Support My Blog

Tuesday, October 1, 2013

BETIK - SERANGAN 'PAPAYA DIEBACK'

Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) merupakan satu penyakit tanaman Betik (Carica papaya) yang serius dan telah menjadikan industri betik negara terjejas teruk. Penyakit merbahaya ini telah mula dikesan di Batu Pahat, Johor pada tahun 2003 (semasa itu saya bertugas di Johor) dan kemudian merebak ke kawasan penanaman betik komersil di beberapa negeri-negeri seperti Perak, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang. Seterusnya pada tahun 2003 Jabatan Pertanian mula mengesahkan ia sebagai penyakit merbahaya dan telah dikesan dibanyak negeri. Serangan penyakit ini menyebabkan banyak pokok betik rosak dan akhirnya mati sehingga mampu menjejaskan pengeluaran betik negara sama ada untuk pasaran domestik dan ekspot. Banyak usaha kawalan telah dibincangkan oleh Jawatankuasa khas mengawal penyakit matirosot betik dimana salah satu daripada kaedah kawalan adalah memusnahkan pokok betik yang telah dijangkiti. Di Johor juga saya pernah terlibat dengan aktiviti menebang pokok-pokok betik yang dijangkiti iaitu diperingkat awal kaedah kawalan. Pokok yang telah diserang papaya dieback akan ditebang dan kemudian membakarnya. Diantara pengalaman buruk pasukan ini adalah 'kena marah' dengan tuan rumah (menebang dikawasan pokok betik keliling rumah petani) apa tidaknya pokok betik tersbut terdapat dawai menyidai kain. Bagaimana pun pasukan ini dapat memberikan penerangan sewajarnya dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 kepada mereka. Penyakit mati rosot betik merupakan sejenis penyakit merbahaya yang tertakluk kepada akta ini. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai laporan-laporan akhbar yang berkaitan dengan serangan penyakit papaya dieback bagi bacaan dan rujukkan anda.


LAPORAAN AKHBAR 1:

Awas penyakit mati rosot betik
04/12/2009
BUAH betik yang kaya dengan vitamin B2, C dan beta-karotene digemari dan dimakan secara segar oleh orang ramai. Buah betik bukan sahaja mendapat permintaan baik dari pengguna tempatan, malah mempunyai potensi untuk dieksport ke luar negara seperti China, Jepun, Eropah dan Amerika. Kini, tanaman betik dan industri betik negara diancam sejenis penyakit yang dikenali sebagai penyakit mati rosot ataudieback disease. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Erwinia papayae dan menyebabkan kerosakan serius pada pokok dan kehilangan hasil buah betik sehingga 100 peratus. Kesemua varieti betik iaitu Eksotika, Hong Kong, Solo dan Sekaki didapati diserang oleh penyakit mati rosot dan penyakit betik dikesan berlaku di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Tanda-tanda penyakit
Penyakit mati rosot ini menyerang semua bahagian pokok betik termasuk pucuk, daun, pelepah daun, batang dan buah betik. Terdapat tanda-tanda yang jelas pada bahagian-bahagian tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini. 

Bahagian Pucuk -
Terdapat tanda lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman pada bahagian antara pucuk dan pelepah. Pucuk kemudian reput dan terkulai. 

Bahagian Daun : 
Kelihatan tanda lecuh basah pada tepi dan hujung daun. Urat daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman. 

Bahagian Pelepah daun:
Terdapat tanda lecuh basah dan nekrotik kehitaman pada bahagian hujung pelepah. Daun akhirnya terkulai. 

Bahagian Batang : 
Terdapat tanda lecuh basah pada batang pokok betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini. 

Bahagian Buah: 
Terdapat tompok-tompok hitam pada kulit buah, manakala isi buah kelihatan lecuh basah.

Cara merebak
Bakteria Erwinia papayae ini hidup dalam tanah. Bakteria ini boleh merebak dari satu kawasan ke kawasan lain melalui tanah dan air dan menyerang pokok betik yang sihat. Punca penyakit atau patogen dalam tanah ini turut boleh dibawa oleh manusia dan kenderaan.

Apa perlu dibuat?
Penyakit mati rosot adalah penyakit yang digazetkan sebagai berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.  Petani dikehendaki memeriksa anak benih betik di tapak semaian dan pokok betik yang baru ditanam serta pokok betik besar dan berbuah setiap minggu. Sekiranya anak benih atau pokok betik menunjukkan tanda-tanda penyakit mati rosot, musnahkan dengan segera. Tujuannya ialah untuk mengelakkan penyakit tersebut merebak dari satu ladang ke ladang yang lain dan menjadi ancaman kepada industri tanaman betik negara.

Cara memusnahkan pokok berpenyakit
Bagi ladang betik kecil dan pokok yang ditanam di sekeliling rumah, tebang pokok betik yang berpenyakit dan gali keluar bersama akarnya. Longgokan bahagian-bahagian yang dipotong dan kemudian bakar. Selain membakar, bahagian-bahagian pokok betik berpenyakit yang dipotong boleh dimasukkan ke dalam satu lubang dan timbus. Bagi ladang betik yang besar, jentera digunakan untuk menggali keluar pokok betik berpenyakit bersama dengan akar dan kemudian dilonggokkan di satu tempat, dibakar atau dimasukkan ke dalam lubang besar menggunakan jentera dan timbus.

