Support My Blog

Monday, April 30, 2012

BUAH POPULAR

BUAH POPULAR merupakan buah yang disukai untuk ditanam dan di makan oleh manusia terdiri daripada buah-buahan tropika (Tropical fruits), buah-buahan iklim sederhana (temperate fruits) dan sebagainya. Tahukah anda beberapa jenis buah yang popular di dunia?. Mungkin anda boleh agak berdasarkan kepada pemerhatian anda. Berdasarkan kepada pembacaan saya dari beberapa sumber mentakrifkan bahawa BUAH (Fruits) adalah sebahagian daripada struktur tumbuh-tumbuhan yang mengandungi BIJI (Seeds).  Buah lazimnya dikaitkan dengan bahagian isi  buah disekeliling biji yang manis dan sesuai dimakan dalam keadaan mentah (segar dimakan tidak perlu proses lain). Contoh buah yang disebutkan diatas adalah Jenis dimakan dengan Kulit seperti Apel, Anggur, Jambu Batu, Jambu Air, Anggur dan Ada perlu dibuang kulit seperti Durian, Manggis, Nenas, Rambutan, Pomelo dan banyak lagi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis buah popular yang digemari serta banyak dipasarkan dan ditanam oleh petani.

Dikalangan buah-buahan tropika, didapati populariti 5 jenis buah utama adalah seperti berikut :

1. Pisang (Musa spp)
2. Mangga (Mangifera indica)
3. Nenas (Ananas cosmosus)
4. Betik (Carica papaya)
5. Avocado (Persea america)

PISANG (Musa spp) merupakan sejenis buah paling popular dan digemari oleh ramai penduduk dunia sama ada di kawasan negara2 maju, negara2 membangun apalagi kalau negara mundur yang menjadikan pisang sebagai salah satu makanan asasi. Pisang ini dimakan segar sebagai pencuci mulut atau di proses menjadi pelbagai jenis produk berasaskan pisang. Daripada sebanyak 86 juta metrik tan pisang dihasilkan, sebanyak 80% adalah untuk pasaran ekspot sementara kira-kira 14% untuk kegunan domestik negara pengeluar. Dari segi kepentingan hasil tanaman , pisang mendudukki tangga ke empat selepas tanaman Padi, Jagung dan Gandum. Nilai ekspot pisang juga merupakan ke empat nilainya dengan jumlah sebanyak USD 2.5 billion setahun pada tahun 2011. Tiga negara pengekspot pisang utama dunia adalah Equador, Costa Rica dan Filipina. Negara pengimpot utama pisang dunia adalah USA , Jepun dan Jerman. Malaysia menanam pisang untuk dimakan segar, pasaran domestik, di proses dan juga pasaran Ekspot ke Hong Kong, Singapura dan China. Antara pisang popular di negara kita adalah Pisang Berangan, Pisang Nipah, Pisang Mas dan Pisang cavendish.

MANGGA (Mangifera indica) merupakan tanaman kedua popular dikalangan kategori buah tropika. Kajian saya mendapati pengeluaran dan pasaran buah mangga sebanyak 30.7 juta metrik tan dengan menguasai 50% daripada penghasilan buah-buahan tropika pada tahun 2011. Terdapat banyak varieti mangga yang boleh ditanam iaitu sebanyak 62 varieti dimana daripada jumlah tersebut hanya  10 - 16 varieti sesuai ditanam secara komersil di Malaysia, Thailand dan Indonesia.  Negara pengeluar utama mangga di dunia adalah  India, Australia, Mexico dan Brazil. USA pula merupakan penanam mangga untuk pasaran ekspot terbesar didunia.

NENAS (Ananas cosmosus) merupakan buah yang ke tiga popular didunia. Pengeluaran nenas dunia sebanyak 15.8 juta metrik tan adalah 26% daripada keseluruhan buah-buahan tropika didunia. Kawasan Asia dan Pasifik merupakan kawasan pengeluar utama nenas deunia sebanyak 45% diikuti dengan kawasan Carribean (36%) dan bakinya dikawasan benua Afrika (16%). Antara 3 kumpulan nenas yang banyak ditanam didunia, varieti 'Smooth Cayene' seperti nenas MD2 merupakan paling banyak permintaan untuk pasaran segar dan ekspot. Di Malaysia beberapa varieti nenas yang banyak ditanam daripada Varieti Moros, N36, Gandul, Josapine, MD2 dan juga Maspine. Nenas yang dijual di negara dijual segar dan sebahagian lagi dikaleng untuk pasaran ekapot.

BETIK atau PAPAYA (Carica papaya) merupakan buah tropika yang keempat terpopular di dunia. Daripada sebanyak 22 spesis betik, hanya sekitar 5 spesis yang popular dan sesuai ditanam secara komersil untuk pengeluaran dan pengekspotan betik. Negara pengeluar utama betik dunia adalah Brazil (6 juta metrik tan setahun)  diikuti dengan India (2.5 juta metrik tan setahun) dan Nigeria (0.95 juta metrik tan setahun). Penanaman betik di Malaysia adalah untuk keperluan domestik dan pasaran ke Hong Kong, Singapura dan China. Masaalah serangan Papaya Dieback yang melanda Malaysia telah menyebabkan populariti tanaman ini menurun di Malaysia semenjak 5-6 tahun dulu.
Buah-buahan tropika yang popular didunia banyak dipengaruhi oleh permintaan, amalan teknologi, harga pasaran serta pengurusan penyakit dan perosak. Lazimnya buah-buahan yang popular ini di makan oleh banyak bangsa dan tidak bermusim pengeluarannya.

BUAH POPULAR...BANYAK DIHASILKAN...
TIDAK BERMUSIM...SENANG PENJAGAAN...
DIMAKAN SEGAR...DIPROSES DIPASARKAN...
DAH LAMA DITANAM...KUASAI PERMINTAAN...

By,
M Anem
ILPP Serdang, Selangor,
Malaysia.
-Hari ini 1 Mei pun kena beri ceramah juga....
(9 JamadilAkhir 1433H)   

Sunday, April 29, 2012

KHASIAT MANGGIS

MANGGIS (Garcinia mangostana L.) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal atau 'native' dari Semenanjung Malaysia. Pokok Manggis merupakan satu komoditi yang ditanam untuk penghasilan buah bagi dimakan segar dan kebanyakannya ditanam dalam dusun bercampur bersama-sama dengan buah-buahan lain seperti durian, duku, langsat, rambutan dan sebagainya. Ladang Manggis monokrop secara komersil jarang-jarang dijumpai pada masa ini kecuali dibeberapa Stesyen Pertanian. Terdapat seluas 5,029 hektar tanaman manggis pada tahun 2102 dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dengan anggaran hasil sebanyak 27,300 metrik tan. Kawasan utama tanaman manggis adalah di Daerah Segamat (307 hektar - saya pernah bertugas di sana selama 4 tahun), Daerah Tumpat (243 ha) dan Daerah Pasir Mas (223 hektar). Bagi varieti Mesta pula banyak ditanam di kawasan Temerloh, Pahang. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sambil duduk depan laptop mengenai teknologi serta khasiat manggis untuk bacaan anda semua.

