Support My Blog

Friday, April 29, 2011

KURMA


KURMA (Phoenix dactylifera) atau 'Date Palm' dari keluarga ARECACEAE merupakan sejenis tanaman yang hidup semenjak beribu tahun dulu di kawasan gurun di Arab Saudi, Timur Tengah dan kawasan Benua Afrika Utara yang di gunakan sebagai sumber makanan utama penduduk di negara-negara tersebut. Umat Islam yang telah pergi ke Arab Saudi pastinya tidak lepaskan peluang untuk melihat pokok-pokok kurma yang di tanam di tepi jalan dan juga di sekitar masjid-masjid serta tempat rombongan jemaah berziarah. Kita di Malaysia pun memang merupakan pengguna dan makan kurma terutama di bulan Ramadan setiap tahun sebagai hidangan yang amat di perlukan. Semasa saya ke Arab Saudi dulu pada tahun 2000 pun memang berpeluang melawat kebun kurma di Masjid Qubaa' dan amat suka membeli dan makan buah kurma segar yang dibeli dipasar kurma yang sangat lazat dan murah. Boleh kata kalau ada kesempatan akan membeli kurma segar terutama ketika di Madinah. Artikel kali ini saya akan berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kurma berdasarkan pembacaan dari beberapa buah buku dan rujukan dalam laman sesawang serta pengalaman semasa di tanah Arab Saudi pada tahun 2000 dan lawatan sambil kerja dengan Ketua Pengarah Pertanian masa itu (Dato Soffian) ke Dina Farm, Cairo di Mesir pada tahun 2005.

Pokok kurma sekali pandang macam pokok kelapa sawit yang banyak tumbuh di Malaysia dan yang tua macam pokok kelapa. Pokok kurma dipercayai berasal dari kawasan Teluk Parsi yang sesuai hidup di kawasan panas, kering yang panjang dan mempunyai sumber pengairan. Tumbuhan ini kemudian di sebarkan ke Sepanyol dari Lembah Sg Nil, Sudan dan ke benua Tropika Amerika ( Arizona dan California). Sebanyak 6.9 juta metrik tan buah kurma dihasilkan setiap tahun dengan pengeluar utama dunia iaitu Mesir (1.33 juta mt/tahun) , diikuti Iran (1.0 juta mt/tahun) dan Arab Saudi (0.89 juta mt/tahun). Negara lain yang banyak menghasilkan kurma adalah UAE, Pakistan, Algeria, Iraq, Sudan, Oman dan Libya. Semasa kita melalui padang pasir dari kapalterbang, ita akan melihat bulatan atau titik-titik hijau atau gelap diatas padang pasir dan sebenarnya itu adalah kawasan oasis yang di tanam dengan kurma atau tanaman makanan yang lain.

Tumbuhan kurma sesuai tumbuh di kawasan yang mempunyai iklim yang panas serta kering dalam waktu cukup panjang untuk pengeluaran bunga serta proses pendebungaan dan pembentukkan buah. Ianya perlukan suhu melehihi 30 darjah selsius atau lebih tinggi lagi. Kajian mendapati pokok kurma juga tahan pada suhu sejuk walau pun jatuh atau kurang dari 0 darjah selsius. Pokok kurma sesuai hidup dalam pelbagai jenis tanah walau pun sangat beralkali asalkan kering dan 'aerated' dan tidak sesuai dikawasan lembab. Dikawasan yang ada sumber air bumi akan di pam naik sesuai untuk tanaman kurma sehingga timbul peribahasa " Pokok kurma perlukan air dikakinya dan panas terik (fire) di atasnya untuk hidup'. Pokok kurma yang di tanam di Bulatan Sg Abong Bandar Maharani (Muar) Johor dulu sering menghasilkan buah berwarna kuning tetapi tidak sempat masak betul dan kini telah di tebang pada tahun 2007 kerana di buat kedai...sayang sungguh!

Pokok kurma tumbuh menegak dengan batang yang juga seperti batang kelapa sawit setinggi 15-25 meter. Pokok ini tidak bercabang bagaimana pun ada tunas anak yang keluar dari pangkal pokok. Anak pokok ini di potong untuk di buat anak benih atau bagi meningkatkan kesuburan pokok. Akar pokok kurma adalah akar serabut yang berwarna coklat gelap dan panjang seperti tali dari perdu pokok. Akar ini tersebar di atas tanah keliling pokok dan panjang yang kadang-kadang berlaku simbiosis dengan Kulat Mycorhiza. Daun yang tumbuh menyerupai 'payung' di bahagian pucuk mempunyai purata 100 helai daun iaitu 10-20 lai daun setiap pelepah. Pelepah keluar secara SPIRAL dengan daripada bahagian apikal yang aktif. Pelepah dewasa sepanjang 3-7 m panjang berwarna hijau kelabu dan tebal serta tangkai yang keras yang tirus dihujungnya. Panjang Lai daun 20-40 cm setiap satu dengan kedudukan bersilang yang mempunyai bilangan, saiz dan ukuran berbeza-beza mengikut varieti.

