Support My Blog

Monday, January 12, 2015

KELAPA - KAJIAN SOSIOEKONOMI


TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman yang telah lama diusahakan di negara kita yang merupakan keempat terpenting selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Kebanyakan tanaman kelapa di Malaysia terdapat di sekitar pesisiran pantai terutama di Bagan Datoh, Sabak Bernam, Batu Pahat, Muar, Pontian, Bachok, Besut dan Kuala Terengganu. Pada tahun 2005, keluasan tanaman kelapa adalah 121,011 hektar, tetapi pada tahun 2007, keluasan telah berkurang kepada 109,185 hektar dan pada tahun 2011 keluasan tersebut telah berkurangan menjadi 110,000 hektar (Jabatan Pertanian 2012). Kajian penulis juga mendapati terdapat beberapa jenis kelapa yang ditanam, antaranya ialah kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall), kelapa Mawa, kelapa Rendah Malaya dan kelapa Pandan. Fakta mendapati didaerah Hilir Perak kawasan tanaman kelapa tertumpu di Bagan Datoh dan Hutan Melintang manakala di Perak Tengah pula ialah di Daerah Manjung Selatan. Rekod juga menunjukkan tanaman kelapa sangat terkenal di Bagan Datoh pada masa dahulu. Tetapi kini keluasan kawasannya sudah mula berkurang berbanding dengan jumlah keluasan kawasan tanaman kelapa sawit. Nisbah keluasan tanaman kelapa dengan tanaman kelapa sawit di Bagan Datoh kini sudah menjadi 60:40. Di Hutan Melintang, nisbahnya menurun lagi kepada 40:60. Di Daerah Manjung Selatan, nisbah perbandingan keluasan kawasan antara kedua-dua tanaman tersebut terus menurun kepada 20:80. Pelbagai masalah semasa yang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa terutamanya harga kelapa yang terlalu rendah berbanding dengan harga kelapa sawit. Masalah-masalah lain seperti serangan serangga perosak, penyakit, rumpai dan lain-lain. Senario yang dipapar menunjukkan bahawa terdapat berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa yang menyebabkan mereka beralih kepada aktiviti menanam pokok kelapa sawit. Artikel petang Sabtu ini sambil menonton TV Astro filem Hindustan saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu laporan kajian pada 2012 oleh pasukan akademik dari UPSI mengenai satu hasil kajian sosioekonomi terhadap pekebun kecil kelapa di kawasan Hilir Perak dan Perak Tengah untuk dibuat rujukan.

Kita semua tahun yang kebanyakan pekebun kecil kelapa mempunyai pendapatan purata dalam lingkungan RM500 sebulan (Kajian oleh Jabatan Pertanian dan MARDI, 2009). Ini jelas menunjukkan bahawa pendapatan purata mereka berada di bawah paras kemiskinan di mana di Semenanjung Malaysia, paras kemiskinan adalah sebanyak RM750 sebulan. Ini disebebkan hasil pengeluaran kelapa Malayan Tall dan varieti tradisional adalah rendah. Oleh kerana pengeluaran kelapa negara tidak mencukupi untuk menampung permintaan pasaran tempatan, pihak kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari luar negara untuk kegunaan kilang dan segar seperti dari Indonesia. Akibatnya berlaku lambakan bekalan kelapa yang menyebabkan harga kelapa menurun dalam pasaran. Kesukaran mendapatkan pekerja kerana upah yang murah juga menjejaskan indsutri penanaman kelapa. Selain itu kajian saya juga mendapati yang terdapat masalah pemasaran hasil kelapa dan juga masih kurang nilai tambah hasil kelapa. Pokok kelapa yang tinggi dan kesukaran memetik hasil sering menyebabkan banyak buah kelapa yang tidak dapat dipetik oleh pemiliknya. Teknik memetik kelapa menggunakan beruk yang diamalkan di kawasan pantai timur jarang dilakukan dikawasan kajian.

Tujuan utama kajian ini adalah untuk dapat info sama ada berlaku proses meningkatkan Sosioekonomi Pekebun Kecil Kelapa Di Daerah Hilir Perak dan Daerah Perak Tengah. Objektif kajian ini adalah untuk mengesan tahap sosioekonomi pekebun kecil kelapa di Daerah Hilir Perak dan Daerah Perak Tengah. Ia juga bertujuan untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil kelapa dan meneliti keberkesanan peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan di dalam membantu pekebun kecil kelapa. Selain itu tujuan kajian bagi mengenal pasti kaedah pemasaran yang ditawarkan oleh pekebun kecil kelapa di Daerah Hilir Perak dan Daerah Perak Tengah. Pasukan kajian ini akan memberi cadangan berkaitan dasar pengeluaran hasil kelapa di Daerah Hilir Perak dan Daerah Perak Tengah. Keputusan yang diperoleh memberi gambaran tentang status ekonomi pekebun kecil yang rendah atau sekadar cukup untuk sara diri. Tingkat simpanan yang rendah atau negatif memberi indikasi pekebun kecil kelapa mempunyai tingkat keupayaan kewangan dari segi modal yang rendah. Keadaan ini menerangkan kesukaran yang mereka hadapi untuk menjalankan aktiviti tanam semula yang secara umumnya memerlukan modal yang besar.

