Support My Blog

Monday, June 18, 2012

KHASIAT BUAH NONA

BUAH NONA (Annona squamosa) atau BUAH NONA SERIKAYA merupakan buah tropika yang kurang popular di Malaysia tetapi ianya mudah dikenali kerana bentuk buahnya dan namanya. Nama botani buah Nona adalah Annona squamosa dari Keluarga Annonaceae.  Nama lain atau synonim bagi buah ini adalah seperti Annona reticulata sementara di negara jiran Indonesia buah ini dipanggil sebagai Mulwo, Binoa atau Manowa. Beberapa rujukan yang saya buat menyatakan bahawa buah ini dipercayai berasal secara semulajadi dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Pada masa ini buah nona telah pun diusahakan dibanyak negara termasuk kawasan Aia Tenggara dan seluruh kawasan tropika. Saya kenal akan buah ini kerana terdapat beberapa pokok yang ditanam di kawasan rumah di Muar dulu dan di Stesyen Pertanian Tangkak, Ledang, Johor. Buah ini juga boleh didapati dijual di pasar Chow Kit setiap masa dan dimakan segar oleh mereka yang menggemarinya. Artikel petang ini saya menulis tajuk khasiat dan cara penanaman buah anona untuk tatapan bersama.

Pokoknya kecil lebih kurang 4.5 meter hingga 6 meter dan pokok ini perlu dicantas mengikut kaedah disyorkan untuk mengawal ketinggiannya. Pokok nona mempunyai batang berkayu yang kuat dan daun berwarna hijau serta banyak cabang. Apa yang unik mengenai buah nona adalah bentuk buahnya yang berbonggol dan mempunyai banyak biji dan boleh didapati di sepanjang tahun (tidak bermusim). Saya dapati buah nona boleh dibiakkan dengan menggunakan biji benih. Buah Nona Serikaya ini juga boleh dibiak dengan cantuman tunas tetapi kualiti dan hasil buahnya didapati agak kurang memuaskan. Buah nona yang mentah berwarna hijau dan akan bertukar kepada kekuningan atau kemerahan setelah hampir masak mengikuit varieti dan pengurusan. Lazimnya buah Nona Serikaya boleh dimakan begitu saja apabila masak.

Terdapat pelbagai jenis atau varieti buah Nona yang kita boleh jumpa di negara kita tetapi belum ada rekod yang didafftarkan dengan Jabatan Pertanian secara rasmi. Pemerhatian saya mendapati di antara varieti yang saya pernah jumpa adalah buah yang mempunyai kulit bewarna hijau, hijau-kuning dan hijau- merah. Kajian mengenai khasiat permakanan pula mendapati bahawa buah ini setanding dengan buah epal juga mempunyai banyak bahan berkhasiat seperti protein, vitamin C, Kalsium dan Fosforus. Khasiat yang dinyatakan dalam beberapa rujukkan mendapati bahawa buah nona mengandungi bahan-bahan penting dalam menghasilkan sel darah merah (erytrocyte) dimana  ianya membina tulang dan gigi yang kuat serta membantu pertumbuhan kanak-kanak. Daunnya pokok buah nona juga berguna dimana ianya boleh dijadikan penawar bagi merawat bengkak bernanah, merawat luka daripada dikerumuni lalat, rawatan penyakit cirit-birit dan masaalah radang usus (najis berdarah).


Pemerhatian saya mendapati yang Buah Nona memang sedap dimakan serta mudah pula untuk menanamnya. Lazimnya kita hanya perlu hanya menaburkan bijinya didalam polibeg semaian dan biarkan ianya bercambah sebelum dialihkan keladang. Pokok ini hanya perlukan sedikit pembajaan dan pengawasan sahaja berbanding dengan pokok buah-buahan yang lain. Ramai rakan-rakan menyatakan pokok akan menghasilkan buah dalam tempoh tiga tahun. Pokok ini tidak banyak masaalah serangan serangga perosak atau penyakit. Penggunaan baja organik dan baja kimia membantu meningkatkan pembentukkan daun dan buah. Selamat mencuba!

KHASIAT NONA... MEMANG BERGUNA...
MUDAH DITANAM ... DIMANA-MANA...
TABUR BIJINYA... ALIHKAN SEGERA...
BUAHNYA KELUAR...KITA NIKMATINYA...

By,
M Anem
Sunway Putra Hotel,
Kuala Lumpur,
Malaysia
(28 Rejab 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...