Support My Blog

Sunday, July 18, 2010

Pitaya Langkawi

Kebun Pitaya di Kg Batu Bukit Putih Langkawi yang subur dan sihat.


Pitaya (Hylocerus undatus) merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang sangat popular pada awal tahun 2000 dan merupakan tanaman baru yang menjadi minat ramai usahawan. Kini terdapat lebih 2,510 hektar tanaman pitaya diseeluroh negara dengan jangkaan pengeluaran melebihi 9,700 metrik tan pada tahun 2010. Penulis baru sahaja melawat dan membuat tinjauan teknikal projek tanaman pitaya di Pulau Langkawi yang berjaya dan mampu mengatasi masaalah serangan penyakit reput pucuk oleh serangan Kulat Erwinia spp. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Pertanian Daerah (En Supendi b Dol) dan Pembantu Pertanian kawasan. Jenis pitaya yang diusahakan ialah Jenis Merah. Difahamkan Hotel-hotel di Langkawi hanya menerima pitaya Jenis Putih sahaja. Kenapa?..... Pitaya Merah didakwa menyebabkan warna merah yang terkena baju tetamu, alas tilam, alas meja, Cadar sukar dibuang.....


Kebun Encik Cheah Chan Hong seluas 3 ekar terletak di Kg Batu Bukit, Jalan Air Hangat Langkawi ditanam pitaya semenjak 3 tahun lalu. Benih pitaya jenis merah diperolehi daripada pembekal benih dari Johor dengan harga RM 8.00 satu keratan pada tahun 2007. Setiap tiang ditanam 4 keratan benih dan tiang simen setinggi 4 kaki yang di letakkan tayar di bahagian atas seperti amalan biasa. Sistem pengairan tidak ada dipasang tetapi terdapat parit diantara beberapa barisan tanaman yang mengalirkan air dari bukit. Sebahagian barisan tanaman di pasang struktur pelindung matahari dengan jaring berwarna hitam (Foto diatas). Kata En Cheah tujuan pelindung netting adalah untuk melindungi pokok terutama pada musim kemarau dan musim panas pada bulan Jan-Mac setiap tahun. Jaring ini dapat mengurangkan kerosakan pada tanaman dan buah akibat panas terik dan cuaca yang sangat kering. Teknologi ini sesuai untuk negeri-negeri di utara semenanjung yang mengalami cuaca panas pada bulan tertentu.


Perkara yang menarik tentang tanaman pitaya En Cheah ialah kejayaan beliau mengawal penyakit reput oleh serangan kulat Erwinia spp. Teknologi kawalan daripada pakar pitaya dari Pulau Pinang (Saya melawat kebun di Pulau Pinang keesokkan harinya) dengan penggunaan Mikroorganisma yang berasal dari USA (Kata Cheah dari Taiwan) dan Pakej Teknologi Kawalannya. Semburan dengan larutan mikroorganisma dibuat dengan kepekatan 40%,30% dan 20% selama 4 bulan berturut2. Kekerapan semburan sebanyak 2 kali sebulan dan anggaran kos untuk kawalan sebanyak RM 1,000 seekar. En Cheah membelanjakan lebih RM 3,000 untuk kawalan penyakit menggunakan teknologi ini.

Kawalan rumpai ladang ini menggunakan mesin pemotong rumput. Kawalan racun rumpai digunakan untuk tepi-tepi kebun dan laluan jalan kebun sahaja. Selain daripada semburan Mikroorganisma, En Cheah memberikan Baja Tahi Kambing (1-2 kg sepokok), Baja Abuk kayu Getah, Baja Ikan Sisa Bilis dan NPK 12:12:17:2 (sedikit sahaja). En Cheah mendakwa ladang pitaya beliau 100% adalah Ladang Organik. Baja Foliar pernah digunakan tetapi bulan amalan regular. Terdapat serangan lalat buah, monyet dan tupai dibeberapa bahagian tepi kebun yang dikawal secara manual.


Kebun ini mengupah 2 pekerja tetap dan 2 lagi adalah buruh keluarga. Penghasilan pitaya diladang ini sebanyak 3-4 metrik tan sebulan tetapi musim ini dijangka meningkat sebanyak 6 metrik sebulan setelah kawalan penyakit berjaya dibuat. Hampir 90% buah di pasarkan ke Pulau Pinang yang dihantar melalui Ferri Kuah-Pulau Pinang setiap 2-3 hari sekali. Buah keluaran kebun ini di gredkan mempunyai 5 gred iaitu Gred A++, Gred A, Gred B, Gred C dan Gred D. Gred A++ adalah untuk kegunaan sendiri dan khusus untuk rakan-rakan dan untuk sembahyang sementara Gred A dijual dengan harga RM 5.00/kg, Gred B (RM 4.00/kg), Gred C (3.00 /kg) dan Gred D dengan harga RM 2.50 /kg. Kesemuannya adalah untuk pasaran segar dan belm ada yang diproses dari ladang ini. Tidak ada massalah pasaran ketika ini malah permintaan buah pitaya sangat tinggi katanya.


Kebun Pitaya Encik Cheah di Langkawi merupakan satu contoh kebun yang berjaya dalam mengawal serangan penyakit reput menggunakan teknologi dari Pulau Pinang. Semua pihak sepatutnya mampu mengadaptasi teknologi tersebut sebagai salah satu alternatif dalam teknologi penanaman pitaya. Pelbagai usaha perlu dibuat untuk menjayakan penanaman pitaya yang mana telah mula merudum ketika ini akibat serangan penyakit.


TANAM PITAYA... DI PULAU LANGKAWI...
KEBUN DIJAGA.... DENGAN RAPI....
HASIL DIJUAL...MAHAL SEKALI...
MAKLUM SAHAJA...BUAH BERKUALITI


By
M Anem
Baron Hotel, Langkawi
Kedah
Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...