Antara hasil kajian menunjukkan majoriti 326 orang petni (79.58%) menanam jenis pokok Kelapa Tinggi, diikuti seramai 71 orang (17%) menanam kelapa jenis Matag. Manakala selebihnya seramai 10 orang (2.42%) dan 6 orang (1%) menanam jenis kelapa Mawa dan Pandan. Perbezaan tingkat pendapatan per ekar yang diperoleh pekebun kecil kelapa yang menanam Kelapa Tinggi, kelapa sawit, kelapa Matag. Berdasarkan dapatan kajian seramai 245 orang (56.19%) pekebun yang menanam pokok kelapa tinggi, mendapat purata hasil bulanan sebanyak RM291.66 sebulan. Daripada 223 orang (51.15%) pekebun yang menanam kelapa sawit pula, purata hasil kelapa sawit yang diperoleh adalah sebanyak RM665.00 sebulan. Seramai 60 orang (13.76%) pekebun kecil kelapa Matag mendapat purata pulangan bulanan sebanyak RM641.00. Mengikut respons pekebun kecil kelapa agensi yang paling banyak memberi sumbangan untuk meningkatkan pendapatan mereka ialah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan iaitu (56.0%), diikuti dengan Jabatan Pertanian Negeri atau Kawasan (52.1%), Jabatan Pertanian Persekutuan (9.9%), FAMA (8.9%), lain-lain agensi seramai 23 orang (5.3%), dan agensi yang paling sedikit memberi sumbangan kepada pekebun kecil kelapa ialah MARDI (4.6%).

Hasil temuan lain adalah dimana sebanyak 61.7% pekebun kecil kelapa menyatakan mereka tidak pernah menghadiri sebarang kursus yang disediakan oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan. Manakala seramai 35.6% pernah menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian dan FAMA. Beberapa keperluan pekebun kecil ialah modal, baja dan racun, projek hiliran berasaskan kelapa, bantuan mesin, bantuan sokongan dan benih dan baja. Sebanyak 35% responden berpendapat kaedah paling berkesan dalam membantu mereka meningkatkan taraf hidup ialah subsidi wang, baja, benih, latihan, kemudahan infrastruktur dan lain-lain manakala 23% yang lainnya menyarankan kerajaan agar menggantikan tanaman kelapa kepada tanaman kelapa Matag. Langkah-langkah lain yang disarankan ialah menggantikan tanaman kelapa dengan tanaman kelapa sawit, melibatkan diri dengan perniagaan, campur tangan kerajaan dalam aspek penentuan harga dan kawalan kemasukan kelapa import. Dari 409 pekebun kelapa yang memberikan maklum balas, seramai 292 Orang (71.4%) menjual kelapa melalui orang tengah dan selebihnya. Menggunakan kaedah lain. Ada juga mereka yang menjual sendiri, melalui FAMA, terus kekilang kelapa dan cara lain. Kajian juga mendapati tidak ramai ramai pekebun kelapa menghasilkan produk sampingan dari kelapa. Hanya 93 daripada responden terlibat dalam usaha berkenaan. Produk sampingan yang diusahakan oleh pekebun kelapa Kerisik, Minyak kelapa dara, Arang, Dodol dan Nata de coco serta Kraf tangan. Selain itu produk lain adalah Sabun, Fiber, Hampas kelapa, Coconut peach dan Papan lapis.

