat cantasan pembentukan supaya pokok tumbuh seimbang dan buang dahan-dahan rosak. Kawalan rumpai dengan manual atau racun rumpai seperti Glufosinate ammonium dengan kadar 132 ml/18 liter air. Baja buah NPK 12:12:17:2 diberikan selepas 3 tahun penanaman dengan kadar 150 gm/pokok/tahun bersama baja organik.


Antara perosak tanaman pulasan peringkat awal penanaman seperti belalang, kumbang makan daun, ulat makan pucuk dan kumbang. Musuh buah masak ialah tupai, keluang dan binatang pemakan buah. Buah juga boleh di serang Kulapuk Hitam (Meliola nephelii) yang boleh dikawal dengan racun white oil (Kadar 20 ml /liter) dan musnahkan koya (agen pembawa). Kejadian dahan sekah atau patah sering berlaku jika buah terlalu banyak dan dahan terlibat perlu di ikat dengan tali. Buah pulasan yang masak dikenali apabila warna buah berwarna merah pekat dan boleh dituai dengan pisau. Buah di gredkan dan dikumpulkan untuk dipasarkan. Buah pulasan tahan sehingga 10 hari tanpa masuk bilik sejuk. Harga jualan di ladang antara RM 3.00 - RM 4,00 sekilogram.


Kajian penulis mendapati terdapat seluas 1,355 hektar tanaman pulasan di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 4,630 metrik tan pada tahun 2009. Kawasan utama tanaman pulasan Malaysia ialah di Daerah Ulu Langat, Selangor (314 hektar), Daerah Dungun, di Terengganu (242 hektar) dan Daerah Muar, di Johor (175 hektar). Di Negeri Johor sahaja terdapat seluas 606.25 hektar tanaman pulasan iaitu seluas 175 ha di Muar diikuti dengan Segamat (137 ha), Kota Tinggi (84.3 ha) dan Pontian (62 ha). Kebanyakan buah pulasan dijual untuk pasaran segar. Buah pulasan adalah jenis buah bermusim dan kini ia telah dikomrsilkan dan dijual di Pasar Malam, Pasar Tani, Pasar Basah malahan kini ada dijual dalam Pasaraya Besar yang mendapat harga lebih baik. Kepada petani yang hendak menanam pulasan adalah dinasehatkan untuk mendapatkan anakbenih tulin berkualiti yang disahkan oleh Jabatan Pertanian dan mendapatkan kursus teknikal sesuai dengan tanaman ini yang dijangka mendapat permintaan yang baik dimasa akan datang. Wasallam!

MAKAN PULASAN... PERLU DI PULAS...
TANAM PULASAN ... HATI AKAN PUAS...
BELI PULASAN ..... MACAM ADA KELAS...
TEKNOLOGI PULASAN... BACA MALAS...

By
M Anem

Senior Agronomist
Precint 11
WP Persekutuan
Putrajaya
Malaysia

(Kemaskini pada 24 Jun 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...