Support My Blog

Thursday, September 11, 2014

LEBAH - TEKNOLOGI MENTERNAK (Part 1)

TERNAKAN LEBAH MADU (Honey Bee) merupakan satu akiviti yang agak kurang diberi perhatian oleh usahawan muda di Malaysia. Lebah Madu merupakan serangga hidupan yang terbang dan bersarang di lokasi khusus sama ada diternak atau lebah liar dihutan. Kajian penulis mendapati di Malaysia terdapat seramai 730 orang usahawan lebah madu yang aktif didaftarkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia sebagai satu sumber rujukkan yang berguna. Antara negeri yang paling ramai mempunyai usahawan lebah adalah Negeri Sabah dengan seramai 625 orang usahawan diikuti dengan Kedah (20 orang) dan Kelantan (17 orang) usahawan lebah madu dan melibatkan sebanyak 23,385 kotak haif (Laporan dari Jabatan Pertanian 2013). Lebah adalah sekelompok besar serangga yang dikenali ramai dimana ia bersosial dan berkelompok meskipun sebenarnya tidak semua lebah adalah bersifat demikian. Semua lebah masuk dalam suku atau familia Apidae (ordo Hymenoptera). Apa yang saya belajar, lebah merupakan serangga yang menghasilkan madu dan produk-produk lain berasaskan lebah yang telah lama dikenali manusia. Sejak zaman purba manusia memburu sarang lebah di gua-gua, di lubang-lubang pokok serta tempat-tempat lain untuk diambil madunya. Lebah juga menghasilkan produk yang yang sangat diperlukan untuk dunia kesihatan seperti royal jelly, pollen, lilin dan sebagainya. Selanjutnya manusia mulai menternak lebah madu secara komersil dengan memakai gelodog kayu dan pada masa ini menggunakan Haif Lebah iaitu sistem berpusat. Di Malaysia teknik menternak lebah secara komersil masih pada tahap belum matang kerana masih sedikit usahawan yang berkecimpong menternak lebah madu secara komersil berbanding dengan negara lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan teknologi menternak lebah madu untuk rujukan dan bacaan anda.


Di Malaysia penternakan lebah madu dijalankan dimerata lokasi terutama kawasan hutan akasia, kawasan tanaman kelapa, ladang nenas, kawasan tanaman buah-buahan (terutamanya belimbing, Fertigasi melon) dan juga kawasan yang banyak sumber bunga serta nektar. Daripada kajian penulis yang membuat rujukan dengan Buku Direktori Usahawan Lebah Jabatan Pertanian, kaedah penternakan lebah dilakukan secara individu dan oleh syarikat swasta (syarikat keluarga) serta ada yang lakukan dengan konsep ladang kontrek. Penternakan lebah cara individu dimana kebanyakannya berada dikawasan kampong yang masih tradisional dan hutan simpan akasia dengan jenis Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Impot (Apis mellifera) dan Lebah Kelulut (Trigona spp). Sekumpulan lain yang terlibat dengan aktiviti perlebahan adalah pemburu lebah madu hutan atau Lebah Tualang (Apis dorsata) yang memburu dikawasan hutan. Penulis belum jumpa usahawan di negara kita yang menternak lebah jenis Apis florea yang merupakan spesis lebah terkecil tersebar mulai dari Timur Tengah, India sampai Indonesia. Satu lagi kumpulan adalah pembuat madu lebah tiruan yang tidak memerlukan lebah madu sebenar tetapi menggunakan bahan lain untuk membuat madu lebah . Anda boleh membaca artikel tersebut (Sila klik disini). 


Ramai dikalangan kita mengatakan menternak lebah madu hanyalah untuk mendapatkan madunya sahaja. Sebenarnya selain daripada produk madu, penternakan lebah madu menghasilkan royal jelly, propolis, pollen, lilin dan sebagainya. Madu sebagai produk utama berasal dari nektar bunga merupakan produk makanan yang sangat berguna bagi tujuan untuk pemeliharaan kesihatan, produk kosmetik dan farmasi. Royal Jelly dimanfaatkan untuk stamina dan menyembuhkan penyakit dan sebagai bahan campuran campuran ubatan. Seterusnya produk Debunga (Pollen) dimanfaatkan untuk campuran bahan ubat-ubatan untuk menghasilkan produk farmasi. Lilin Lebah pula boleh digunakan untuk industri farmasi , bahan kosmetik dan sebagai pelengkap bahan campuran pelbagai produk lain. Propolis (atau perekat lebah) sering digunakan sebagai penyembuh luka, penyakit kulit dan mampu untuk membunuh virus influenza. Keuntungan lain dari aktiviti meternak Lebah madu adalah membantu dalam proses pendebungaan bunga tanaman sehingga didapat hasil tanaman lebih maksima. Perkhidmatan lebah madu sebagai agen pendebunga berpotensi dilakukan di Malaysia dengan kadar bayaran antara RM 25 - RM 50 satu koloni diladang belimbing dibeberapa lokasi di Selangor dan Pahang. Perkhidmatan ini bagaimana pun masih kurang dilakukan oleh usahawan lebah mahu pun permintaan oleh petani.

Dalam menternak lebah madu, pemilihan lokasi sesuai adalah asas penting untuk dikenalpasti. Sebelum memulakan projek ternakan lebah, seseorang itu sebaiknya telah menghadiri kursus penternakan lebah daripada pihak berwajib seperti Jabatan Pertanian atau pihak tertentu (swasta) yang berkelayakan dalam latihan perlebahan. Pusat Apiari Nasional (PAN) Jabatan Pertanian di Parit Botak, Batu Pahat , Johor antara yang menganjurkan latihan perlebahan intensif setiap tahun daripada Kursus Asa Perlebahan (3 hari) kepada Kursus Lanjutan Teknologi Perlebahan (mengikut keperluan dan permintaan peserta). Bagi menternak lebah suhu ideal yang sesuai adalah sekitar 26 Celcius kerana pada suhu ini lebah dapat berada untuk melakukan aktiviti secara normal. Pada suhu di atas 10 C lazimnya lebah masih boleh aktif. Lokasi yang disukai oleh lebah adalah tempat terbuka, jauh dari kebisingan  dan orang ramai serta mempunyai sumber makanan dari bunga. Bagaimana pun untuk penternakan komersil beberapa jenis tumbuhan yang mempu menghasilkan bunga dan nektar yang banyak boleh ditanam dikawasan meletakkan haif lebah. Artikel bersambung pada Part 2. Wasallam!.


MENTERNAK LEBAH...MINAT UTAMA...
ADA KURSUS... DAPATKAN ILMUNYA...
MENCARI KAWASAN... SIAP HAIFNYA...
BELI KOLONI... PASTIKAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Nasional,
Parit Botak, Senggarang,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(26 Syawal 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...