Support My Blog

Tuesday, July 23, 2013

MANGGA - REPUT DALAM BUAH MANGGA

KEJADIAN BUAH REPUT DALAM pada tanaman mangga (Mangifera indica) atau Isiduous Fruit Rot (IFR) merupakan satu masalah disebabkan oleh gangguan 'Physiological disorder'. Semasa saya menanam mangga Chok Anan di Kg Tehel, Jasin, Melaka dan Mangga Apple di depan rumah di Peringgit Jaya Melaka, saya beberapa kali jumpa masaalah buah reput dalam walau pun kejadian ini bukan selalu saya dialami. Kejadian ini adalah disebabkan oleh gangguan daripada kekurangan beberapa jenis nutrien tertentu pada tanaman mangga (Lihat foto diatas). Diantara nutrien yang telah dikenalpasti adalah seperti Unsur Kalsium (Ca), Nitrojen (N), Kalium (K) dan juga nisbah perseimbangan diantara nutrien dalam tumbuhan. Saya ada membaca beberapa buku termasuk buku "The Mango - 2nd Eddition for Botany, Production and Uses" karangan Richard E. Litz yang mempunyai banyak maklumat mengenai tanaman mangga terbitan CABI International (2011). Kajian mendapati kejadian ini menyebabkan kualiti buah mangga rosak dan akan menyebabkan ianya tidak sesuai untuk dimakan seperti buah mangga yang sihat. Walau pun jika dilihat pada kulit luar ianya tidak rosak, apabila buah tersebut dipotong kita akan dapat melihat kerosakan akibat IFR ini. Artikel subuh Khamis ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kejadian buah reput dalam pada buah mangga atau "IFR" untuk dijadikan bahan rujukkan berdasarkan kepada  pemerhatian penulis, pengalaman dan laporan kajian oleh rakan-rakan.


Tanda serangan IFR adalah seperti foto sebelah dimana ia akan mula dikesan pada bahagian isi dalam buah mangga iaitu dibahagian apeks (bawah) berhampiran dengan biji. Apa yang saya perhatikan, isi yang diserang menjadi lembik (orang kata 'benyal') dimana apabila dirasa dengan lidah ianya adalah agak pahit. Apa yang unik adalah ketika kita membuat pemeriksaan pada kulit bahagian luar buah tidak terdapat sebarang tanda dimana kulit luar adalah normal dan cantik kelihatannya. Keadaan ini lebih serius pada buah mangga yang dipetik pada tahap bertambah matang. Merujuk kepada rakan saya iaitu seorang pakar buah mangga yang berpengalaman Jabatan Pertanian, En Mohd Razi Md Noor di Kedah, dia menyatakan terdapat sebanyak 5 julat kejadian masaalah IFR ini daripada julat 1 hingga 5 mengikut tahap serangan. 


Pada tahap Julat 1 serangan IFR ini katanya terdapat banyak bintik-bintik hitam pada tempurung buah mangga iaitu dibahagian bawah buah. Pada tahap Julat 1 lazimnya buah mangga masih sesuai untuk dijual dan dimakan. Keadaan Julat 2 dimana kira-kira 1/6 daripada bahagian isi telah rosak dan buah ini sesuai untuk pasaran tempatan. Rujuk foto diatas dimana ia menunjukkan keadaan serangan IFR pada Julat 3, 4 dan 5.  Julat 3 adalah dimana jika buah mangga diserang dengan 1/6 hingga 1/3 isi buah rosak ia masih boleh diproses untuk produk hasilan proses mangga. Julat 4 adalah dimana kerosakan isi buah diantara 1/3 hingga 2/3 dan pada ketika ini buah mangga kurang sesuai untuk diproses. Akhir sekali pada Julat 5 adalah keadaan dimana lebih daripada 2/3 bisi buah rosak dan buah ini memang tidak boleh digunakan atau ditolak sahaja untuk dipasarkan atau dimakan. 



Menjadi masaalah kejadian IFR ini kerana ia menyukarkan petani untuk mengenalpasti dari peringkat awal diladang atau semasa mengutip hasil. Tanda serangan IFR ini juga tidak dapat dilihat semasa membuat 'grading' di pusat pemprosesan sebelum di pasarkan sama ada pasaran domestik mahu pun pasaran ekspot. Melihat dari luaran petani amat gembira dengan hasil buah mangga yang cantik (Lihat foto diatas) yang saya ambil dikebun petani di Melaka tetapi kemungkinan berlakunya IFR tetap ujud. IFR ini hanya dapat dikesan ketika proses pemeraman atau pemasakkan. Pada buah mangga yang telah masak kita akan periksa dibahagian apeks (Bawah) yang akan terasa lembut (Lembik) daripada bahagian dorsal buah. Ambil buah ini dan kemudian dibelah dan jika kita dapati isi pada buah dibahagian tersebut menjadi lembik memang sah bahawa ia rosak dan amat kurang menyelerakan untuk dimakan. Kajian ini menunjukkan pada tahap serangan yang teruk boleh menyebabkan buah tidak sesuai dijual dimana pengusaha akan mengalami kerugian. Bagaimanakah kita hendak mengatasi masalah ini?...Sila ikuti artikel saya berikutnya.
Wasallam!.

REPUT DALAM BUAH... APA DIA...
NAMA 'IFR MANGO'... GLAMERNYA...
ADA 5 JULAT... JULAT 5 TERUKNYA...
TIDAK BOLEH JUAL..BUANG SAHAJA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Tehel, Jasin,
Melaka,
Malaysia
(13 Syaaban 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...