Support My Blog

Friday, March 1, 2013

STEVIA - PENANAMAN


Stevia (Stevia rebaudiana) yang kini popular dikalangan usahawan adalah tumbuhan dari keluarga Asteraceae yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan. Tumbuhan ini adalah bersifat saka jangka pendek dan boleh hidup selama tiga hingga lima tahun. Ia juga dipanggil sebagai 'Sugar leaf' dan 'sweet leaf' kerana kandungan 'steviol glycocide' didalamnya. Apakah dia dikatakan keistimewaan tumbuhan ini?. Kini umum tahu yang tumbuhan stevia merupakan tumbuhan yang memberikan 'rasa manis' apabila dimasukkan kedalam mulut dan bercampur dengan air liur seperti kemanisan gula malahan didakwa mempunyai 300 kali ganda kadar kemanisan dari gula pasir. Ramai petani di Malaysia yang telah menanam stevia secara 'penanamann kontrak' atau 'contract farming' dengan beberap syarikat tempatan. Produk stevia ini didakwa sangat baik untuk mereka yang menghadapi masaalah diabetik. Penanaman boleh dijalankan secara kecil-kecilan dikeliling rumah atau pun secara komersil dikebun. Artikel pagi Selasa ini sempena cuti Tahun Baru Cina saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman stevia berdasarkan pemerhatian, lawatan persendirian dan bacaan daripada beberapa rujukan.


Penanaman stevia boleh dibiakkan melalui biji benih secara keratan atau pun dengan kaedah pembiakan kultur tisu. Di negara beriklim sederhana, stevia boleh ditanam menggunakan biji benih. Di Malaysia pula, kaedah menanam secara keratan lebih sesuai kerana pokoknya lebih seragam. Tambahan lagi, iklim tropika seperti di negara kita akan menyebabkan pengeluaran biji benih stevia memang kurang memuaskan. Pemerhatian yang dijalankan mendapati anak stevia diletakkan di tapak semaian selama sebulan hingga satu setengah bulan. Ini bertujuan untuk menyediakan anak benih yang mempunyai akar dan akan dipilih saiz anakbenih yang seragam untuk ditanam. Setelah mencapai saiz sesuai maka anakbenih akan dipindah ke ladang pada kepadatan 167,000 hingga 170,00 pokok sehektar. Penanaman dengan jarak 30 cm x 40 cm boleh dibuat diatas batas bagi kawasan yang rendah. Sebaiknya ladang bagi penanaman stevia dipasang sistem pengairan yang baik. 


Maklumat yang saya perolehi daripada beberapa petak pemerhatian Jabatan Pertanian di Serdang dimana telah menempatkan tanaman stevia yang berumur lebih 10 bulan dan masih membesar dan amat subur. Menurut pegawai di Stesyen Pertanian Serdang, tumbuhan stevia hanya tumbuh setinggi lebihkurang 30 sentimeter cm sebelum mula berbunga. Ini diukur dalam masa sebulan selepas ditanam. Berbeza dengan tanaman stevia didalam iklim sederhana dimana tanaman stevia mampu tumbuh setinggi 60 cm hingga 1.0 meter sebelum mula berbunga. Stevia merupakan tumbuhan jangka siang pendek dimana kesan jangkamasa siang akan menyebabkannya cepat berbunga sekiranya jangka siang tidak melebihi13 jam (jangka siang di Malaysia hanya 12 jam). Penanaman stevia di Malaysia dibuat diatas tanah terbuka dan tidak menjadi masaalah. Bagaimana pun terdapat beberapa petani yang telah mencuba menanam stevia dibawah struktur pelindung hujan (SPH) atas inisiatif sendiri. 

Walau pun dilaporkan terdapat lebih dari 300 varieti stevia diseluruh dunia, ketika ini belum banyak varieti stevia yang disyorkan untuk penanaman secara komersil di Malaysia. Pegawai Penyelidik tempatan perlu lebih aktif didalam memilih varieti yang lebih sesuai dengan iklim tempatan. Ini berkaitan dengan varieti yang kurang peka terhadap jangka siang yang pendek dan juga perlu mencipta atau 'design' mesin untuk penuaian hasil. Apa yang saya perhatikan buat masa ini, aktiviti menuai dibuat secara manual kerana pokok stevia kita adalah amat rendah.  Keadaan ini boleh melenguh tulang belakang kerana kita perlu membongkok untuk memotong bahagian yang hendak dituai. Jika ada varieti yang tinggi sedikit maka proses memetik hasil adalah lebih cekap dengan menggunakan mesin. Beberapa petani menyatakan bagi mendapatkan kandungan maksimum bahan pemanis di dalam daun, penuaian dilakukan sebaik sahaja kudup bunga kelihatan. Kekerapan bilangan tuaian boleh mencapai 10-11 kali setahun bergantung kepada pertumbuhan pokok. Sila dapatkan nasihat daripada pegawai pertanian atau pengusaha stevia sedia ada untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut mengenai tanaman berpotensi ini.
Wasallam.



TANAM STEVIA...MEMANG MUDAH SAHAJA...
ANAKBENIH KERATAN... DISUSUN RATA...
LEPAS MENANAM... POKOK PERLU DIJAGA...
MENUAI STEVIA... TUAIAN BERGANDA...

By,
M Anem
Bandar Melaka
Melaka
Malaysia
(2 Rabiulakhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...