Pokok Manggis merupakan tumbuhan saka yang berbatang tegak, lurus , daunnya lebar serta mampu mencecah ketinggian sehingga 20 meter. Apa yang khusus pencirian pokok manggis adalah kerana dikatakan semua bahagian pokok akan mengeluarkan cecair kuning apabila dilukai. DAUN manggis adalah ringkas serta tebal, berkilat dengan warna hijau dibahagian atas dan hijau kekuningan dipermukaan bawah lai daun.  Daun  manggis mempunyai susunan bertentangan dimana tangkai daun adalah pendek serta berukuran 15-25 cm panjang dan 7-13 cm lebar. BUNGA Manggis merupakan bunga tunggal atau berpasangan terbit dari hujung ranting.  Terdapat 4 sepal warna hijau pada bunga manggis dengan 4 petal warna hijau kuning dimana dibahagian pinggirnya agak kemerahan. Buah manggis berbentuk buah beri yang bulat dengan warna hijau ketika muda , bertukar merah apabila masak dan hitam apabila terlalu masak.

Penanaman manggis lazimnya menggunakan biji benih darii varieti manggis yang baik atau pun kini telah popular dengan anakbenih manggis cantuman.  Pokok yang ditanam dari biji benih perlukan masa lama untuk berbuah iaitu sekitar 5-8 tahun tetapi pokok manggis cantuman mampu berhasil 4 tahun sahaja dengan pengurusan yang baik.  Tanaman manggis mempunyai beberapa masaalah serangan perosak seperti ulat daun yang suka makan daun muda berwarna merah dan serangga penghisap cecair buah sehingga boleh menyebabkan buah menjadi keras dan akhirnya gugur. Serangan kulat pada akar berlaku pada musim hujan dengan saliran kurang sempurna menyebabkan akar menjadi busuk dan perang.  Jika berlaku cuaca hujan lebat selepas musim kemarau berlaku kerosakan fisiologi pada buah dimana getah akan masuk kedalam buah manggis mengakibatkan kulit buah menjaadi keras.

Manggis adalah kategori 'BUAH SEJUK' iaitu berlawanan dengan buah durian yang dikenali sebagai 'BUAH PANAS'.  Saya amat suka buah manggis kerana rasanya yang manis, ada sedikit kelat pada kulit dan agak pahit pada buah muda yang kena getahnya. Buah manggis merupakan buah paling digemari diseluruh dunia kerana keunikannya dan khasiat permakanannya. Buah manggis kaya dengan bahnan mineral, Vitamin dan protin serta unsur lain. Buah yang masak di tekan dengan tangan untuk pecahkan kulitnya dan akan nampak isi manggis yang putih gebu dan sedia untuk dimakan. Kepada mereka yang kreatif akan proses buah manggis menjadi jem, jus atau jeli. Semasa bertugas di Segamat dulu, memang sangat puas makan buah manggis diberikan oleh petani-petani secara percuma kerana Daerah Segamat merupakan kawasan paling banyak menanam manggis. Kulit buah manggis merupakan bahan pewarna yang baik dan juga digunakan dalam proses pembuatan Gula Melaka sebagai ramuan penting nagi mendapatkan warna gula kehitaman yang cantik menawan.

Khasiat dari pokok manggis memang telah diketahui ramai. Air rebusan akar manggis yang diminum memang dipercayai mampu mengatasi masaalah kitaran haid bagi perempuan. Saya ada mendengar juga air rebusan daun dan kulit pokok sesuai untuk merawat ulser dalam mulut dan juga demam panas. Dikawasan pendalaman ada kaedah memasak daun manggis, daun pisang dan kemenyan untuk dijadikan ubat sapu untuk rawatan kulit atau luka selepas bersunat (Berkhatan).  Bagi kulit pokok dan kulit buah yang direbus dan airnya diminum mampu merawat masaalah cirit birit dan disenteri.  Jika ada masaalah bengkak pada tekak, ambil kulit buah manggis dan kemam lama sedikit dipercayai mampu menghilangkan masaalah tersebut.  Lebih hebat lagi adalah dakwaan dimana air rebusan kulit manggis mampu menyembuhkan bengkak usus atau masaalah bengkak saluran kencing.  Kalau tidak di cuba mana hendak tahu khasiatnya!.


BUAH MANGGIS....HITAM KULITNYA...
ISINYA MANIS...PUTIH WARNANYA...
AIR REBUSAN KULIT...BANYAK GUNANYA...
KHASIAT MANGGIS..DIMANA ILMUNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Projek Kelompok Dusun Buah-buahan,
Kg Gelang Cincin, Segamat,
Johor, 
Malaysia.
(7 JamadilAkhir 1433H)  

Saturday, April 28, 2012

POKOK KETAPANG

POKOK KETAPANG (Terminalia catappa) merupakan sejenis tumbuhan lazimnya liar tumbuh dikawasan tepi laut, tepi sungai dan sebagainya dikawasan tropika termasuk di Malaysia. Nama botani pokok ini merupakan yang paling saya ingat semasa mula belajar di Universiti dulu selain daripada nama botani Melastoma malabatricum.... senduduk lah tu.  Pokok ketapang digunakan sebagai tanaman landskap oleh kebanyakan majlis daerah dan kerajaan tempatan sebagai pokok yang sesuai ditanam dikawasan taman bunga, tepi jalan dan dikawasan bangunan. Pokok yang sederhana besar atau kadang-kadang besar ini mampu tumbuh setinggi 25-35 meter dengan batang pokok yang juga besar. Kawasan letak kereta juga sering ditanam dengan pokok ini kerana ianya  ketapang mempunyai kanopi lebar dan sesuai menjadi perlindungan dari panas matahari. Artikel malam sabtu ini saya tulis mengenai pokok ketapang dan teknologi yang berkaitan dengan tumbuhan ini.


