Support My Blog

Sunday, July 10, 2011

INDUSTRI BENIH MALAYSIA

INDUSTRI BENIH DI MALAYSIA merupakan satu industri yang tidak banyak di bincangkan oleh pemain-pemain industri. Benih tanaman industri seperti tanaman getah, kelapa sawit, koko, tembakau dan kenaf telah stabil dimana  usahawan dan pihak swasta yang mengeluarkan anakbenih tersebut secara komersial. Pengeluaran benih untuk tanaman makanan bagaimana pun tidak begitu ketara penglibatan pihak swasta dan usahawan kerana pelbagai faktor dan masaalah. Industri benih di Malaysia perlu di fikirkan bagaimana untuk mendapatkan varieti baru dan diedarkan kepada para petani dengan kuantiti, kualiti dan jaminan serta dalam isu Keselamatan Makanan untuk Negara (National Food Security). Artikel ini saya akan membincangkan serba sedikit mengenai status industri benih negara (National seeds industry) berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan perbincangan dengan beberapa pemain industri ini dalam negara.


Benih sebagai senjata.
Industri Benih di Malaysia adalah terlalu kecil iaitu sekitar RM 32 juta setahun bagi sektor tanaman makanan dan tidak termasuk sektor tanaman industri. Nilai ini adalah terlalu kecil berbanding dengan nilai industri benih dunia yang bernilai RM 98 billion setahun (iaitu cuma 0.000325% sahaja). Industri benih dunia kini di punyai oleh beberapa negara maju seperti USA, Jerman dan Jepun dengan beberapa syarikat gergasi seperti Mosanto, DuPont, Sygenta,Sakata, Takii dan sebagainya. Hanya 10 syarikat sahaja sudah menguasai 67% pasaran benih dunia iaitu berjumlah USD 14.7 billion setahun. Benih juga telah dijadikan satu perdagangan yang berkait dengan monopoli dan keselamatan dunia yang berkait dengan 'Food Security'. Negara yang mengawal benih juga ditakrifkan juga sebagai mampu mengawal dunia selain daripada senjata peperangan. 


Sektor pengeluaran benih untuk tanaman industri seperti anakbenih kelapa sawit, getah dan koko pada tahap maju dimana terdapat bekalan dan klon-klon baru yang mencukupi untuk keperluan negara. Bekalan anakbenih kelapa sawit di buat oleh syarikat besar, estet , pihak swasta persendirian dan usahawan yang berdaftar dengan pihak berkuasa (MPOB). Biji benih kelapa sawit di kawal pengeluarannya dengan proses kacukan antara DXP oleh pengeluar-pengeluar biji benih yang bertauliah dan mempunyai pokok induk. Biji benih berkualiti akan di semai dan di masukkan dalam polibeg sehingga ke saiz anakbenih yang sesuai untuk ditanam di ladang atau dijual dipasaran. Anggaran pengeluaran anakbenih sawit lingkungan  2.5 - 4 juta pokok setahun. Harga jualan runcit sepokok anak benih antara RM 6.00 - RM 16.00 sepokok bergantung kepada saiz anak benih dan jumlah serta jarak pengangkutan.


Benih bagi tanaman getah dikeluarkan oleh nurseri yang berdaftar dengan LGM atau dihasilkan sendiri oleh syarikat yang bertauliah. Penanaman getah adalah dibawah bidangkuasa RISDA dari segi penanaman baru atau penanaman semula. Lazimnya untuk proses penanaman semula getah pihak RISDA akan menggunakan bantuan penanaman semula termasuk kos dan bekalan anakbenih dan baja. Sebanyak 1.0-2.5 juta anak pokok getah dari klon yang sesuai dihasilkan oleh pembekal yang berdaftar dengan RISDA. Industri penanaman getah seluas 1.021 hektar pada tahun 2010 adalah jauh berkurangan berbanding dengan seluas 1.547 juta hektar pada tahun 1998. Kadar penanaman semula getah setiap tahun antara 7 - 15% setahun.


Tanaman koko pernah menjadi satu industri yang maju pada awal tahun 1980'an sebelum serangan teruk oleh UPBK yang telah menyebabkan industri ini terjejas teruk. Industri tanaman koko kini dibawah kelolaan Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang aktif terutama di Sabah, Johor, Perak dan Selangor iaitu tanaman koko di bawah kawasan kelapa. Pengeluaran benih koko dikawal oleh LKM dengan mengujudkan usahawan pengeluar anakbenih koko yang di daftarkan dengan LKM. LKM akan membekalkan bijibenih koko berkualiti untuk disemai dan matatunas dari klon KKM yang di syorkan untuk di cantum dengan anakbenih. Apabila cukup umur anakbenih akan diedar atau dijual kepada petani penanam koko yang mendaftar dengan LKM. Sebanyak 500,000 - 1.0 juta anak benih koko dihasilkan setahun.


Benih padi sah.
Industri Benih Padi merupakan satu industri yang telah maju dengan dahulu di terajui oleh Jabatan Pertanian. Mulai 2010 pengeluaran benih padi telah pun diswastakan oleh Kementerian Pertanian kepada beberapa syarikat yang dilesenkan oleh MOA untuk mengeluar dan mengedarkan benih padi kepada semua pesawah di seluroh Semenanjung Malaysia. Benih padi di Sabah dan Sarawak masih dibawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri. Pengeluaran benih padi sebanyak 40,000 - 48,000 metrik tan setahun dihasilkan dari Ladang Benih Padi yang telah di periksa oleh Jabatan Pertanian. Bekalan benih padi untuk keperluan negara pada masa ini adalah mencukupi. Varieti padi yang banyak dihasilkan sekarang adalah MR 219, MR210 dan beberapa varieti baru lain. Syarikat Sime Darby di percayai mempunyai Ladang Benih Padi yang mampu menghasilkan varieti baru pada masa akan datang yang berpusat di Bagan Serai dengan varieti padi berkualiti seperti MR 219 dan beberapa yang lain.


