Support My Blog

Friday, November 16, 2012

BERUK KELAPA

BERUK KELAPA (Macaca nemestrina) adalah gelaran yang diberikan oleh orang ramai terhadap spesis monyet atau orang panggil juga beruk kelapa yang digunakan untuk kerja memetik buah kelapa. Haiwan ini perlu dilatih dalam 'Sekolah Latihan Beruk' yang khusus untuk memberi tunjuk ajar kepada beruk tersebut didalam aktiviti memetik buah kelapa yang matang untuk diturunkan. Beruk kelapa banyak digunakan di Malaysia, Indonesia, Filipina dan juga beberapa negara di Asia Tenggara yang banyak pokok kelapa. Pokok kelapa yang tinggi ini  menyebabkan manusia tidak dapat panjat untuk memetik buah kelapa atau pun menggunakan galah untuk mengait buah kelapa. Kajian saya di Daerah Mersing, Johor dan di daerah Rompin, di Pahang pada tahun 2010 mendapati, purata ketinggian pokok kelapa varieti Malaysian Tall melebihi 60 kaki malahan banyak yang mencecah ketinggian 100 kaki. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' iaitu mengenai Beruk Kelapa untuk bacaan dan rujukan anda semua.


Beruk liar yang baru ditangkap perlu dilatih oleh jurulatih pakar dalam latihan beruk menggunakan bahasa arahan yang khas yang difahami oleh beruk tersebut. Beruk yang baru ditangkap adalah ganas dan dimasukkan kedalam kurungan besi atau diikat dengan rantai pada lehernya. Proses melatih beruk kelapa bergantung kepada jenis beruk dan kecekapan jurulatih kerana ada yang ambil masa lama. Beruk kelapa akan diajar memetik buah kelapa dengan cara menggunakan tangan atau kakinya dimana sama ada satu lagi anggota sama ada kaki atau tangannya boleh berpaut kepada pelepah kelapa. Kaedah diamalkan adalah dengan beruk memulas buah kelapa yang matang sahaja sehingga tangkai putus dan jatuh kebawah. Setelah lulus latihan, beruk ini akan dijual kepada pemetik buah kelapa. Harga beruk kelapa bergantung kepada kemampuan beruk tersebut iaitu diantara RM 500 - RM 1,000.00 seekor. Beruk Betina lebih mahal daripada beruk jantan kerana lazimnya beruk betina lebih produktif. Bagaimana pun tinjauan diladang semalam mendapati 6 ekor beruk semua jantan daripada pemilik berasal daripada Bachok, Kelantan untuk memetik buah kelapa. 


Beruk yang diikat dengan rantai pada lehernya dan disambung dengan tali panjang (sampai 300 kaki) dan  ia digulong. Adalah penting untuk mengelakkan beruk kelapa lepas dan lari. Dibawah pokok, maka pemilik beruk akan mengarahkan beruknya panjat pokok kelapa dan memulakan aktiviti memetik buah kelapa yang telah cukup matang (kelapa tua). Tangan atau kaki beruk akan memutar buah kelapa sehingga tangkainya putus dan buah kelapa jatuh ketanah. Lazimnya kerja memutar kelapa akan menggunakan kaki lebih cepat daripada cara menggunakan tangan beruk. Kemampuan seekor beruk menurunkan sebanyak 100 - 150 biji kelapa sehari bergantung kepada ketinggian pokok, bilangan buah sepokok dan juga keadaan cuaca. Apa yang saya kaji dan setelah membuat pembentangan temuan kajian mendapati, kecekapan memetik kelapa dengan beruk sangat signifikan berbanding dengan kaedah manusia panjat kelapa atau memetik menggunakan galah panjang.


Memang sukar pemilik beruk dalam menjaga beruk kelapanya. Beruk kelapa lazim kurang kecekapnya selepas berumur 10 tahun dan perlu direhatkan atau beli beruk baru. Masaalah tali yang berbelit-belit pada pokok kelapa menyebabkan beruk kelapa akan lambat turun. Pada masa-masa tertentu (lazimnya beruk jantan atau betina yang biang), beruk boleh menjadi garang dan tidak mahu menjalankan tugas. Ketika ini beruk kelapa tersebut perlu direhatkan. Paling memeningkan kepala pemilik beruk adalah apabila beruk berada diatas pokok dan tidak mahu membuat kerja dan tidak mahu turun!. Beruk ini perlu diberi makan makanan berkhasiat untuk meningkatkan tenaganya seperti makanan buah-buahan, susu dan sebagainya. Apabila semua buah kelapa diturunkan, maka beruk kelapa akan berehat untuk pemilik beruk atau tuan tanah mengumpulkan buah-buah kelapa yang dipetik.


Kadar upah memetik buah kelapa menggunakan khimat beruk kelapa dulu cuma RM 10.00 setiap 100 biji tetapi kajian saya terkini mendapati harganya telah meningkat kepada RM 50.00 - RM 70.00 setiap 100 biji. Ada juga tuan tanah yang memberikan upah dengan bilangan buah kelapa yang diturunkan seperti 30 biji setiap 100 biji buah atau kadar-kadar lain yang dipersetujui bersama. Peranan beruk kelapa adalah signifikan dalam kampung tradisional dimana pokok kelapa telah tinggi dan memang sukar untuk manusia memetiknya kecuali menunggu buah kelapa tua gugur sendiri. Program penanaman kelapa dengan varieti baru seperti Kelapa MATAG dan Kelapa Pandan terus dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dan program ini menyumbangkan kesukaran didalam mendapatkan belakan kelapa dalam negara.


     
BERUK KELAPA... PENTING KERJANYA...
DIARAHKAN PANJAT...TINGGI POKOKNYA...
MEMETIK KELAPA .... CEKAP KERJANYA...
HANYA PEMILIK ... TAHU CARANYA ...

By,
M Anem
Kg Janglau,
Rompin, Pahang,
Malaysia.
(9 November 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...