Pokok ketapang merupakan tumbuhan yang tahan lasak dimana ianya mampu tumbuh dikawasan pelbagai jenis tanah dari tanah berpasir, tanah pantai , tanah gambut dan tanah bermasaalah asalkan kawasan tersebut tidak mudah untuk  ditenggelami air. Pokok ketapang mudah ditanam dengan biji dari buah yang matang dimana pokoknya mudah tumbuh dalam keadaan hujan yang mencukupi. Buah ketapang yang terapung-apung dilaut pun jika diletak diatas tanah mudah tumbuh. Kesan air laut tidak ada pada biji dan mampu tumbuh.  Lazimnya benih disemai dalam polibeg oleh pekerja majlis dareah sebelum ditanam di sepanjang jalan raya atau taman-taman. Pokok ini tidak mempunyai masaalah serangan musuh dan penyakit. Hanya tupai yang suka mengopek kulit pokok ketapang dan menjilat2 bahagian lembut pada batang pokok. Namun begitu, daun muda pokok ketapang disukai oleh serangga , kumbang dan ulat makan daun. Terdapat juga serangan Lalat Buah pada buah ketapang.


Buah Ketapang adalah jenis buah 'DRUPE' iaitu berbentuk bujur memanjang berukuran sekitar 3.5 - 7.0 cm panjang serta 2-5 cm lebar. Buah muda yang saya lihat selalunya hijau dan kemudian akan berwarna kuning atau kemerahan apabila telah masak. Buah ini mempunyai lapisan kulit yang tebal (3-6 mm tebal) dan banyak mengandungi jus serta ada lapisan dalam yang keras. Seolah-olah ada lapisan sel batu yang keras dan berserabut dengan pelbagai bentuk, saiz dan pelbagai warna. Siapa diantara pembaca yang pernah makan isi buah ketapang ?...mungkin anda akan setuju dengan saya yang rasa isinya pahit manis dan kurang sesuai dimakan. Bunga ketapang berada dalam jambak yang kecil berwarna putih kehijauan (Lihat foto) dan banyak komponen adalah bunga jantan. Jambak bunga keluar dari ketiak daun dengan ukuran 8 - 16 cm panjang. 


Kajian di makmal mendapati kulit kayu pokok ketapang mengandungi Tanin yang tinggi (11-23%). Bahagian buah juga mengandungi Tanin sebanyak 6-20% begiitu juga dengan bahagian akar, daun dan kulit pokok. Kajian makmal juga mendapati daun ketapang mengandungi 12 jenis tanin yang boleh di proses melalui Hidrolisis. Kandungan Asid Galik, Asid Clagik, Korinlagen serta Asid Carbicylic Brevifolin juga terdapat pada bahagian daun. Kulit Pokok pula mengandungi Katecin, Epikateen, Asid gilik, Asid Elagik dan Leucosianidin. Biji buah ketapang kaya dengan minyak (54%), Asid Palmitik (52%) dan Protin (27%). Isi biji kering pula mengandungi 25% protin, 6% Gula dan 16 jenis kumpulan Asid Amino. 


Pokok Ketapang selain daripada untuk dijadikan pokok hiasan dan landskap untuk apa agaknya?...  Dalam membuat rujukan pada buku O.H. Chooi saya mendapati ada orang yang makan biji buah ketapang setelah biji tersebut dipanggang dulu.  Ada maklumat menyatakan minyak dari biji ketapang boleh dijadikan minyak masak. Buah ketapang yang masak juga boleh dimakan oleh sesiapa yang suka. Bahagian paling berguna dari pokok ketapang adalah batang kayunya yang keras dimana boleh dibuat perabot, perahu, bahan binaan dan juga bahan bakar yang baik. Bagaimana pun saya dapat lihat yang kayu ketapang tidak boleh diletak atas tanah kerana sangat disukai oleh anai-anai (termites).  Walau pun daun, kulit kayu dan akar ada yang digunakan untuk proses menyamak dan mewarna, ianya jarang kita dilihat di Malaysia tetapi diaplikasikan di India dan Sri Lanka. Terdapat sejenis ulat sutera (Indian Silt Worm) yang makan daun ketapang untuk penternakannya.


Khasiat dari tumbuhan pokok Ketatang jarang-jarang di bincangkan. Mana ada orang yang minat hendak mengkaji khasiat pokok ketapang yang ditanam disepanjang jalan?. Paling asas adalah kegunaan bahagian akar pokok yang direbus dan airnya diminum untuk untuk rawatan deman panas, masaalah hati , masaalah hempedu, cirit birit dan disenteri. Air ini juga boleh disapu pada kudis, bisul atau sakit puting payu dara bagi ibu yang menyusukan anak. Biji ketapang yang dimakan boleh melawaskan buang air besar dan merangsang air susu tetapi AWAS!, kalau makan terlalu banyak akan akibatkan cirit birit pula. Ada petua pula agar sesiapa yang makan biji ketapang bersama sarang lebah akan mampu menghilangkan bau busuk kentut dan elakkan najis berdarah.  Satu khasiat dari buah ketapang adalah apabila direbus dan diminum akan merawat demam panas, cirit birit dan juga masaalah asma (semput).


DAUN Ketapang merupakan bahagian paling berkhasiat. Daun ketapang boleh dijadikan ubat pupuk rawatan sakit tulang (Rheutisme) dan jika daun2 dihancurkan dan dimasukkan dalam air mandian akan menghilangkan masaalah ruam. Air rebusan daun juga bertindak sebagai tonik yang mampu menghentikan masaalah cirit.  Ia juga didakwa mampu menghentikan masaalah batuk berdarah dan juga mengatasi masaalah cacing dalam perut dan usus kita (daun merah).  Paling penting adalah daun ketapang yang hendak digunakan mestikan bersih, tidak berpenyakit dan bukan yang ditanam ditengah-tengh lebuhraya yang banyak asap atau ada logam berat.  Penyakit kulit juga boleh dirawat dengan menghancurkan daun ketapang, dicampur dengan minyak biji ketapang dan sapukan pada tempat sakit kulit.  Daun ketang yang dipanaskan dan diletakkan pada bahagian sendi yang sakit mampu mengurangkan masaalah tersebut termasuk juga masaalah rheutismae.  Mungkin fakta diatas adalah panduan sahaja...TAK CUBA TAK TAU...Wasallam.


POKOKNYA RENDANG...POKOK KETAPANG...
BUAHNYA DRUPE...MUDAH DIBIAKKAN....
DAUN GUGUR...SAMPAI SEMUA LAPANG....
BANYAK KHASIAT...ASALKAN JANGAN BUANG....


