KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, April 22, 2013

MANGGIS - ANALISA SWOT

MANGGIS (Garcinia mangostana) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Clusiaceae dan kini mendapat pasaran yang baik diluar negara. Manggis merupakan buah yang juga di gelar "Ratu Buah-buahan Tropika"  tergulung dalam kategori buah-buahan bermusim dimana ia berbunga pada bulan Febuari dan mula matang dari bulan Jun. Kemuncak penghasilan manggis di Malaysia sekitar bulan Jun hingga bulan Ogos. Empat negeri utama dimana manggis ditanam di Malaysia adalah di Kelantan (1,024 ha), Kedah (730 ha), Johor (788 ha) dan Perak (615 ha) daripada seluas 7,400 hektar yang dilaporkan pada tahun 2012 (Jabatan Pertanian - Ststistik Tanaman). Tanaman pokok manggis dijalankan sebagai tanaman bercampur dalam dusun bersama dengan tanaman lain seperti durian, duku, rambutan dikawasan dusun atau keliling rumah. Produktiviti pengeluaran buah manggis di Malaysia adalah pada tahap sederhana iaitu purata 7.2 metrik tan sehektar. Kajian daripada MARDI (2009) menunjukkan kadar produktiviti manggis paling tinggi di Melaka (15 mt/ha) diikuti dengan di Kelantan (10.44 mt/ha) dan Negeri Sembilan (8.5 mt/ha). Pelbagai faktur dikaitkan dengan kadar produktiviti ini yang diantaranya amalan agronomi tanaman, serangan perosak, kedudukan pokok manggis dan juga varieti yang ditanam. Artikel malam Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai analisa SWOT potensi tanaman manggis di Malaysia berdasarkan laporan beberapa sumber termasuk daripada Jabatan Pertanian, FAMA, MARDI dan beberapa petani yang mengusahakan tanaman manggis yang telah saya temuduga.



Analisis SWOT (Strength- Kekuatan, Weakness - Kelemahan, Opportunities - Peluang dan Threat - Ancaman) merupakan satu kaedah paling mudah digunakan didalam membuat analisa dalam banyak bidang termasuk bidang pertanian (Rujuk rajah diatas). Saya telah banyak kali menggunakan teknik analisis SWOT didalam menjalankan kajian dan juga ketika memberi ceramah-ceramah pertanian. Cara analisis ini digunakan adalah dengan mengumpulkan semua fakta dan faktor didalam sebarang bidang usaha yang menjurus kepada kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dijelaskan sehingga kita mampu membuat keputusan yang tepat. Dalam industri penanaman manggis, potensi buah manggis untuk pasaran domestik dan ekspot telah lama diwar-warkan. Adakah kita sebenarnya mampu dan boleh mengusahakan tanaman yang dulu hanya ditanam untuk dimakan sendiri atau untuk anak cucu yang balik kampong sesekali, kini kita boleh menganalisis potensi tersebut berasaskan analisis SWOT untuk diketengahkan. Analisis ini dibuat untuk melihat beberapa kemungkinan dan andaian dalam potensi tanaman manggis bagi dikomersilkan kepada tanaman lebih bernilai tinggi.

KEKUATAN (S)
Kebanyakan pokok manggis yang ada ditanam di Malaysia adalah pada peringkat matang kalau tidak tua iaitu berumur antara 20-25 tahun iaitu umur yang menghasilkan buah ditahap optimum. Tahniah kepada Jabatan Pertanian yang telah memberikan anakbenih manggis didalam Program Mempelbagaikan Tanaman (AIDS - Agriculture Input Diversification Scheme/Project) sekitar 1980'an dulu. Ini berkait dengan penjagaan dan pengurusan pokok yang baik mengikut amalan SALM (Skim Amalan Baik Malaysia). Jika hendak menanam manggis pokok baru, anakbenih 'advance planting material-APM' mampu mempercepatkan pengeluaran hasil dan memberikan pulangan untuk modal  pelaburan kepada petani. Harga yang ditawarkan diladang antara RM 1.60 - RM 1.80 (Hasil kajian dan temubual penulis di Johor dan Melaka) membolehkan petani mendapat pulangan margin yang boleh menguntungkan sekurang-kurangnya untuk menampung kos pengeluaran.