Benih buah-buahan merupakan industri yang tidak menentu dari segi  'trend pengeluarannya' kerana permintaan yang tidak menentu. Pengusaha benih buah-buahan sentiasa menghasilkan anak benih buah-buahan bermusim mengikut 'habis stok tambah baru'. Benih durian, rambutan, manggis, nangka, cempedak, belimbing, pulasan, dokong, Limau Manis , Limau Bali, Ciku dan beberapa jenis lagi dihasilkan dengan anggaran sebanyak 5-10% setahun daripada anggaran keluasan penanaman sedia ada. Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia mengeluarkan sebanyak 200,000 - 250,000 anak benih buah-buahan setahun dalam RMK ke 9. Permintaan yang tinggi bagi benih buah-buahan adalah untuk biji benih pisang, betik, tembikai, tembikai susu dan juga Nenas.


Benih pisang tisu didik sedia untuk ditanam.
Pengeluaran Benih Pisang merupakan satu industri yang hebat di Malaysia dengan penglibatan beberapa syarikat dan usahawan swasta terutama dalam pengeluaran anakbenih pisang menggunakan teknologi TISU DIDIK atau 'Tissue Culture'. Walau pun permintaan untuk benih sebanyak 3.4 juta pokok setahun untuk anakbenih sulur, tetapi sebahagian besar kini di bekalkan melalui teknologi benih tisu didik. Benih pisang dari sulur kini kurang disyorkan untuk di tanam kerana kesan penyakit Moko atau reput disebabkan oleh patogen 'Ralstonia spp'. terutama sulur dari selatan tanah air. Penanaman pisang digalakkan menggunakan anakbenih tisu didik yang murah (RM 1.20-RM1.50 sepokok) daripada pembekal sedia ada seperti Syarikat Top-Plant, Felda Trading Sdn Bhd dan beberapa syarikat swasta lagi. 


Benih tanaman Buah Tembikai dan Melon hapir 100% diimpot dari luar negara. Benih jenis hibrid ini tidak dikeluarkan di Malaysia pada waktu ini untuk ditanam seluas 11,272 hektar setahun memerlukan sebanyak 5.36 metrik tan setahun bernilai lebih dari RM 3.945 juta setahun. Kebanyakan benih diimpot daripada China, Taiwan, Thailand dan Jepun serta beberapa negara lain di kawasan Eropah dan jua sedikit USA. Malaysia merupakan pengekspot tembikai yang popular di Negara China melalui Hong Kong secara tradisi semenjak dulu kala dengan penanaman banyak di sekitar Pahang, Johor dan Perak. Permintaan untuk benih tembikai dan melon semakin meningkat setiap tahun dan perlu ada langkah bagi Malaysia menghasilkan benih tembikai dan melon pada masa akan datang.


Bagi benih sayur-sayuran dan tanaman kontan sebahagian biji benih dihaslkan oleh petani tempatan tetapai yang banyak adalah diimpot dari luar negara. Benih sayuran yang dihasilkan dari pembekal atau petani tempatan tidak banyak seperti benih cili, kacang bendi, kacang panjang, ubi, keledek, keladi, halia, kangkong dan beberapa jenis lagi. Kajian saya mendapati hampir 90-98% benih sayur berdaun adalah diimpot terutama jenis sawi, tomato, salad, bayam, melon, tembikai, kobis, timun, petola, terung dan banyak lagi. Benih yang diimpot kebanyakanya adalah benih Hibrid yang harganya mahal tetapi mempunyai kualiti percambahan yang sangat baik dan berkualiti. 


Artikel ini diharap memberikan sedikit maklumat kepada pembaca mengenai status industri benih di Malaysia. Pelbagai cara dan strategi perlu dirangka untuk mempastikan kita mampu menghasilkan benih tanaman sendiri tanpa bergantung sehingga 100% daripada negara luar. Walau pun kos dan masa yang perlu diambil agak tinggi dan lama tetapi wajar industri ini di majukan sehingga negara kita mampu mengeluarkan benih berkualiti dan varieti superior untuk kegunaan tempatan dan pasaran global. Cuaca di Malaysia adalah sangat sesuai untuk pengeluaran biji benih sepanjang tahun terutaman tanaman makanan tropika. Pakar-pakar biakbaka perlu di perbanyakan dan teknologi penyimpanan janaplasma negara perlu diperkukuhkan lagi. Insentif untuk industri benih tanaman makanan juga perlu di bincangkan untuk menggalakkan industri ini berkembang pada masa akan datang. 


Related articles:
1. About Hybrid Seeds (Click here)
2. Benih Kelapa MATAG (Klik disini)
3. Kontrol Benih Dunia (Klik disini)
4. OP seeds vs Hybrid Seeds (Click here)
5. Pollination (Click here)
6. Benih Sayuran (Klik disini)
7. Harga Benih Sayuran (Klik disini)


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Sunday 1.15 pm)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...