By,
M Anem
Dewan PLPP< Jalan Besar, Sg Merab,
Bangi, Selangor,
Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1433H)

KEMUNTING

KEMUNTING (Rhodomyrtus tomentosa) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Myrtaceae yang tumbuh dikawasan tropika dari negara India, Sri Lanka, China dan kawasan Asia Tenggara. Saya lebih kenal dengan 'Kemunting Cina' yang kini dijadikan ubat herba yang berkesan untuk kesihatan teutamnya pengidap penyakit kronik. Kemunting menghasilkan buah berbentuk beri yang bujur yang dimakan mentah atau boleh dibuat jem, jeli atau jus. Isi buah yang manis ini memang sedap dimakan. Buah yang masih mentah lazimnya rasanya Kelat dan pengalaman penulis mendapati pokok yamg ditanam akan menghasilkan buah manis berbanding dengan pokok yang tumbuh liar. Pokok kemunting juga mengandungi tar kayu yang digunakan sebagai pewarna hitam iaitu tujuan komestik untuk menghitamkan bulu kening dan juga mencuci gigi. Artikel subuh sabtu ini saya menulis khasiat tumbuhan kemunting dan teknilogi penanaman yang boleh dibaca untuk tambah pengetahuan anda.


Pokok Kemunting boleh ditanam dengan menggunakan biji, secara tut atau boleh gunakan keratan ranting. Buah yang masak mengandungi biji yang mudah bercambah dalam masa satu minggu sahaja. Selepas 3 tahun dtanam pokok akan berbuah berbanding dengan pokok kemunting yang ditanam dengan cara tut atau keratan yang akan berbuah dalam masa satu (1)  tahun sahaja. Pokok kemunting liar tumbuh dibawah sinaran matahari yang panas disekitar tebing sungai, kawasan bekas tanah lombong atau tanah teopi pantai.  Jika ditanam dan diberikan baja lazimya pokok akan subur tetapi kurang menghasilkan bunga dan buah. Pokok ini tidak mempunyai sebarang perosak dan penyakit yang serius dan tahan dalam keadaan liar.


Pada pemerhatian saya mendapati yang pokok kemunting adalah jenis pokok renek dengan ketinggian maksima 4 meter dan mempunyai banyak ranting. Bahagian ranting, daun, jambak dan bunganya mempunyai bulu halus yang lebat berwarna putih atau kekuningan. Daunnya berwarna hijau berkilat yang berukuran 5-8 cm panjang dann 2.5-4.0 cm lebar dari jenis daun ringkas yang susunanya bertentangan.  Daun kemunting mempunyai 3 urat daun yang jelas dan permukaan atas daun yang berkilau serta licin. Bunga dalam bentuk tunggal atau 3 kuntum bunga dalam  satu jambak yang keluar dari ketiak daun.  Bunganya ada 5 kelopak (Foto atas) berwarna merah dan ada banyak stamen.  Buah muda berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna ungu atau ungu hitam apabila masak. Isinya berwarna merah kuat dan rasanya manis. Buah kemunting mask mengandungi air, gula, vitamin dan juga mineral. Bahagian daunnya mengandungi bahan TANIN yang tinggi yang berguna.


Dari segi khasiat perubatan, tumbuhan ini sangat berguna membantu dalam kesihatan badan. Air rebusan kemunting yang masak diminum akan merawat cirit birit dan juga disenteri.  Di percayai juga buah kemunting yang dimakan segar baik sebagai tonik penghadaman. Daun kemunting pula boleh digunakan sebagai ubat pupuk untuk luka dan menghentikan pendarahan kemdian mampu menyembuhkan luka-luka.  Air rebusan daun yang diminum juga mampu menyembuhkan demam panas , melegakan sakit dan juga membantu dalam membersihkan tubuh badan kita. Semasa berada di Pulau Aur, Mersing dulu saya pernah dengar air rebusan daun dan akar kemunting di gunakan sebagai minuman untuk ibu-ibu yang lepas bersalin, mengawal cirit birit dan untuk sakit perut.  Bahagian akar kemunting yang direbus dijadikan rawatan pedih bawah dada dan mengatasi masaalah sistem penghadaman. Akar yang dicampur air mendidih boleh digunakan untuk rawatan mata atau dijadikan ubat pupuk pada dahi. Banyak lagi kegunaan yang boleh dimenafaatkan dari tumbuhan ini jika dikaji dengan lebih lanjut. Wasallam.


NAMANYA KEMUNTING...RENEK POKOKNYA....
TUMBUH LIAR...MERATA TEMPATNYA...
BUNGANYA MERAH...ADA 5 KELOPAKNYA...
BUAHNYA MANIS...MAHU KE MAKANNYA?...


By, 
M Anem 
Kg Pt Bengkok, Gresik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
( 6 JamadilAkhir 1433H)        

Friday, April 27, 2012

NENAS JOSAPINE

NENAS JOSAPINE (Ananas cosmosus) merupakan satu varieti nenas yang popular di Malaysia dan ditanam dengan meluas di Johor, Selangor dan Sarawak. Nenas ini merupakan satu varieti hasil kacukan oleh pegawai penyelidik tempatan diantara Nenas Sarawak dengan Nenas Johor (JO - Johor , SA - Sarawak dan Pine - Nenas) yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian sebagai AC 4. Tanaman nenas di Malaysia merupakan satu industri yang telah dijalankan semenjak beratus tahun dulu. Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai bekalan nenas mencukupi untuk kegunaan domestik malahan mampu mengekspot keluar negara dalam bentuk segar dan di tinkan. Terdapat seluas 14,560 hektar tanaman nenas dengan pengeluaran sebanyak 65,200 metrik tan pada tahun 2012. Antara varieti nenas yang popular adalah Nenas JOSAPINE yang saya paparkan pada penulisan artikel kali ini kepada pembaca.


Saya baru melawat Ladang Peninsula Pineapple Plantation dan Goh Pineapple di Simpang Renggam, Kluang , Johor semasa membuat tinjauan teknologi mengenai prestasi tanaman ini bersama-sama dengan pasukan pemeriksa. Ladang ini seluas lebih 6,500 ekar menanam beberapa jenis nenas terutama Nenas Josapine, Nenas N36 dan juga ada Nenas MD2. Pengurus syarikat telah memberikan penerangan semasa lawatan dan membawa keladang nenas dalam beberapa peringkat penanaman. Nenas Josapine sesuai ditanam di kawasan tanah gambut dan tanah mineral dengan taburan hujan sekitar 1,250 mm setahun serta mendapat cahaya matahari mencukupi. Kekurangan cahaya boleh mengurangkan hasil sebanyak 10-20% dan menurunkan kualiti buah seperti kandungan gula dan asid yang rendah. 


