KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, September 30, 2012

AGRONOMI TANAMAN SEKOI


SEKOI (Pennisetum glaucum) merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup pada tanah yang agak kering, masin dan beralkali serta liat dengan pH 8.5. Sekoi merupakan tanaman dimana ia mempunyai daya kerintangan tinggi kepada banjir, kemarau dan serangga perosak berbanding dengan jagung (Zea mays). Tanaman sekoi tidak popular di Malaysia tetapi masih ada petani di kawasan pendalaman yang masih menanam sekoi untuk kegunaan persendirian. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman sekoi di Malaysia kerana ianya bukan menjadi tanaman penting. Saya pun hanya jumpa beberapa petani menanam sekoi di Pahang, Sarawak dan di kawasan Pendalaman. Ciri fizikal pokok sekoi sama lebih kurang dengan pokok jagung cuma hasil atau buahnya terletak dihujung pokok dan tunas baru atau anak akan keluar dari pokok yang sama selepas batang utamanya di potong yang dipanggil ratoon. Petang Sabtu ini sambil berehat menonton Astro saya menulis amalan agronomi tanaman sekoi dalam 'Anim Agro Technology' sebagai pengetahuan tambahan kepada mereka yang berminat menbacanya.

Teknologi Penanaman Sekoi
Sekoi boleh ditanam dikawasan tanah subur di Malaysia dimana kita kena pastikan tanah mesti dikerjakan dengan menyeluruh untuk mengemburkan, menghapuskan rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air yang baik untuk pertumbuhan akar dan pokok. Aktiviti membajak piring perlu dijalankan kira-kira dua minggu sebelum menanam. Disyorkan agar kerja membajak mestilah sedalam antara 20 dan 25 sentimeter (cm) untuk memasukkan sisa tanaman dan rumpai ke dalam tanah. Kerja membajak putar dibuat selepas membajak piring untuk memecahkan tanah menjadi ketulan kecil. Kemudian jalankan aktiviti seterusnya iaitu mengapur untuk menaikan pH tanah kepada yang optimum iaitu 5.5. Bahan yang disyorkan adalah seperti GML (Ground Magnesium Limestone) dengan kadar dua tan/ hektar (ha) untuk tanah biasa. Apa yang saya perhatikan jarak tanaman sekoi bergantung kepada jenis tanah dan juga varieti sekoi iaitu antara dia antara 60 dan 90 sm antara baris dan di antara 10 dan 23 sm antara pokok. Pastikan yang biji benih dirawat dengan racun kulat terlebih dahulu sebelum ditanam sedalam 3 - 5 cm dengan sebanyak tiga atau empat biji selubang. Aktiviti  menanam sekoi juga boleh menggunakan jentera atau dengan tangan dimana biji benih akan bercambah tiga hingga tujuh hari selepas ditanam. Perlu ingat bahawa penjarangan dibuat selepas tiga minggu ditanam dengan meninggalkan satu pokok selubang.

Pengawalan tumbesaran Sekoi
Penanaman Sekoi perlu di uruskan mengikut amalan agronomi yang sesuai. Kawalan rumpai dilakukan sebanyak dua kali iaitu dua minggu dan empat minggu selepas menanam. Pembajaan dengan kadar NPK 102:45:45 kg/ha dimana separuh unsur N dan semua P dan K diberi sebagai baja asas dan separuh lagi N diberi sebulan selepas menanam.  Ulat pengorek batang adalah perosak utama dan boleh dikawal dengan semburan racun serangga yang bersesuaian seperti Malathion dan sebagainya. Serangan burung mungkin akan berlaku dan lazimnya pada peringkat penyemaian dan ketika peringkat susu biji sekoi. Terdapat juga masaalah serangan oleh Penyakit Hawar Daun dan smut biji sekoi boleh dikawal dengan amalan kultura yang baik dan juga dengan cara menggunakan semburan racun yang bersesuaian.

Penuaian Sekoi
Pemerhatian mendapati hasil sekoi boleh dikutip mengikut jenis dan pada kebiasaannya di Malaysia bila mencapai di antara 97 dan 110 hari selepas ditanam. Walau pun belum banyak varieti sekoi di daftarkan tetapi yang ada adalah sekoi yang dibawa masuk dari luarnegara. Terdapat juga aktiviti untuk dapatkan hasil kedua (ratoon) batang sekoi dipotong hingga berdekatan paras tanah supaya tunas tumbuh untuk mengeluarkan anak pokok baharu. Amalan yang petani Malaysia amalkan adalah tidak perlukan ratoon, dimana kita potong pokok lebih tinggi dari paras tanah atau dengan mengerat atau memotong jambak buah. Beberapa laporan kajian kes mendapati anggaran hasil sekoi adalah mengikut varieti atau jenis seperti Varieti DOOBS (1,791 kg/ha), Varieti CE/71 (1662 kg/ha), Varieti CE/178 (1,669 kg/ha) dan Varieti 655N(1,523 kg/ha). Biasanya biji sekoi disimpan tanpa diceraikan dari tangkai tetapi dikeringkan sehingga 10-14 % kelembapan untuk mengelak serangan kulat dan serangga. Begitulah kisah mengenai agronomi tanaman sekoi untuk pengetahuan dan rujukkan anda semua. Wasaalam!

AGRONOMI SEKOI... MUDAH CARANYA....
PENYEDIAAN TANAH...MAMBAJAK ASASNYA...
BENIH DI TANAM ... BAJA DI TEBURKANNYA...
LEPAS 100 HARI... MENUAILAH JAWABNYA...

By,
M Anem
Stesyen Pertanian Bukit Goh,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(7 Zulkaedah 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...