Support My Blog

Sunday, January 25, 2015

KELAPA - VARIETI MACAPUNO


KELAPA VARIETI MACAPUNO merupakan sejenis varieti kelapa yang unik berasal daripada kawasan dari Filipina. Kelapa ini (Cocos nucifera) memang unik kerana ia adalah jenis kelapa yang mempunyai isi daging lembik seperti agar-agar. Kelapa ini tidak popular di Malaysia dan saya cuma dapat lihat pokok dan buah di Stesyen Pertanian Kelapa di Perak baru-baru ini dan dapat menikmati rasanya. Di negara jiran Indonesia kelapa jenis ini dipanggil sebagai 'Kelapa Kop-yor' dimana ia merupakan kategori kelapa unik yang mempunyai genetik berlainan dengan kelapa biasa. Penulis dapati kelapa ini mempunyai 'daging isi kelapa' berwarna putih yang empuk atau terlepas daripada tempurungnya dan jumlah kandungan air yang sedikit (Sila lihat foto diatas). Kelapa ini mempunyai rasa tawar (kalau yang sudah tua agak berminyak sedikit) dan boleh di ambil dengan mudah dengan sudu untuk dimakan. Walau pun rasanya tawar tetapi kalau dibubuh sedikit perasa (gula) maka ia amat enak untuk dimakan. Kali pertama saya dapat rasa isi kelapa Macapuno ini pada 23 Januari 2015 semasa saya melawat sebuah pusat pertanian tersebut dan amat 'exited' kerana beberapa biji (2 biji) dari 3 tandan sahaja yang betul-betul jadi kelapa macapuno sebenarnya. Daripada 13 biji buah dari 3 pokok kelapa macapuno tersebut hanya 2 yang menjadi. Sifat kelapa ini unik dimana aroma khas dan kelembutannya berlaku akibat hasil mutasi (mutation process) spontan dibahagian mayang kelapa yang dinamakan sebagai Chimera. Perubahan sifat ini boleh berlaku semasa proses pembentukkan buah atau sebelum itu lagi. Saya diberitahu semasa hendak memilih buah tulin macapuno kita perlu mengoncang buah tersebut sekuat hati. Jika tidak ada bunyi kocakan air atau ada sedikit lopong maknanya ia adalah jenis kelapa macapuno. Bagaimana pun jika ada bunyi kocakan air dalam buah yang dipetik maknanya ia bukan dari jenis biji kelapa macapuno dan ianya sama seperti kelapa biasa. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis varieti kelapa yang unggul didunia iaitu kelapa Macapuno yang sangat dikagumi oleh mereka yang tahu dengan dunia tanaman kelapa. 


Buah kelapa macapuno yang terdapat dinegara kita mungkin hanya boleh didapati dalam beberapa stesyen di Jabatan Pertanian dan kemungkinan di Stesyen MARDI. Hanya pakar sahaja dapat mengenali kelapa ini yang diambil dari pokok asal dengan cara menggoyang-goyangkan buah ke kiri dan ke kanan. Lazimnya akan terdengar bunyi seolah buah kelapa tersebut bukan terisi air tetapi terisi pasir. Saya telah mengoyangkan beberapa biji dan jumpa dua biji yang ada sifat tersebut sebelum membelahnya (Sila lihat foto disebelah). kelapa Macapuno ini sangat disukai kerana ciri rasanya yang menyegarkan bila disajikan sebagai makanan. Kegunaan lainnya dinegara jiran adalah sebagai bahan membuat kueh sama ada untuk membuat kueh jenis kering mahu pun kueh jenis basah. Kita di Malaysia amat jarang dapat jumpa kelapa jenis ini dimana ada laporan ia akan jadi buah Macapuno tulin jika tidak ada pendebungaan silang berlaku atau dengan ertikata lain pokok kelapa jenis ini perlu ditanam sesama mereka sahaja. Di negara Filipina dan Indonesia kelapa ini telah pun dikomersilkan dibeberapa lokasi untuk dijadikan banyak produk berasaskan kelapa macapuno. Kajian mendapati nilai ekonominya juga sangat tinggi berbanding dengan kelapa biasa yang lain. Direkodkan dinegara jiran bahawa petani yang berjaya menanam kelapa ini mendapat pendapatan 4-5 kali ganda lebih tinggi daripada menanam kelapa biasa. Persoalannya adalah dimana hendak mendapatkan benih yang tulin?. Ini kerana peratus pokok tulis berjaya menjadii anakbenih sangat sedikit.