Pemerhatian saya mendapati pokok dewasa mempunyai ketinggian 70 - 80 cm dengan lebar kanopi pokok 110 -130 cm radius dikawasan jarak penanaman 3 kaki x 2 kaki x 1 kaki untuk memberikan kepadatan tanaman nenas Josapine 43,500 pokok sehektar. Anak benih sulur tanah atau sulur udara atau jambul boleh digunakan didalam penyediaan bahan tanaman. Sulur berukuran 1 kaki (30 cm) yang dikutip boleh ditanam didalam lubang dengan kedalaman 10 -15 cm dan seorang pekerja mahir mampu menanam seluas 0.2 - 0.3 hektar sehari. Anak benih Josapine perlu di buat rawatan dengan mencelup selama 5 minit dalam larutan Benomyl untuk kawalan serangan kulat dan Racun Malathion untuk kawalan serangga sebelum menanam. Jika sulur anak benih terlalu panjang boleh dipotong bahagian atas daun untuk mendapatkan pertumbuhan yang seragam. 


Keistimewaan nenas Josapine adalah kerana daunya tidak berduri seperti pokok nenas Varieti Moris. Bentuk daunnya yang berwarna hijau tumbuh melempai apabila membesar. Kawasan tanah gambut dengan saliran baik sesuai ditanam nenas Josapine. Kemasaman tanah antara 3.5 - 4.5 juga boleh ditanam dengan nenas ini. Nenas Josa akan masak dalam tempoh 12 bulan selepas di tanam. Bentuk buahnya adalah Selinder dengan anggaran berat buah sekitar 1.0 -1.5 kg sebiji. Ladang ini telah memasarkan buah dalam 3 gred iaitu Gred C (Kurang 800 gram/biji), Gred A (800 -1,200 gram/biji) dan Gred B (Lebih dari 1.2 kg/biji). Warna kulit buah ungu jingga dan akan kemerahan sedikit apabila masak. Kajian dan pemerhatian saya mendapati buah nenas Josapine tahan selama 5 hari dalam keadaan biasa dan selama 2 minggu jika disimpan dalam suhu sejuk. 


Nenas rosak kena 'Buah Hantu'
Nenas Josapine mempunyai warna isi kuning keemasan dengan tekstur yang rangup dan kering. Nenas ini mempunyai aroma sederhana dan sesuai untuk dimakan segar. Kemanisan buah Josapine dalam grup manis iaitu sekitar 16 -18 darjah Brix. Pokok Nenas Josa memerlukan aruhan hormon untuk menghasilkan bunga dan buah. Lazimna selapas membubuh hormon buah akan dikutip dalam masa 120 -130 hari kemudian. Nenas ini adalah rentan terhadap penyakit Buah Hantu (Ervinia chrysanthemi) , Penyakit Mata Hitam (Penicillium funiculosum) sering berlaku pada waktu musim hujan dan saliran kurang sempurna. Penanaman nenas Josapine telah lama dijalankan di Malaysia untuk pasaran segar dan hanya sedikit sahaja diproses.  


Analisa kewangan menunjukkan harga ladang purata buah nenas Josapine adalah RM 1.30 sebiji berbanding dengan harga sebiji nenas moris cuma RM 0.80 sebiji. Jumlah kos pengeluaran sekitar RM 17,200 sehektar dengan anggaran pendapatan bersih RM 15,200 sehektar. Analisa kewangan menunjukkan titik pulang modal nenas Josapine adalah RM 0.94 dan kadar BC Ratio sebanyak RM 1.39. Nilai Kini Bersih (NPV) tanaman nenas Josapine di kawasan tanah gambut sebanyak RM 11,300 sehektar semusim. Potensi penanaman neas Josapine kini banyak bersaing dengan penanaman nenas varieti MD2 yang mula di tanam dengan meluas akibat kualiti buah yang sangat menarik untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot. Lawatan saya (foto diatas) , Dr Mat Selamat dan Hj Nasir keladang tersebut menaiki lori kecil ketengah ladang dapat melihat sampel benih tanaman yang sedang dibuat kajian. Wasallam.


NENAS JOSAPINE...MANIS BUAHNYA....
DIMAKAN SEGAR...SEDERHANA SAIZNYA...
SENANG JUAL...MAKAN SEGAR CARANYA...
MELAWAT LADANG...PANAS TERIKNYA...


By,
M Anem
Ladang Nenas Goh,
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1433H) 

Thursday, April 26, 2012

PROSES PERMOHONAN SIJIL HALAL


SIJIL HALAL merupakan satu sijil yang dikeluarkan oleh pihak berwajib sebagai bukti bahawa produk yang hasilkan sama ada produk makanan, komestik, perubatan dan sebagainya yang mematuhi proses yang di 'sahkan halal dari hukum syarak'. Penggunaan sijil ini diperlukan untuk jaminan makanan halal yang dihasilkan dalam negara untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot. Logo Halal akan diletakkan pada pembungkus atau label bagi produk yang telah diluluskan permohonannya. Pengalaman saya ketika bertugas di Johor selama 14 tahun, sering ditanya oleh usahawan Industri Asas Tani (Iaitu mereka yang buat projek memproses makanan) ialah susahnya hendak mendapatkan sijil halal yang ketat syaratnya. Jadi mereka kadang-kadang 'half-way' sahaja dalam memohon sijil halal ini. Artikel subuh ini saya mmenulis beberapa maklumat untuk memohon sijil halal agar boleh dijadikan panduan kepada mereka yang terlibat.

Pengenalan
  1. Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri-Negeri adalah bertanggungjawab untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan dan Logo Halal kepada pengusaha produk makanan dan barang gunaan orang Islam, premis makanan dan rumah sembelih setelah memenuhi keperluan yang ditetapkan di dalam Negeri terlibat.
  2. Pengeluaran Sijil Pengesahan dan Logo Halal ini adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Malaysian Standard (MS) 1500:2004 Makanan Halal - Pengeluaran, Pengendalilan dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum dan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
  3. Kategori pengesahan Halal ialah :
    3.1. Produk Makanan dan Barang Gunaan.
    3.2. Premis Makanan dan Minuman.
    3.3. Rumah Sembelih.
Pemohon Yang Layak
  1. Pemohon yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal adalah seperti berikut:
    1.1. Pengeluar,Pengilang Produk (Producer/  Manufacturer)
    1.2. Pengedar/Penjual ( Distributor/ Trader ).
    1.3. Pengeluar sub-kontrak (Sub-contract manufacturer ).
    1.4. Pengusaha Pembungkusan Semula ( Repacking ).
    1.5. Premis Makanan ( Food Premise) .
    1.6. Rumah Sembelih (A battoir/Slaughter House ).
  2. Pemohon Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran tempatan hendaklah memohon terus kepada Jabatan Agama Negeri2.
  3. Pemohon Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa hendaklah memohon terus kepada JAKIM.