Pasukan Pengkaji juga membuat beberapa cadangan iaitu seperti keperluan mengawal harga kelapa supaya stabil. Antara salah satu caranya ialah dengan mewujudkan pusat pengumpulan kelapa untuk menstabilkan harga. Kerajaan harus lebih berfungsi sebagai pemborong dan menghalang pengimportan kelapa dari luar negara atau mengawal kemasukan kelapa import. Mengawal penanaman semula kelapa supaya tidak digantikan dengan tanaman lain seperti kelapa sawit. Langkah ini adalah untuk memastikan ladang kelapa tidak berkurang yang boleh menyebabkan keluaran kelapa negara menurun. Seterusnya adalam untuk meningkatkan bantuan kerajaan dalam aktiviti penanaman semula seperti membiayai aktiviti penebangan, pembersihan, perparitan, membina jalan ladang, benih, baja, racun serta kos guna tenaga. Ia juga mencadangkan agar ditingkatkan pembenihan kelapa hibrid seperti Matag, Mawa dan Pandan bagi membolehkan pekebun kecil kelapa menanam semula menggunakan jenis benih yang berkualiti. Pada masa ini harga benih kelapa Matag terlalu mahal dan kurang di pasaran. Selain itu, penanam semula kelapa juga perlu dibantu bagi mengawal haiwan perosak yang menjadi masalah kepada pekebun kecil kelapa. Dicadangkan penggunaan minyak asap cair untuk menghalau haiwan perosak di kebun kelapa. Seterusnya adalah dapat meningkatkan peranan agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi khidmat nasihat dan latihan yang berkesan dalam semua aspek penanaman, pemprosesan, penggunaan, pemasaran dan meningkatkan nilai tambah hasil kelapa. 

Ada juga idea yang mencadangkan untuk menubuhkan sebuah Lembaga Kelapa Negara bagi membantu pekebun kecil kelapa. Fungsi Lembaga ini ialah untuk (a) Menjalankan dan juga dapat menggalakkan penyelidikan dalam proses pengeluaran, pemprosesan, penstoran dan penggunaan; b) Memberi bantuan subsidi secara konsisten (bulanan) sama seperti nelayan-nelayan, untuk membantu mereka dalam teknologi pengeluaran kelapa dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka. (c) Mengawal dan menyelaras aktiviti dan dasar penyelidikan; (d) Dapat untuk mempertingkatkan kualiti dalam semua aspek untuk kemajuan industri kelapa; (e) Dapat Menyelaras aktiviti pemasaran; (f) Memperluaskan pasaran hasil produk kelapa dalam dan luar negara; (g) Mengumpul, menyatukan dan menyebarkan maklumat; (h) Mengawal selia dan menyelaras aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kelapa seperti aktiviti pemprosesan, penstoran, pengawalseliaan; dan (i) Berfungsi sebagai Baitulmal iaitu pusat yang menyediakan pinjaman jangka pendek yang bersifat qard Al-Hassan.

Antara beberapa tambah baik projek penanaman kelapa juga adalah untuk mempelbagaikan nilai tambah produk kelapa dengan penubuhan kilang seperti produk CCO dan VCO, Sabun, kosmetik dan produk penjagaan kulit, Produk makanan, Kraf tangan, Minyak asap cair (liquid oil) seperti cuka getah, Coconut nets dan kusyen, Nata de coco, Bio Ethanol dan Gula kelapa. Dalam mempelbagaikan industri daripada hasil kelapa dengan untuk menggalakkan “satu kampung satu produk” yang memberi fokus kepada satu produk nilai tambah kelapa sahaja. Dicadangkan satu perancangan yang komprehensif untuk merealisasikan matlamat ini. Selain itu, pengetahuan pekebun kecil juga perlu ditingkatkan untuk membolehkan mereka mempelbagaikan produk kelapa melalui program latihan kemahiran. Perlu juga mewujudkan “Coconut Village” bagi mengumpul semua hasil produk kelapa dan dipasarkan dalam satu tempat. “Coconut Village” boleh dijadikan sebagai pusat tarikan pelancongan di negeri yang mudah menerima pelancong. Kajian bagi meningkatkan sosioekonomi kelapa telah dapat memberi gambaran tentang tahap  sosioekonomi dan masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa di daerah Hilir Perak dan daerah Perak Tengah. Kajian ini juga telah dapat menerangkan apakah peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan dan apakah kaedah pemasaran yang digunakan oleh pekebun kecil kelapa. Secara umumnya, pekebun kecil kelapa di daerah Hilir Perak dan daerah Perak Tengah masih boleh dibantu bagi meningkatkan pengeluaran hasil kelapa dan juga seterusnya meningkatkan sosioekonomi mereka. Agensi kerajaan yang berkaitan masih boleh meningkatkan peranannya bagi memenuhi semua keperluan pekebun kecil kepada daripada aspek penamaan semula sehinggalah menghasilkan produk nilai tambah kelapa. Tingkat pengetahuan pekebun kelapa perlu ditingkatkan terutama bagi mempelbagaikan lagi pengeluaran produk kelapa. Demikian kupasan yang saya dapat kongsi bersama pembaca mengenai hasil dari kajian sosioekonomi yang dijalankan mengenai industri tanaman kelapa di Malaysia. Wasallam!.
TANAMAN INDUSTRI..POKOK KELAPA...
DI PERAK SELANGOR... JOHOR JUGA...
PENDAPATAN RENDAH...RM500 SAJA...
PERLU DITAMBAH... PELBAGAI CARA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(10 Januari 2015)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...