Support My Blog

Wednesday, July 10, 2013

CERI - PENANAMAN (Part 1)

POKOK CERI (Prunus avium atau Prunus cerasus) merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh menegak dari ketegori pokok renek dalam keluarga Ceraceae. Kita orang yang tinggal di Malaysia jarang jumpa pokok ceri yang ditanam untuk menghasilkan buah kerana ia sesuai hanya dinegara-negara beriklim sejuk. Daripada buku "Temperate and Subtropical fruit production - 3rd Eddition" terbitan CABI International (2011) karangan David Jackson dan rakan-rakan yang saya baca ada menyatakan, terdapat lebih daripada 100 spesis pokok ceri dengan jumlah lebih dari 1,500 kultivars diseluruh dunia tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang dikomersilkan. Walau pun asal usul pokok ceri dari kawasan 'temperate' di hemispiar utara, varieti pokok ceri komersil yang telah dimajukan adalah berasal dari kawasan Caucasus iaitu  diantara Laut Hitam dengan Laut Caspian. Saintis memberikan kategori Buah Ceri sebagai Ceri Manis (Sweet cherry) dan juga Ceri Masam (Sour Cherry). Laporan statistik yang saya rujuk menunjukkan terdapat seluas lebih dari 400,000 hektar penanman ceri seluruh dunia dengan pengeluaran sebanyak 2.5 - 3.0 juta metrik tan setahun. Tiga negara pengeluar utama buah ceri didunia adalah Turki (420,000 mt/tahun) diikuti dengan USA (391,000 mt/tahun) dan Iran (225,000 mt/tahun ). Lain-lain negara yang banyak menanam dan juga banyak menghasilkan buah ceri seperti Itali, Sepanyol, Rusia dan Syria. Artikel pada subuh 1 Ramadan 1434H ini saya minat untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman buah ceri (Cherry) untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Beberapa perkara penting yang saya hendak katakan mengenai varieti ceri manis (Lihat foto sebelah) adalah dimana burung sangat suka memakan buah ini kerana buah ceri ini adalah jenis buah paling awal masak dalam kalendar buah-buahan temperate. Terdapat masaalah dalam aktiviti pemdebungaan dan proses pembentukkan buah (fruit set) kerana kebanyakan kultivar ceri manis adalah 'self-compatible'. Keadaan cuaca yang terlalu lembab juga akan  menyebabkan kurangnya proses pembentukkan buah. Keadaan hujan ketika mula menuai lazimnya akan menyebabkan buah ceri pecah. Pokok ceri manis juga mempunyai masaalah serangan penyakit yang sukar dikawal seperti Kanker Bakteria dan masaalah serangan penyakit 'Silver leaf'. Antara masaalah utama dalam penanaman ceri manis adalah kerana ia banyak menggunakan tenaga buruh untuk aktiviti menuai buah ceri yang masak, apa lagi jika pokok ceri tersebut sudah besar serta tinggi (pokok berumur lebih 15 tahun). Penuaian ceri manis mesti dibuat dalam masa singkat untuk segera dihantar kepasaran. Buah cerimanis yang ranum mudah rosak jika ianya lambat dihantar kepasaran untuk jaminan kualiti dan juga jaminan kesegaran. Buah ceri yang dipasarkan untuk domestik dan ekspot memerlukan kaedah bilik sejuk. 


Pokok Ceri merupakan pokok renek tumbuh menegak dengan ketinggian mencecah hingga 20 meter tetapi lazimnya petani akan sentiasa membuat cantasan (Lihat foto sebelah). Tanah jenis lom yang dalam dengan saliran baik diperlukan untuk tanaman pokok ceri. Pokok ceri perlukan iklim yang sejuk (Kawasan temperate) dan tidak sesuai ditanam dikawasan panas lembap di tropika atau negara beriklim terlalu sejuk. Kajian oleh para saintis pertanian menunjukkan pada suhu sejuk -30 celsius, lazimnya ia akan menggalakan proses pengeluaran bunga (Bunga Sakura) dimana suasana ini menjadikan pokok ceri adalah amat cantik dengan berbunga sahaja tanpa daun melekat (Lihat foto dibawah sekali). Keperluan air adalah kritikal oleh pokok ceri pada masa pembentukkan dan pembesaran buah. Perlu dipastikan ada bekalan air mesti mencukupi pada fasa ini dengan memasang sistem pengairan. Amat penting juga untuk mengelakan keadaan kemarau panjang yang mana ini akan menjejaskan kualiti buah ceri. Ketahanan terhadap angin dan keasidan tanah adalah pada tahap sederhana untuk pokok ceri. Kejadian hujan dimusim berbunga dan pembentukkan buah akan menebabkan kurangnya berlaku proses seperti pendebungaan, pembentukan buah dan pokok ceri mudah diserang penyakit.


Penanaman pokok ceri lazimnya akan menggunakan benih dari bahan keratan batang, tut dan juga biji yang semai untuk dijadikan anakbenih klon. Ceri varieti manis lazimnya dipilih dari pokok induk yang telah dikenalpasti untuk dijadikan benih. Anakbenih ceri yang sesuai akan ditanam dengan jarak penanaman 5.0 - 6.0 meter pada keadaan biasa dan jarak serapat 3.0 meter x 3.0 meter jika ditanam secara padat. Pokok Ceri masam bagaimana pun boleh ditanam dengan jarak lebih rapat lagi kerana pokok ini lebih tahan lasak. Penjagaan rumpai lazimnya dikawal dengan cara  pemotongan dengan mesin rumput atau kawalan dengan racun kimia mengikut keperluan. Pokok yang dijaga baik didapati paling awal berbuah apabila berumur 3 - 4 tahun tetapi lazimnya buah boleh dituai sebagai hasil pada umur 7-10 tahun selepas ditanam untuk penghasilan optima. Pokok ceri yang dijaga baik boleh hidup selama 25 - 35 tahun sebagai pokok yang produktif. Bergantung kepada kaedah pengurusan, jangkaan hasil ceri manis adalah sebanyak 2 mt/ha pada tahun ke 4, meningkat kepada 5 mt/ha pada tahun ke 6 dan stabil sebanyak 10 mt/ha selepas berumur 8 tahun. Buah ceri yang dituai perlu digredkan, dibungkus sebelum dihantar kepasaran. Siapa boleh fikir bagaimana buah ceri ini digunakan?. Bersambung degan Ceri Part 2 (Sila klik disini).
Wasallam!..
Pokok ceri yang berbunga (bloom).
POKOK CERI... BANYAK BUNGANYA...
BUAH MASAK... MANIS RASANYA...
BANYAK JENIS ... LAMA HIDUPNYA...
PELBAGAI RASA... BANYAK DIGUNA..

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(1 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...