Syarat- Syarat Memohon
  1. Syarikat Pengeluar/Rumah Sembelih/Premis Makanan.
    1. Syarikat hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
    2. Mempunyai lesen operasi yang masih sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan.
    3. Mempunyai sekurang- kurangnya 2 orang pekerja Islam di bahagian pengeluaran.
    4. Pengeluar/Pengilang/Syarikat hendaklah mengeluarkan produk halal sahaja.
    5. Mempunyai sijil tauliah penyembelih yang masih sah bagi penyembelih dan ' checker '.
    6. Tidak menjual minuman keras atau benda-benda yang diharamkan bagi proses makanan.

  2. Produk
    1. Produk bukan diharamkan oleh Islam.
    2. Produk dikilangkan di Terengganu sahaja.
    3. Produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti pemprosesan.
    4. Produk tambahan khasiat makanan perlu mendapat surat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu.
    5. Bukan ubat ubatan/produk yang dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
    6. Bagi mereka yang ingin memohon Sijil Pengesahan Halal Negeri2, permohonan bolehlah melengkapkan borang secara manual yang boleh didapati dari Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri terlibat.

Dokumen Yang Perlu Disertakan
Dokumen yang perlu disertakan bersama borang permohonan adalah seperti berikut :
  1. Salinan Sijil Pendaftaran Syarikat yang disahkan.
  2. Salinan lesen operasi dari Pihak Berkuasa Tempatan yang disahkan.
  3. Salinan Penyata Kewangan syarikat tahun sebelumnya.
  4. Salinan kad pengenalan 2 ( dua ) orang pekerja tetap beragama Islam warganegara Malaysia serta surat perlantikan sebagai pekerja di syarikat berkenaan.
  5. Salinan sijil halal bagi ramuan yang digunakan (jika berkenaan).
  6. Salinan permit impot bagi bahan mentah berasaskan haiwan yang diimpot.
  7. Salinan surat kebenaran dari pihak berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi produk kesihatan/makanan kesihatan.
  8. Peta lokasi premis pengeluaran ( location-map ).
  9. Contoh label produk yang disahkan halal.
Yuran Pensijilan
Yuran pensijilan yang dikenakan kepada pemohon adalah bagi tempoh 2 tahun. Yuran ini dikenakan bagi setiap permohonan baru, pembaharuan, tambahan produk dan tambahan cawangan (premis makanan).

Jadual 1 : Yuran Industri Bagi Tempoh 2 Tahun
Industri Kecil
Industri Kecil & Sederhana
Industri Multi Nasianal
RM 200
RM 800
RM 1,400

Jadual 2 : Ciri-Ciri Industri
Industri
Ciri-Ciri
Industri Kecil
Nilai jualan tahunan kurang dari RM 500,00. 00
Pekerja kurang dari 50 orang.
Industri Kecil &SederhanaNilai jualan tahunan RM 500,000 hingga RM 25 juta.
Industri Multi Nasional
Nilai jualan tahunan melebihi RM 25 juta.
Secara global & mempunyai rangkaian di beberapa buah negara.
Pekerja melebihi 150 orang.


Jadual 3 : Kadar Yuran Rumah Sembelih Mengikut Saiz Premis Bagi Tempoh 2 Tahun
Premis Kecil
Premis Sederhana
Premis Besar
RM 200
RM 800
RM 1,400


Jadual 4 : Saiz Premis Rumah Sembelih
Bilangan Sembelihan Sehari Mengikut Jenis Haiwan
Saiz Premis
Ayam (dan atau sejenisnya)
Kambing (dan atau sejenisnya)
Lembu (dan atau sejenisnya)
Kecil
< 2000
< 500
< 50
Sederhana
2000- 3000
500 -700
50- 100
Besar
>3000
> 700
> 100


Jadual 5 : Kadar Yuran Premis Makanan/Restoran Dapur Hotel/Penyajian Makanan Bagi Tempoh 2 tahun.
Premis Makanan / Restoran / Dapur Hotel / Penyajian Makanan
RM 200 bagi setiap unit/cawangan





Syarat Penggunaan Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal
  1. Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal tidak boleh diniaga, ditukar milik atau dipinda isi kandungannya.
  2. Penggunaan Sijil Pengesahan Halal ini masih tertakluk kepada semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan yang diamalkan di negara ini.
  3. Sebarang perubahan ke atas nama syarikat, kilang/premis clan alamatnya, jenama barang, bahan ramuan clan pembekal-pembekalnya serta apa jua yang berkaitan dengannya, hendaklah diberitahu kepada Pesuruhjaya, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri2 secara bertulis untuk makluman dan tindakan selanjutnya.
  4. Pemegang sijil adalah bertanggungjawab ke atas apa-apa penyalahgunaan atau penyelewengan sijil tersebut, tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa. Jika berlaku kehilangan atau kerosakan ke atas sijil berkenaan hendaklah diberitahu secara bertulis dengan segera kepada Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri2.
  5. Sijil Pengesahan Halal berkenaan boleh ditarik balik atau ditamatkan tempoh sahnya pada bila-bila masa apabila didapati ianya menyalahi "Garis Panduan" yang telah ditetapkan atau terdapat perkara atau cara pengendalian yang meragukan dari segi syarak.
  6. Semua pemilik Sijil Pengesahan Halal yang sah bagi sesuatu barangan atau premis dibenarkan mengguna Logo Halal (seperti yang terdapat di sijil berkenaan) pada barangan atau premis berkenaan.
  7. Sijil Pengesahan Halal yang asal perlukan dipamerkan.
  8. Penggunaan logo perlu disertai dengan Nombor Rujukan.
Pembaharuan Sijil
Permohonan pembaharuan Sijil Halal hendaklah dikemukakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat sijil sedia ada berserta borang dan dokumen yang lengkap.


Belacan ini halal atau tidak ?