Pokok kurma jenis 'dioecious' walau pun pokok jantan dan betina nampak serupa. Pakar akan dapat membezakan pokok jantan dan betina semasa pokok kecil atau tampang. Bunga Jantan dikeluarkan sebanyak 100-150 jambak berukuran sepanjang 12-15 cm sementara jambak bunga betina kecil sedikit iaitu berukuran 30-50 cm sahaja. Jambak ini ditutupi dengan lapisan upeh sebelum terbuka. Apabila cukup masa, bunga betina keluar dengan 6 'perianth segments' berukuran 1 cm panjang yang ada 6 stigma. Pendebungaan kurma dijalankan dengan cara berbantu oleh manusia. Petani lelaki akan memanjat pokok dengan menggunakan tangga dan menyemburkan debunga kepada bunga betina. Kadar pokok ialah dimana 1 pokok jantan boleh digunakan debunga untuk 100 pokok betina secara komersil. Debunga yang dikutip boleh disimpan selama beberapa tahun dan masih segar untuk proses pendebungaan dengan kaedah penyimpanan yang betul. Jika berlaku 'pendebungaan silang' akan menjejaskan kualiti dan keseragaman buah yang dihasilkan.

Selepas proses pendebungaan , petani akan mempastikan tangkai jambak tersebut akan membengkak membentuk buah. Setiap jambak dan tandan biasanya ada 10-30 tangkai buah yang ada beberapa biji buah kurma (Lihat foto sebelah). Buah kurma adalah mempunyai satu biji benih dikelilingai dengan isi dan kulit buah yang sangat manis berukuran 2-8 cm panjang dan 6-8 mm garispusat bergantung kepada varieti. Buah muda berwarna kehijauan akan bertukar kepada kuning, merah dan merah gelap kehitaman jika cukup matang. Buah kurma mengandungi glukos, fruktos dan sukros yang sangat tinggi dalam isi buah. Bahan ini memberikan tenaga yang sangat tinggi kepada manusia iaitu sebanyak 230 kcal (760 kJoule) dan banyak Vitamin C untuk kesihatan jika di makan segar.

Terdapat 3 jenis kurma yang di tanam iaitu Jenis Lembut (Soft - Varieti Barhee, Halawee, Kadrawy dan Medjool), Jenis Separa-Kering (Semi-Dry - Varieti Dayri, Daglet Noor dan Zahidi) serta Jenis Kering (Dry - varieti Thoori). Penanaman kurma boleh menggunakan biji benih yang disemai dimana kaedah akan ini memberikan 50% pokok betina dan sebahagian lagi pokok jantan. Lazimnya baki penanaman akan menggunakan keratan atau sulur pokok betina biasanya dari varieti Medjool yang buahnya berkualiti dan manis. Pokok kurma yang ditanam dengan keratan akan akan berbuah selapas 2-3 tahun di tanam dan dijaga amalan agronominya. Isu kawalan rumpai tidak ujud dikawasan tanaman kurma tetapi pembajaan perlu dijalankan. Antara penyakit yang menyerang pokok kurma adalah serangan Penyakit Bayoud disebabkan kulat jenis Fusarium oxyporium.

Buah kurma yamg masak akan dituai dalam 4 peringkat mengikut amalan tradisi di Saudi Arabia. Peringkat pertama apabila Masak Muda (Unripe - 'Kimri' dalam bahasa arab), Masak (Full size - 'Khalal'), Matang (Ripe - 'Rutab') dan Masak Kering (Sun dried - 'Tamar'). Saya sejak kecil cuma faham dan dengar 'BUAH TAMAR' sahaja, rupa-rupanya ia dari kategori keempat iaitu buah kurma yang telah masak kering diatas pokok atau telah diproses menjadi buah kurma kering. Bagaimana pun pun kini saya dah dapat makan kesemua 4 kategori buah kurma tersebut semasa di Arab Saudi dan di Mesir. Kandungan air dalam buah kurma adalah sedikit sahaja dan apabila buah kurma dikeingkan dibawah sinaran matahari maka kandungan vitamin C akan berkurangan.

Pokok kurma akan berbuah selepas 4-7 tahun selepas ditanam diladang. Cepat atau lambat pokok berbuah bergantung kepada kaedah penjagaan, keujudan bekalan air pokok, penjagaan dan varieti yang ditanam. Lazimnya pokok akan dituai hasilnya secara komersil selama 7-10 tahun sebelum pokok jadi terlalu tinggi dan dibuat penanaman semula. Pokok yang tinggi sukar untuk membuat proses pendebungaan dan pengutipan hasil kelak. Pokok kurma dewasa mampu menghasilkan sebanyak 80 - 120 kg buah sepokok satu musim walau pun proses menuai tidak serentak (berperingkat2). Buah yang matang dikutip akan yang belum matang akan di bungkus semula untuk mengelakkan serangan burung. Kebanyakan buah yang di ekspot keluar negara adalah buah kurma jenis kering dan ianya tahan lama dalam penyimpanan. Buah segar boleh di beli di Hypemarket di Malaysia tetapi...Harganya sangat mahal.

Khasiat dan kegunaan buah kurma memang tidak perlu cerita lagi. macam-macam produk berasaskan kurma di hasilkan daripada produk minuman, serbuk, sirap, jus, kordial, kosmetik, makanan kesihatan dan lain-lain. Buah kurma dipercayai dapat menyembuhkan demam, batuk, diaheria, mengurangkan kepanasan badan dan banyak lagi. Kandungan Tanin yang tinggi didapati mampu membersihkan saluran usus penghadaman dan melancarkan pengaliran darah. Walau pun di luar bulan ramadan agak sukar untuk dapatkan buah kurma, tetapi jika kempunan boleh beli dibeberapa outlet di Malaysia...Tunggulah bulan Ramadan nanti, akan melambak-lambaklah buah kurma di jual dan yang best sekali dapat free...

POKOK SAWIT....POKOK KURMA....
DARI JAUH...MACAM IANYA SAMA..
BUAH SEGAR ...AMAT LAZAT RASANYA...
KENA PERGI LAGI ..KESAUDI ARABIA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(12 Ramadan 1433H))

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...