Denda
Mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, petani yang enggan memusnahkan tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Ingin menanam betik?
Sekiranya anda ingin menanam betik, patuhi Amalan Pertanian Baik yang disyorkan. Pilih satu kawasan penanaman yang tiada penyakit mati rosot dan elakkan menanam di kawasan yang telah mengalami serangan penyakit ini selama setahun. Pastikan anda menggunakan biji benih dan anak benih betik yang sihat dan bebas dari penyakit mati rosot ini. Anda dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa pokok betik anda dan memusnahkannya segera sekiranya ia didapati diserang oleh penyakit mati rosot ini.

Jangan biarkan buah betik yang gugur dan rosak di ladang kerana ia boleh menjadi punca perebakan penyakit mati rosot ini. Kutip dan musnahkan. Berikan pokok betik anda pembajaan yang cukup dan buangkan rumpai yang dijumpai dalam ladang supaya pokok betik tumbuh dengan cergas dan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Penyakit mati rosot boleh juga disebarkan melalui peralatan ladang seperti cangkul dan parang. Oleh yang demikian, ia perlulah dibersihkan dengan bahan pembasmi kuman selepas petani telah menggunakannya. Begitu juga bakul-bakul perlu dibersihkan dengan air sebelum di bawa masuk ke ladang untuk diisikan dengan buah. Sediakan tapak pencuci yang diisi dengan bahan basmi kuman di pintu masuk ladang bagi membersihkan tayar kenderaan yang memasuki ladang. Ini adalah kerana penyakit mati rosot ini boleh juga merebak melalui tanah yang terlekat pada tayar kenderaan. Akhir sekali, jangan benarkan pelawat dan kenderaan yang tidak berkenaan memasuki ladang. Hubungi Jabatan Pertanian terdekat bagi mendapat maklumat lanjut atau layarai laman sesawang www.doa.gov.my.


LAPORAN AKHBAR 2:
Jabatan Pertanian pantau penyakit mati rosot


SUNGAI PETANI 31 Dis. - Jabatan Pertanian negeri sedang memantau sebanyak 319 hektar tanaman betik melibatkan 46 petani di negeri ini bagi mengelak serangan penyakit mati rosot yang boleh mendatangkan kerugian besar kepada peladang. Pengarahnya, Ismail Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 45.5 hektar tanaman itu dijangkiti penyakit berkenaan. "Sejumlah 36.7 hektar tanaman betik yang dijangkiti telah dimusnahkan secara sukarela oleh pemilik bagi mengelak kerugian lebih besar. ''Serangan penyakit mati rosot boleh menjejaskan industri tanaman betik di negara ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif pembendungan penyakit mati rosot kepada penanam betik di negeri ini di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) negeri, Mohd. Razi Mohd. Noor dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Kedah, Rohaina Mat Nawi.

Sebanyak RM140,135 nilai insentif diberikan kepada 24 petani yang terlibat dalam pemusnahan tanaman betik secara sukarela itu. Pada majlis tersebut, seorang penanam betik dari Kuala Muda, Boo Choon Koay,55, menerima insentif sebanyak RM25,000 apabila tanaman betik yang diusahakannya seluas 7.5 hektar diserang penyakit berkenaan. Menurut Ismail, kempen memusnahkan tanaman dijalankan sejak Mac lalu dalam memberi kesedaran kepada penanam betik untuk mengawasi tanaman tersebut. Ini kerana, katanya, jangkitan penyakit rosot sukar dibendung sekiranya tanaman diserang bakteria berkenaan. Jelasnya, di negeri ini sebanyak 15 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tanaman dijangkiti penyakit tersebut. 


Dalam pada itu, Ismail berkata, pemberian insentif itu sebagai janji Jabatan Pertanian kepada penanam yang memusnahkan tanaman betik secara sukarela.  Bagaimanapun, katanya, Akta Perlindungan Tanaman menyebut bahawa jabatan itu boleh memusnahkan tanaman yang dijangkiti jika petani enggan berbuat demikian dan kos memusnahkan tanaman akan ditanggung oleh petani. "Langkah Jabatan Pertanian ini sebagai satu usaha mengawal tanaman betik di negeri ini dengan amalan pertanian baik dan menjadikan negeri ini antara pembekal betik utama negara. "Usaha memajukan tanaman betik di Kedah akan dipergiatkan berikutan terdapat permintaan bekalan terutama dari Hong Kong, Taiwan dan China," katanya.


LAPORAN AKHBAR...MEMANG ADA...
SEBAR SEMUA...PETANI MEMBACA...
CARA BERKESAN... MELALUI MEDIA...
KAWAL PENYAKIT...BUAT BERSAMA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Ladang Betik Mah Sing Group,
Ladang Labis, Segamat,
Johor, Malaysia.
(23 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...