Langkah-langkah Proses Permohonan Sijil Halal

Pemohon yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal dikategorikan seperti berikut:
         pengeluar/ pengilang produk (manufacturer/ producer);
         pengedar/penjual (distributor/ trader);
         pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer);
         pembungkusan semula (repacking);
         premis makanan (food premise); dan
         rumah sembelih (abattoir/slaughter house).
Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, JAKIM melalui permohonan secara online.

Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat pasaran tempatan, permohonan hendaklah dipohon terus kepada JAIN/MAIN mana yang berkenaan.

Pemohonan akan ditolak bagi perkara-perkara berikut:
         Syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal 
            dan tidak halal;
         Produk yang tidak halal;
         Bahan semulajadi yang tidak melibatkan sebarang 
            pemerosesan;
         Ubat-ubatan atau produk yanng dikategorikan sebagai 
            keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan 
            Malaysia ;
         Pewarna rambut (hair color / hair dye);
         Produk siap diproses (finish processed product) yang 
            dikeluarkan di luar negara;
         Produk yang menggunakan nama yang sinonim dengan 
            istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh dan 
            sebagainya;
         Baja dan makanan binatang;

Pemohon perlu mengisi borang yang bersesuaian :
         Produk / Barangan Gunaan
         Premis Makanan
         Rumah Sembelih
Borang permohonan hendaklah lengkap diisi secara online dengan mengemukakan butiran-butiran seperti yang dikehendaki di dalam borang dan menyertakan sijil-sijil yang berkaitan, seperti berikut:
         Profil syarikat;
         Pendaftaran syarikat/perniagaan;
         Nama dan keterangan produk / menu untuk disahkan;
         Bahan ramuan yang digunakan;
         Nama dan alamat pengeluar / pembekal ramuan;
         Status halal bahan ramuan beserta sijil halal atau 
            spesifikasi produk bagi bahan ramuan kritikal (jika 
            berkaitan);
         Jenis bahan pembungkusan;
         Proses dan prosedur pengeluaran;
         Lain-lain dokumen seperti HACCP, ISO, GHP, GMP, 
           TQM dan sebagainya (Jika ada); dan
         Peta lokasi premis / kilang.

Pemohon hendaklah menyediakan fail khas "Sijil Pengesahan Halal" untuk menyimpan dokumen-dokumen berkaitan dan boleh dirujuk apabila pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut.


SIJIL HALAL...BUKTI YANG PERLU...
POHON SIJIL...PEMERIKSAAN DULU...
PRODUK DIJAMIN...LOGO HALAL TU...
PRODUK BERKUALITI...PASTI LAKU....


By,
M Anem
PLPP Air Hitam, 
Kluang, Johor,
Malaysia
(4 JamadilAkhir 1433)

KLON DAN VARIETI TANAMAN

TUMBUH-TUMBUHAN merupakan hidupan yang ujud didunia daripada pelbagai jenis dan mempunyai sistem pengkelasan tersendiri daripada pengelasan paling atas sehinggalah Kelas yang paling rendah. Tahap paling atas adalah KELAS (Class), SUB-KELAS (Sub-Class), SUPERORDER, ORDER, KELUARGA (Family), SUB-FAMILI, TRIBES, SUB-TRIBE, GENUS, SPESIS (Species), VARIETI (Variety), FORM dan KULTIVAR (Cultivar). Kita di Malaysia lebih suka memanggil KLON (Clone) terutama untuk buah-buahan seperti Durian, Rambutan dan sebagainya. Ramai rakyat Malaysia kenal dengan Klon Durian D24, Klon Durian D197, Klon Rambutan R191, Klon Mangga MA 224, Klon Limau Bali PO52 dan sebagainya. Merujuk kepada sistem pengkelasan diatas sebenarnya TIDAK ADA pun nama 'CLONE' disebut. Artikel malam ini saya menulis penjelasan penggunaan mengenai KLON dan VARIETI untuk pengetahuan bersama yang lebih tepat dan betul.


VARIETI adalah suatu kumpulan tumbuhan dalam satu taksonomi botani tunggal daripada peringkat rendah yang diketahui. Ianya dapat ditakrifkan dengan pemaparan ciri-ciri hasil daripada satu genotaip tertentu atau satu gabungan genotaip.  Varieti dapat dibezakan daripada mana-mana kumpulan tumbuhan yang lain dengan pemaparan sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri sedemikian. Varieti juga boleh dianggap sebagai suatu unit berkenaan dengan kesesuaiannya untuk dibiakkan tanpa sebarang perubahan.  Keterangan diatas adalah satu penjelasan yang dipetik dalam Akta Varieti Perlindungan Baru Tumbuh-tumbuhan 2004 (Akta 634).  Mengambil Contoh Durian kita belajar kaedah pengkelasan yang betul :


Nama Botani :   Durio zibethinus 
Nama Biasa  :  Durian
Nama Varieti : Raja Kunyit
Nombor Pendaftaran Varieti : D 197
Nama lain Varieti :  Kunyit, Maou'Sang King, dll


KLON (Clone) pula ditakrifkan sebagai tumbuhan yang dibiakkan secara 'asexual' daripada satu punca pokok induk. Kaedah Pembiakan ini akan memberikan bahan tanaman yang sama genotaipnya dengan pokok induk (mother plants) melalui pelbagai cara pembiakan seperti Keratan, Tut, Cantuman dan sebagainya. Mengambil contoh kepada pokok Durian tadi, Klon Raja Kunyit  atau Klon Durian Mao'sang King merupakan panggilan biasa, adalah lebih tepat kalau kita sekarang panggil sebagai 'Klon Varieti Raja Kunyit' atau 'Klon Varieti Mao'sang King' sahaja. Dari segi saintifik dan ketepatan bahasa sebenarnya perkataan klon yang diatas merujuk kepada kaedah anak pokok atau pokok tersebut dibiakkan atau lebih tepat sebagai Varieti Raja Kunyit dihasilkan.


NOMBOR RUJUKAN PENDAFTARAN pula merupakan satu sistem pendaftaran varieti tumbuhan diujudkan dalan Senarai Tumbuhan Nasional (National Listing) yang di kelolakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Sistem Pendaftaran ini telah dimulakan semenjak tahun 1930'an lagi dengan mendaftarkan banyak jenis tanaman teutamanya buah-buahan tropika. Nombor Pendaftaran kebanyakanya mempunyai Kod Abjad dan kod Nombor dibelakangnya. Contohnya D 197 akan dibaca sebagai buah Durian (D) dan kedudukannya sebagai nombor pendaftaran ke 197 dalam senarai daftar buah durian. Jika D 24 adalah Durian yang nombor susunan ke 24 dalam senarai tersebut. Semua maklumat asas ciri-ciri botani, marfologi tanaman dan keterangan hasil dipaparkan dalam senarai tersebut. Terdapat juga beberapa varieti yang mempunyai gambar atau foto yang akan menjelaskan varieti tersebut. Semua orang yang mempunyai varieti tanaman (Baru di jumpai melalui penyelidikan, baru dibawa masuk, telah establish) boleh memohon untuk mendaftarkan varieti tanaman kepada Jabatan Pertanian secara percuma menggunakan borang DK-1 yang boleh dimuat turun daripada laman web (http://pvpbkkt.doa.gov.my/). Pendaftaran adalah secara percuma dan selepas pemeriksaan oleh pegawai audit dan diluluskan baru permohonan akan didaftarkan.


