Support My Blog

Saturday, December 10, 2011

CIKU (Part 1)

CIKU (Manikara achras Mill) atau (Manikara sapota Linn) adalah sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Sapotaceae yang tumbuh dinegara kita Malaysia. Ciku di Indonesia dikenali sebagai Buah SAWO. Kajian saya mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176  ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri menanam ciku kurang dari 100 hektar CHE. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei. Artikel pada pagi sabtu ini saya menulis teknologi penanaman ciku dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan semua.


Pokok ciku adalah pokok saka yang bersaiz sederhana dan tumbuh menegak dengan ketinggian maksima 10 meter. Ia mempunyai banyak dahan dan berbentuk piramid semasa kecil dan rendang apabila cukup matang. Batangnya berwarna perang tua dengan kayu yang keras dan liat. Pokok ciku mempunyai kadar pertumbuhan yang lambat dan hanya menghasilkan buah apabila cukup dewasa. Keseluruhan bahagian pokok akan mengeluarkan getah berwarna putih apabila dilukai. Pokok Ciku mempunyai jenis akar tunjang jika ianya ditanam menggunakan bahan tanaman dari biji benih tetapi jika pokok ditanam melalui bahan tanaman tut tiada akar tunjang seperti pokok dari biji.  Daun pokok ciku agak tebal, berwarna hijau tua , berkilat yang bersusun secara berpusar dibahagian hujung ranting. Ukuran daun sekitar 5-13 cm panjang dan 3-6 cm lebar dan lebat. 


Bunga ciku adalah jenis 'lengkap' dimana mempunyai stigma dan bunga jantan pada kuntum yang sama. Bunganya mempunyai 6 kelopak berwarna putih dengan saiz ukuran 1.0-1.5 cm serta ditutupi dengan sepal yang berwarna keperangan. Bunga ciku dikeluarkan daripada axil pangkal daun atau pada hujung ranting. Kajian dan pemerhatian yang saya buat di Stesyen Pertanian Tangkak dan Pulau Gadong di Melaka mendapati bunga ciku kembang pada waktu pagi tetapi kelopak tidak terbuka semuanya dan lazimnya bunga ciku berbau harum pada waktu malam. Kemungkinan proses pendebungaan bunga ciku oleh angin walau pun belum ada kepastian mengenai perkara ini. Bunga yang tidak yang tidak menjalani proses pendebungaan akan layu dan gugur.


Buah ciku adalah unik walau ada yang keliru dengan Buah Kiwi (Kiwi Fruit) yang popular di Australia dan New Zealand sebagai komoditii ekspot penting peringkat antarabangsa. Buah ciku berbentuk bulat atau bujur lonjong bergantung kepada varieti. Saiz buah matang sekitar 4-6 cm lebar dan 5-8 cm panjang dengan berat 80 - 120 gram sebiji. Kulit buah ciku adalah nipis, berwarna perang dengan permukaan kesat dan bersisik. Buah  muda agak keras, bergetah dan mempunyai rasa yang KELAT kerana kandungan bahan Tanin didalamnya. Lazimnya buah yang cukup matang perlu diperam selama 3-5 hari untuk masak. Biji ciku berwarna hitam, berbentuk bujur leper dan keras yang tajam dihujungnya dan ukuran 1-2 cm panjang dan 0.3-1 cm lebar.


Terdapat 17 varieti atau klon ciku telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dimana hanya 3 klon sahaja disyorkan untuk ditanam.  Klon yang disyorkan adalah Klon Ciku Jantung (CH62) , Klon Ciku Subang (CH63) dan Klon Ciku Mega CH 19 (Belum didaftarkan). Klon Ciku Jantung berasal ari Pekan Ramuan Cina Besar, Melaka dengan ciri buah berbentuk jantong atau oval dan besar yang mempunyai isi perang kemerahan. Lazimnya varieti ini mempunyai 4 biji benih. Rasa buahnya manis dan berbau harum dengan ira yang halus. Varieti ini mempunyai purata berat 110 gram dan merupakan diantara varieti yang paling popular di tanam. Ciku Subang pula berasal dari Subang, Selangor yang buahnya berbentuk bulat bujur (epiliptik) bersaiz sederhana besar (Lihat foto diatas). Ciku ini juga mempunyai satu biji sahaja walau pun kadang2 ada yang mempunyai 3 biji. Purata berat cuma 90 gram sebiji. Ciku Subang agak kurang berpasir. Ciku Mega pulu rujuk blog Ciku Mega (klik disini).


Pokok Ciku sesuai ditanam di kawasan tanah lom berpasir dengan pH 5.5 - pH 7.0 dengan taburan hujan 1,250 mm - 2,500 mm setahun. Sebaiknya kawasan dibajak dahulu dan mempunyai sistem saliran yang baik. Anak Benih pokok ciku boleh diperolehi daripada Kaedah Tut atau Kaedah Cantuman Baji. Biji benih juga boleh dicambahkan dalam polibeg tetapi sangat lambat. Jika pokok ditanam dari benih tut lazimnya pokok cepat berbuah tetapi kelemahannya ialah pokok mudah tumbang jika ditiup angin kencang kerana tiada akar tunjang. Bilangan anak benih tut juga tidak banyak diperolehi dari satu-satu pokok induk. 


Jarak tanaman ciku disyorkan adalah 9 meter x 9 meter dalam bentuk empat segi sama (123 pokok sehektar) atau dalam susunan 3 segi (138 pokok sehektar). Lubang penanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm disediakan 3-4 minggu sebelum menanam dengan mengaulkan baja organik (10 kg) dan baja CIRP (200 gram). Bubuh anak benih kedalam lubang penanaman dengan memotong plastik polibeg dan padatkan kemudian disiram dengan air. Sebaiknya menanam ciku adalah pada musim hujan dan berikan sungkupan dengan rumput kering atau bahan sungkupan yang sesuai. Pastikan buat sulaman jika ada anak pokok yang mati.


Pembajaan pokok ciku seperti pokok buah-buahan lain menggunakan baja NPK 15:15:15 untuk peringkat vegetatif dan naja NPK 12:12:17:2 untuk peringkat repproduktif. Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan sebanyak 4.0 - 5.0 kg sepokok sebanyak 4 aplikasi setahun untuk tahun pertama dan kedua. Selepas itu baja NPK 12:12:17:2 diberikan dengan kadar 1.5 - 8 kg sepokok dari tahun ke 3 hingga tahun ke 15 sebanyak 4 aplikasi setahun untuk penghasilan buah. Sebanyak 10 kg baja organik seperti tahi ayam atau tahi kambing perlu diberikan setiap pokok setiap tahun.
BERSAMBUNG CIKU (PART 2)...Klik disini...


POKOK CIKU...RENDANG BENTUKNYA...
CIKU SUBANG...BUJUR BENTUKNYA...
LAMBAT MEMBESAR...KURANG HASILN(YA...
DENGAN BUAH KIWI...TAK KURANG RASANYA...


Related Articles:
1. Klon Ciku di Malaysia (Klik disini)
2. Mengetut pokok ciku (Klik disini)
3. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
4. Cashflow Buah Ciku (Klik disini)
5. Alatan Cantasan (Click here)


By,
M Anem
Bukit Temiang, Kangar,
Perlis, Malaysia.
(12 Muharam 1433)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...