Pembacaan dan rujukan penulis mendapati bahawa kelapa Macapuno ini sebenarnya adalah sejeneis pokok kelapa yang 'mutant'. Ia kelihatan sama seperti pokok kelapa biasa dari segi marfologi pokok dan juga buahnya (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun lazimnya bilangan biji pada setiap pandan di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian agak edikit sekitar 2 - 8 biji ahaja sedang dikawasan asalnya mampu menghasilkan sehingga sebanyak 10 - 18 biji satu tandan. Semasa melawat Filipina dahulu, saya pernah juga dihidangkan dengan produk hasilan dari kelapa macapuno ini tetapi tidak ambil kisah kerana masa itu masih belum menulis blog (Tahun 1992 dan 2005). Masa itu saya lihat Kelapa jenis Macapuno Filipina mempunyai isi lembut yang seperti agar-agar (jelly-like) dan air kelapanya yang sedikit. Kata mereka amat sukar untuk mendapatkan anakbenih kelapa Macapuno kerana kadar percambahan kelapa jenis ini amat rendah iaitu dibawah 5% sahaja (itu pun jika ada biji kelapa macapuno tulin). Kadang-kadang semua biji kelapa macapuno yang matang tidak satu pun yang tumbuh jadi anakbenih. Ia tidak boleh bercambah atau bertunas kerana kandungan isinya yang lembut seperti agar-agar sukar untuk pembentukkan embrio dalam buah kelapa untuk bertunas tidak seperti kelapa lain. Kaedah yang boleh digunakan untuk dapatkan benih kelapa macapuno adalah dengan mempastikan kelapa macapuno yang gugur dan bercambah dari pokok induk diladang benih terasing sahaja boleh ditanam. Itu boleh menyebabkan kelapa ini amat sukar dikomersilkan kerana ketiadaan benih.


Pokok Macapuno dewasa akan menjalani proses pendebungaan dan seterusnya menghasilkan biji kelapa. Petani akan mengoncang buah dari tandan dan memilih kelapa macapuno sebenar seperti diceritakan diatas.  The Philippine Coconut Authority(PCA) telah pun cuba membangunkan kawasan kelapa ini dikawasan Albay di Luzon dimana mereka menanam 80% dikawasan tersebut dari jenis kelapa macapuno sahaja. Kelapa ini selalunya diproses menjadi makanan berkhasiat (Sila lihat produk kelapa macapuno disebelah). Ia dianggap sebagai makanan eksotik dan 'delicacy' di Filipina. Ia juga dijadikan ramuan dalam membuat kek, ais kerim, gelatin kelapa dan juga dalam pembuatan roti. Produk dibotolkan dan boleh terus dimakan dengan beberapa perisa yang ditambah. Kini banyak produk jenama kelapa macapuno  dihasilkan daripada Filipina dan dijual diseluruh dunia dimana ada yang mendakwa ia adalah jenis makanan untuk kesihatan. Diharap artikel ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan semua pembaca blog ini. Wasallam!...



KELAPA MACAPUNO... UNIKNYA...
ASAL FILIPINA... ADA DI INDONESIA...
SUKAR DIJUMPA.....DI MALAYSIA...
NASIB BAIK... PENULIS TERJUMPA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Lux's Hitel,
Jalan Changkat Jong,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(4 RabiulAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...