Pendaftaran tanaman makanan yang kita ada masih belum lengkap dan perlu ada banyak lagi proses pendaftaran daripada pegawai, penyelidik, petani, usahawan, syarikat atau individu yang mempunyai varieti tanaman yang sesuai untuk didaftarkan. Beberapa negara maju dan negara jiran telah mempunyai sistem pendaftaran yang baik dan maklumat dapat digunakan untuk pelbagai tujuan. Semuga selepas membaca artikel ini kita semua akan lebih faham dalam menggunakan perkataan VARIETI dan KLON untuk tujuan penanaman, promosi jualan dan sebagainya. Sekian . Wasallam.


DULU ANDA KENAL KLON....KINI VARIETI...
VARIETI DURIAN...RAJA KUNYIT DIBERI...
NOMBOR DAFTAR...D 197 LEBIH DIKENALI...
MAOU'SANG KING...NAMA LAIN VARIETI....


By,
M Anem
Bilik Zamrud, PLPP Air Hitam,
Air Hitam, Kluang,
Johor.
(4 Jamadil Akhir 1433H)     

Wednesday, April 25, 2012

INTERGRASI CILI DAN MARKISA

Tanaman Cili Besar (Capsicum annum) dengan Markisa (Passiflora edulis) di Kampong Desa Raya, Yong Peng, Batu Pahat, Johor merupakan satu kombinasi tanaman yang sesuai. Kebun milik En Norman seluas 3 ekar ini ditanam dengan Cili Kulai varieti Ipoh yang mana beliau berpengalaman menanam pelbagai jenis sayuran semenjak 30 tahun dahulu. Pembantu Pertanian Kawasan iaitu En Ismail telah mengiringi saya dalam membuat tinjauan teknologi ke Johor bagi untuk menilai prestasi beberapa jenis varieti tanaman yang sesuai untuk di komersilkan. Cili Ipoh merupakan salah satu varieti cili besar yang popular dan memberikan pulangan yang baik. Terdapat sebanyak 1.500 pokok cili yang ditanam dibelakang rumah beliau berumur 4 bulan dengan kutipan hasil sebanyak 14 – 16 bakul seminggu. Beliau memetik cili hijau kerana harga pasaran yang baik sekitar RM 3.00 – RM 3.50 sekilogram. Beliau tidak menjual cili merah kerana risiko kerosakan pada pokok dan kos bahan kimia adalah tinggi dan lebih menguntungkan jika menjual cili hijau kepada pemborong di Yong Peng. Artikel petang ini saya menulis artikel teknologi intergrasi tanaman cili hijau dengan markisa yang berjaya untuk rujukan anda semua.

Jarak tanaman cili adalah 0.3 m dalam barisan dan 2.0 meter antara barisan dimana diatasnya ada para trellis yang ditanam dengan Markisa atau dipanggil juga sebagai Buah Susu. Penanaman cili oleh En Norman dimulakan dengan memilih benih cili Ipoh Segar berkualiti daripada pasar besar dan di Yong Peng. Beliau akan pilih benih yang sihat, besar , seragam, cukup matang serta sesuai untuk di belah dan di keluarkan bijinya. Biji ini dijemur selama satu hari sebelum disemai didalam nursery menggunakan kotak semaian (Tray). Media yang digunakan sebagai media semaian dalam tray adalah peatmoss. Benih akan bercambah selepas 1 minggu dengan kadar percambahan sebanyak 80%. En Norman jarang menggunakan benih cili yang dibelii dari Kedai Pertanian dalam tin kerana benih tersebut dakwanya mudah diserang dengan pelbagai jenis penyakit seperti Layu Bakteria dan Penyakit Tristeza Virus.

Tanaman Markisa ditanam dengan jarak 2.5 meter x 3.0 meter menggunakan sistem para trellis. Benih tanaman markisa diperolehi dari pokok stok benih yang memang ditanam dalam kampong Desa Jaya semenjak sekian lama. Biji benih dari buah yang sihat dan matang di gunakan sebagai anak benih yang di semai dalam kelambu. Tanaman markisa telah berumur 3 bulan ini menghasilkan buah Gred A yang dijual dengan harga RM 4.50 sekilogram dan buah Gred B dengan hargan RM 3.50 sekilogram. Pasaran buah Markisa ke Bandar Yong Peng yang seterusnya akan di hantar ke Singapura (70%) dan bakinya dihantar ke Kuala Lumpur. Buah markisa diminati oleh golongn ‘expatriate’ kerana kandungan vitamin C yang tinggi dan sesuai untuk merawat masaalah Gout. En Norman berkata menanam buah markisa perlukan kemahiran untuk membuat program cantasan dan kawalan penyakit.

Intergrasi tanaman Cili Kulai Ipoh dengan Markisa merupakan satu sistem tanaman yang praktikal dan sesuai. Kawalan rumpai serta amalan teknologi lain disesuaikan dengan sistem tanaman intergrasi ini. Daun Markisa sentiasa di buang dengan membuat cabtasan dahan agar cahaya matahari mencukupi untuk pokok cili dan menggalakan penghasilan bunga serta buah. En Norman hanta menggunakan racun Basta untuk meracun pangkal pokok cili dengan kepekatan 200 ml/gelen air berbanding dengan syor pada label 240 ml/gelen air. Rumpai yang tumbuh diantara batas dipotong menggunakan mesin atau di sabit sahaja. Kadar serangan perosak dan penyakit pada pokok cili dengan pokok markisa adalah sangat minimum dan terkawal. Lawatan ini mengesahkan lagi bahawa sistem intergrasi tanaman cili dengan markisa adalah sesuai dan boleh dijadikan satu sistem Pakej Amalan Teknologi Tanaman yang baik.

By,
M Anem
Kg Desa Raya, Yong Peng,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(3 JamadilAkhir 2012).

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...