KELEMAHAN (W)
Kebanyakan pokok manggis sedia ada berada dikawasan pendalaman dan berselerak dikawasan kampong yang jauh daripada pusat pengumpulan dan pusat untuk ekspot seperti pelabuhan dan lapanganterbang. Ini meningkatkan kos operasi jika hendak diekspot keluar negara. Purata saiz kebun bagi penanaman manggis sedia ada adalah kecil sahaja iaitu antara 0.2-0.4 hektar dimana ini meningkatkan kos pengurusan kebun. Oleh itu untuk dijadikan pengurusan berpusat dan bertaraf komeril, maka ia agak sukar untuk dilaksanakan. Kajiansaya juga menunjukkan yang petani atau pemilik pokok manggis rata-rata telah berumur lebih 50 tahun dan agak sukar untuk meningkatkan teknologi serta inovasi baru. Pengeluaran buah manggis adalah bermusim sahaja (selama dua bulan dalam setahun)  iaitu pada bulan Jun-Ogos dimana ini agak sukar untuk memenuhi kehendak pasaran dan juga pelanggan.

PELUANG (O)
Permintaan untuk manggis segar untuk pasaran domestik dan pasaran antarabangsa semakin meningkat setiap tahun. Kajian menunjukkan permintaan meningkat pada kadar 3-5% setahun dengan nilai pasaran domestik sebanyak RM 50 juta dan juga pasaran antarabangsa mencecah RM 580 juta setahun. Nilai tambah daripada manggis kini diperluaskan untuk bahan perwarna asli, makanan kesihatan dan juga sebagai produk kesihatan terus meningkat dipasaran domestik dan global. Pada masa ini dasar liberalisasi telah membuka lebih banyak peluang untuk pasaran manggis Malaysia menembusi negara-negara yang sukar menerima produk kita seperti Australia, USA dan Jepun. Buah manggis kini telah mempunyai kaedah untuk menggred untuk pasaran antarabangsa (Lihat foto sebelah). Kaedah pembungkusan yang baik dan disimpan dalam suhu sejuk mampu melanjutkan jangkahayat buah manggis.

ANCAMAN (T)
Bagi mendapatkan produk manggis yang berkualiti, saya dapati kos pengeluaran akan meningkat dari segi kos input, kos pengurusan dan aktiviti lepas tuai. Ini kerana buah manggis perlu menjalani satu lagi proses ketat untuk mencapai kualiti ekspot. Beberapa negara jiran seperti Filipina, Vietnam dan Sri Lanka telah mampu menghasilkan produk yang sama dengan kos pengeluaran lebih rendah dan kualiti yang baik. Negara Thailand dilaporkan berjaya didalam mengekspot manggis segar kebanyak negara didunia dengan kualiti yang terjamin dan harga yang kompetetif. Sistem pemasaran buah manggis di negara kita perlu dikemaskan kerana buah manggis adalah mudah rosak (perishable).

Semuga artikel ini memberikan idea kepada pembaca blog "Anim Agro Technology" dan dapat membincangkan isu ini. Tanaman manggis mempunyai potensi jika ada pihak yang sentiasa memberikan galakkan untuk diketengahkan keperingkat antarabangsa. Analisis SWOT juga menjelaskan tentang perkara diatas. Wallahualam!

ANALISIS SWOT..MUDAH SAHAJA...
POKOK MATANG...PERLU DIJAGA...
BUAH BERMUSIM...MACAMANA HARGA...
LEPAS TUAI..PERLU DILAKSANA...
NEGARA JIRAN.. SUDAH BERJAYA...
KITA DI MALAYSIA...BILA PULA?...

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(12 JamadilAkhir 1434H) 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...