Support My Blog

Monday, June 22, 2015

MENTADAK

MENTADAK (Praying Mantis) atau juga dipanggil sebagai Mentadak Mentadu adalah sejenis serangga pemangsa (Predator) yang unik dikalangan dunia serangga. Mentadak adalah serangga daripada kumpulan Matodea mempunyai lebih daripada 2,400 spesis dari 15 genera diseluruh dunia dari kawasan dinegara beriklim tropika dan temperate. Mentadak memang banyak genus terdiri daripada banyak keluarga iaitu Acanthopidae, Amorphoscelididae, Chaeteessidae, Empusidae, Eremiaphilidae, Hymenopodidae, Iridopterygidae, Liturgusidae, Mantidae, Mantoididae, Metallyticidae, Sibyllidae, Tarachodidae, Thespidae dan juga Toxoderidae. Serangga ini digelar sebagai 'praying mantis' atau 'serangga sembahyang' kerana ia mempunyai sepasang kaki dekat hadapan yang sentiasa bergerak seperti orang sedang bersembahyang atau sedang 'berdoa'. Ia bergerak perlahan diatas ranting kayu yang sama warna dengan badannya sehingga tidak disedari oleh mangsanya sama ada serangga belalang lain, semut atau makanannya. Apabila ia berada didahan kayu hijau tidak mengerakkan badanya tetapi biji matanya boleh bergerak melihat disekelilingnya dengan jelas akan kedudukkan mangsa dan menyambarnya dengan tangannya. Mentadak sering dijadikan serangga mainan oleh kanak-kanak dizaman remaja dahulu dan diikat dengan benang untuk ia tidak terlapas. Bagaimana pun ia akhirnya memotong benang dan terus terbang. Semasa kanak-kanak dahulu saya dan rakan-rakan sepermainan akan meletakkan mentadak diatas lantai dan bertanya 'Mentadak.... tunjukkan arah kiblat kami' dan mentadak akan bergerak menunjukkan arah kiblat. Atau ada yang bertanya 'Mentadak... siapa diantara kami yang baik Atau yang Jahat'... maka mentadak akan berpusing dan menunjukkan kepada kami jawapannya. Itu cerita zaman dulukala dan tinggal kenangan sahaja. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangga pemangsa iaitu Mentadak Mentadu yang unik untuk dijadikan bahan bacaan sahaja.


Mentadak adalah sejenis serangga yang mempounyai 3 bahagian iaitu Bahagian Kepala, BahagianThorax dan juga Bahagian Abdomen. Di kepalanya terdapat sepasang mata kompoun dan ia boleh bergerak-gerak dibahagian lehernya dengan 180 darjah pusingan dan terdapat juga sepasang sesungut (anttenae) yang boleh mengesan pergerakan mangsa serta alat sensori. Matanya mampu melihat mangsa sejauh 20 meter dan mempunyai sebanyak 10,000 ommatida (mata kecil) yang membolehkan ia mampu melihat dengan jelas kedudukan mangsa. Ia mempunyai sepasang 'tangan' dihadapannya yang kuat untuk menangkap dan memegang mangsa dengan kuat. Dibahagian kepala juga ada mulut bergigi yang kuat dan mulut untuk memakan mangsa dengan mengigitnya. Mentadak mempunyai dua pasang kaki yang keduanya ia membolehkannya berjalan diatas ranting kayu. Lazimnya mempunyai sepasang kepak untuk ia mampu terbang walau pun cara terbannya tidak selaju belalang lain. Kepaknya ditutup didalam sepasang kepak dibahagian luarnya. Di Malaysia sering kita melihat mentadak mentadu berwarna hijau daun walau pun sering juga ada berwarna hijau kecoklatan dan sebagainya. 


Daripada pemerhatian yang dijalankan penulis, mentadak bergerak dengan perlahan pada dahan atau daun pokok tanpa disedari oleh mangsa. Ia akan mengesan pergerakkan mangsa dan menangkapnya dengan pantas dan tidak akan terlepas lagi (Sila lihat foto diatas). Apa yang menyedihkan adalah mentadak betina yang mengawan dengan mentadak jantan dan akhirnya ia akan memakan mentadak jantan tersebut. Ini bermakna jika ada peribahasa mengenai mentadak pastinya berbunyi "Berkasih seperti mentadak...." maknanya kaum perempuan yang kejam menjadikan pasangannya menjadi mangsanya atau membunuhnya. Ada ke peribahasa seperti tersebut?... tetapi penulis hanya dengan ada peribahasa 'Pisau Cukur' sahaja. Walau pun mentadak bersaiz kecil, ia mampu menjadikan mangsa yang bersaiz lebih besar seperti burung, tikus, kelawar, katak, ular dan ikan sebagai mangsanya. Wow!... tetapi ini adalah realiti seperti dikaji oleh saintis dan Entomologist.  Mentadak betina perlukan makanan yang banyak untuk ia bertelur selepas mengawan kerana ia kurang terbang dan makanan mencukupi perlu untuk menghasilkan telurnya.


Mentadak mempunyai cara penyamaran (camaoflage) yang hebat sama seperti serangga pemangsa lain. Di Malaysia sebagai contok, Mentadak Bunga Orkid akan duduk diatas bunga orkid dengan kelihatan sebagai sebahagian daripada bunga orkid tersebut (Sila lihat foto disebelah). Anda pun mungkin kurang kenal dimana kedudukan mentadak tersebut. Serangga seperti semut dan rama-rama yang datang ke bunga orkid tersebut dengan mudah akan ditangkap dengan dua tangannya tanpa terlebas lagi. Ada jenis mentadak yang menyamar sebagai daun pokok tanpa dilihat oleh mangsanya kerana ia kelihatan seperti dahan atau komponen khusus pada daun tersebut.  Mentadak yang suka tinggal dibahagian batang pokok berwarna coklat juga akan mempunyai warna badan coklat sama seperti warna batang pokok. Ia mampu tidak bergerak langsung beberapa lama kecuali bahagian lehernya dan matanya yang bergerak melihat akan kedudukan mangsanya. Dari segi pertanian kehadiran belalang mentadak ini sangat bagun untuk kawalan biologi serangga perosak lain. Tetapi belum ada kenyataan saintifik untuk pembiakan mentadak agar populasinya ditinggikan kerana saya katakan mentadak jantan akan dibunuh mentadak betina. Kejam,... Kitaran hidupnya adalah daripada peringkat telur, Nim dan juga dewasa. mentadak adalah dari golongan serangga jenis Hemimetabolic Insects.  Jangkahayat mentadak sekitar 10-12 bulan sahaja dan paling lama pun mentadak betina sehingga 14 bulan bergantung kepada cuaca dan spesis. Bagaimana pun di negara 4 musim ia akan mati pada musim sejuk. Selamat mengenali mentadak. Wasallam!...


NAMA MENTADAK... PRAYING MANTIS...
BERWARNA HIJAU... SEPASANG KERIS...
PEMANGSA... TANGKAP SERANGGA...
BERWARNA HIJAU... SUSAH JUMPA...

By, 
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Botani Putrajaya,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(5 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...