Support My Blog

Monday, May 7, 2012

BUAH RUKAM

RUKAM (Flacourtia rukam ) merupakan sejenis buah daripada pokok rukam dari keluarga Flacourtiaceae yang kurang dikenali ramai. Tumbuhan ini dipercayai memang native di Malaysia, Indonesia dan juga Filipina tetapi telah banyak ditanam di Thailand, India dan juga negara-negara Indo-China lain. Saya pun asalnya kurang kenal dengan buah rukam kerana buah ini kurang di tanam secara komersil di Malaysia dan belum banyak teknologi amalan agronomi yang saya jumpa. Nama lain bagi rukan adalah Aganas ; Rukam (Filipina), Khrop-dong (Thailand -Pattani), Rukam (Jawa), Ken (Laos), Rukam Gajah (Melayu) dan Mung guan ru'ng (Vietnam).  Mengikut wikepedia pula mengatakan ada 5 spesis rukam yang hampir sama iaitu F. indica (dikawasan India), F. inermis, F. jangonmas (Juga di India), F. montana dan F. rukam (Asia Tenggara). Artikel subuh Ahad ini saya akan menulis sejenis buah yang kurang dikenali dari segi teknologi, marfologi dan khasiat yang ada pada buah ini.


Pokok Rukam merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai saiz sederhana besar, iaitu sekitar 5 - 15 meter dari paras tanah dengan bilangan dahan yang banyak dari bahagian rendah atas tanah sehingga kepucuknya.  Apa yang saya lihat, pokok rukam di sebuah stesyen pertanian mendapati batangnya berwarna kelabu berbelang putih dan coklat dan bentuknya  bengkang bengkok bagi dahan tua.  Lazimnya dahan masih muda berduri, berkayu dengan bercabang-cabang dimana panjang cabang sekitar 10 - 15 cm panjangnya.  Kayu pokok rukam sederhana keras dan ada pokok yang didakwa merupakan pokok rukam dari varieti klon yang dahannya tidak berduri. Daun Rukam berwarna hijau tua, bergerigi serta mempunyai bentuk panjang bujur. Saiz daun berbeza-beza mengikut umur pokok, kesuburan dan kedudukan di antara 10-18 cm panjang dan 4 - 7 cm lebar. 


Bunga Rukam keluar dengan bilangan yang banyak pada satu jambak yang keluar daripada ketiak daun dan keluar dengan satu jantina sahaja. Bunga Jantan mempunyai lapan kelopak berwarna putih (Lihat foto sebelah) dan mempunyai banyak stamen ditengah-tengahnya berwarna kuning.  Bagi bunga betina pula akan kelihatan tidak mempunyai stamen dengan terdapat benang sari yang terbahagi kepada 4-6 bahagian dan saya dapati ada yang mempunyai sehingga 8 bahagian.  Buah Rukam (Foto diatas dan bawah) kita akan kenal dengan bentuknya yang bulat seperti bola sama ada bentuk bulat kempis atau pun bentuk bulat bujur.  Buah rukam yang masih muda mempunyai warna hijau seperti kebanyakkan buah tropika yang lain tetapi akan bertukar kepada warna hijau merah, merah ungu atau merah tua atau merah jambu apabila matang. Buah berukuran garispusat 2.0 - 2.5 cm ini mempunyai isi putih dimana mengandungi biji sebanyak 4-7 biji setiap buah. Buah masak yang boleh dimakan mengandungi air (77%), Karbohiderat (15%), Protin (1.7%), Lemak (1.3%) dan Serabut (3.7%).


Merujuk kepada beberapa buah buku, saya dapati pokok rukam boleh ditanam menggunakan biji benih, tunas yang terbit dari daripada pokok induk (sama seperti pokok sukun), kaedah tut atau menggunakan kaedah cantuman. Kalau boleh dapatkan anak benih dari pokok cantuman kerana kurang duri atau tidak ada duri berbanding dengan pokok yang ditanam dari biji benih yang banyak duri.  Pengalaman staff di Stesen Pertanian di Johor mengatakan bahawa biji rukam yang disemai mudah tumbuh dan pokoknya juga cepat membesar.  Bagaimana pun pokok yang ditanam dari biji akan mula berbuah selepas 5 tahun ditanam berbanding dengan pokok yang ditanam dengan anak benih cantum atau tut perlukan masa 3 tahun sahaja.  Jika pokok dewasa dapat dibaja dan diuruskan dengan baik mampu menghasilkan buah dengan lebat dan banyak.


Pembajaan semasa peringkat vegetatif menggunakan baja NPK 15:15:15 dan baja organik yang diberikan mengikut kadar disyorkan. Pokok matang akan diberikan baja NPK 12:12:17:2+TE dan baja organik 3 kali setahun. Kawalan rumpai dibuat secara manual atau meracun kimia dan pemberian air pula mengikut keadaan. Terdapat serangan oleh ulat yang menebuk batang dimana ini berlaku dari peringkat awal penanaman dan dikawal dengan racun serangga seperti Furadan (jenis sistemik) semasa peringkat vegetatif. Serangan Ulat Makan Daun juga dikawal dengan semburan racun kimia seperti malathion atau lain-lain jenis mengikut kadar serangan. Kawalan Lalat Buah (Bactocera spp) perlu dibuat dengan memasang perangkap atau umpan protin kerana lalat buah akan menyebabkan buah busuk dan rosak. Buah yang telah cukup masak perlu dikutip menggunakan tangan atau galah yang mempunyai jaring agar buah tidak jatuh ketanah yang akan menjejaskan kualitinya.


Buah Rukam boleh dimakan mentah atau dipotong-potong untuk dibuat ramuan dalam rojak atau sesuai juga dibuat jeruk, jem atau minuman kordial. Bagi mereka yang suka makan ulam-ulaman, boleh petik daun rukam yang masih muda atau pucuk rukam dimakan mentah atau dibuat sayur.  Kayu pokok rukam juga mempunyai kualiti yang baik iaitu dari kategori kayu keras dimana boleh dijadikan lesung kayu, perabot atau perkakas rumah.  Khasiat perubatan Buah Rukam dengan mengambil buah muda yang kemudian direbus, airnya diminum dimana ia mengatasi masaalah cirit birit dan merangsang kitaran haid.  Daun rukam muda yang ditumbuk lumat dan diperah airnya pula boleh diletakkan pada mata, ini  dipercayai mengubati sakit mata dan mengatasi masaalah mata bengkak.  Daun rukam yang telah dikeringkan lalu dihancurkan menjadi serbuk dan diletakkan pada luka-luka bertindak sebagai ubat yang berkesan.  Akar pokok rukam pula direbus dan airnya diminum oleh ibu selepas bersalin membantu menambah kesihatan.  Saya kurang pasti berapa harga buah rukam yang dijual (jika ada musim) di gerai buah-buahan sekilogram?
Wassalam..


BUAH RUKAM...KITA JARANG JUMPA...
POKOK BESAR...HIJAU BUAH MUDA...
MUDAH DITANAM...TAPI UNTUK APA...
KHASIAT RUKAM..SIAPA DAH CUBA....


By,
M Anem
Taman Puchong Lestari,
Bukit Jalil, Puchong,
Selangor, Malaysia.
(14 JamadilAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...