Support My Blog

Sunday, April 21, 2013

BUAH KUNDANG (Part 2)


BUAH KUNDANG (Boues macrophylla) merupakan sejenis buah nadir yang natif dikawasan Asia Tenggara dari keluarga Anacardiaceae. Pokok buah kundang ini juga mempunyai kaitan dengan pokok buah mangga. Buah ini lebih dikenali dengan nama Ma-Praang atau Ma-Yong di Thailand dan dikomersilkan dinegara tersebut sehingga mereka mampu mengekspot ke negara kita apabila musim buah tersebut tiba. Buah ini juga dipanggil dengan Marian Plum atau Plum Mango dalam Bahasa Inggeris. Dalam bahasa Indonesia buah ini dipanggil sebagai Gandaria atau Jatake. Saya yang berasal dari Muar tidak hairan akan buah kundang dimana kampong saya adalah berdekatan dengan Pekan Kundang Ulu dan juga satu Kampung Kundang di Kesang. Kemungkinan kedua-dua lokasi tersebut diberi nama 'Kundang' mungkin disebabkan oleh keujudan banyak pokok kundang dahulu. Dari segi topografi, saya dapati memang banyak pokok buah kundang liar disepanjang Sungai Muar dimana ia tumbuh secara semulajadi. Buah ini mempunyai warna kuning oren yang sangat kuat dan kita akan telan air liur apabila melihatnya dipokok atau dipasar. Kajian mendapati buah kundang telah banyak dikomersilkan di Thailand dan Indonesia tetapi agak kurang di Malaysia. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan dan pengeluaran buah kundang direkodkan dimana-mana. Artikel malam ini saya akan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah Kundang yang saya kenal dan buat banyak rujukkan untuk dibaca oleh anda semua.


Tumbuhan ini tidak banyak varieti yang telah didaftarkan kerana ia masih dianggap sebagai buah nadir atau pun 'minor fruits categroy'. Di negara jiran Indonesia, terdapat beberapa jenis Buah Kundang yang ada disebut-sebut seperti Varieti Hitalu (sangat masam), Varieti Ramania Pipit dan Ramania Tembaga (Isi yang manis dan berwarna kemerahan). Terdapat satu lagi varieti iaitu varieti Mayong Child di tanam di Thailand yang rasanya manis dan kulit serta isi kuning oren yang kuat (Foto diatas sekali). Di negara kita belum ada varieti buah kundang yang didaftarkan atau anakbenihnya dijual di nurseri swasta kerana ia kurang ditanam secara komersil. Ini kerana tanaman ini belum mendapat perhatian daripada petani yang masih menganggap ia adalah tidak menguntungkan. Selain daripada ia buah bermusim, pokok kundang agak lambat mengeluarkan hasil dan mungkin juga mungkin masaalah pemasaran. Buah kundang yang dijual di negara kita kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran.


Walau pun tidak banyak penulisan mengenai amalan agronomi tanaman kundang, jika kita hendak tanam secara komersil, kita boleh ambil pakej amalan teknologi penanaman mangga. Ini termasuk dari segi pembajaan, cantasan dahan, kawalan musuh dan juga perosak dan juga aruhan pembungaan. Masaalah kelekatan putik buah (fruit set) merupakan antara masaalah yang perlu diteliti agar tidak banyak putik buah yang gugur semasa pembesaran (Lihat foto sebelah). Putik buah kundang boleh gugur disebabkan oleh serangan kulat, faktur kekurangan air, tiupan angin kencang dan juga masaalah fisiologi tumbuhan itu sendiri. Beberapa petani di Thailand dilaporkan menggunakan baja khas seperti jenis Chitosan dan baja organik untuk mengekalkan kelekatan buah. Ada juga petani yang menutup pokok dengan plastik agar putik tidak gugur.


Buah kundang muda berwarna hijau dengan isi warna ungu (bergantung kepada varieti). Buah muda ini dipetik untuk dimakan sebagai rojak atau juga di buat sambal (Lihat foto sebelah). Buah yang masak lazimnya dipetik dengan tangan apabila ia telah berwarna kuning oren dan agak lembut sedikit. Tangkai buah dipotong dengan gunting dan disusun dengan kemas dalam bakul. Buah kundang tidak boleh jatuh ketanah semasa mematik kerana ia akan lebam atau pecah dan tidak boleh dipasarkan. Buah yang telah digredkan perlu dipasarkan dengan segera kerana ia tidak tahan lama sekitar 3-4 hari sahaja. Jika disimpan dalam bilik sejuk ia akan tahan sehingga lebih seminggu. Buah kundang banyak mengandungi banyak zat mineral dan vitamin (Sila rujuk rajah dibawah)
Buah kundang adalah sejenis buah nadir yang berpotensi untuk dikomersilkan jika ada yang berminat. Pucuk daun muda pokok kundang boleh dipetik dan dimakan sebagai ulam atau dimasak sebagai sayur.  Bijinya jika dimakan mempunyai rasa pahit dan mungkin mempunyai khasiat perubatan. Kayu pokok kundang yang telah besar sesuai untuk di jadikan papan atau perabut yang cantik dan mahal. Dahan kayu kering juga sesuai digunakan sebagai kayu api. Semuga artikel ini dapat kita menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian.
Salamat Po!..Wasallam!
Buah kundang digantung di gerai buah.
BUAH KUNDANG...KECUR DENGARNYA...
HANYA BERMUSIM...ADA JUALANNYA...
PERLU DIPETIK... JAGA KUALITINYA...
WALAU NADIR.... IA BANYAK GUNA... 

By,
M Anem
Senior Agronomist
Serdang Agriculture Station
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(8 JamadilAkhir 1434H)






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...