Support My Blog

Saturday, October 3, 2015

KELAPA MATAG - KENALI YANG ASLI

Kelapa MATAG (Cocos nucifera) merupakan benih hibrid varieti hasil proses kacukan kelapa. Ia mempunyai banyak keistimewaan berbanding kelapa MAWA hibrid yang popular lama sebelum ini. Ciri kelapa MATAG yang cepat berbuah iaitu selepas 3 atau 4 tahun ditanam membuatkan ramai petani ingin menanam kelapa varieti ini. Dakwaan ramai ada menyatakan kelapa ini mampu menghasilkan banyak buah atau hasilnya tinggi. Kajian penulis pada 2015 mendapati satu pokok kelapa MATAG boleh menghasilkan tandan maksima sehingga 18 tandan setahun walau pun puratanya sebanyak 12 tandan sahaja. Pada setiap tandan mempunyai diantara 10-15 biji buah jika dijaga dengan baik. Buah kelapa MATAG lebih besar berbanding kelapa MAWA dimana ia mempunyai berat purata 1.2 kg berbanding 0.8 kg bagi jenis kelapa MAWA. Kandungan santan dan juga minyaknya tinggi dengan isi kelapa MATAG yang lebih tebal berbanding jenis kelapa MAWA. Berat kopra kering 249 gram bagi setiap biji kelapa MATAG berbanding 207 gram bagi kelapa MAWA. Oleh kerana banyak keistimewaan yang dimiliki oleh kelapa MATAG ini, maka permintaan terhadap benih kelapa MATAG amatlah tinggi. Adalah tidak silap kalau penulis mengatakan ramai dikalangan orang membuat tanggapan "Kelapa adalah Matag" kerana mereka mahu kelapa Matag sahaja untuk ditanam dan tidak mahu kelapa lain. Ini bermakna kempen oleh pihak tertentu (Khususnya Jabatan Pertanian dan UPB) mengenai kelapa Matag sudah berjaya. Kini pokok kelapa sedia ada yang ditanam kebanyakannya adalah dari jenis Malayan Tall (CN1) dimana ia dikategorikan sebagai kelapa tinggi yang lambat berhasil (7 tahun) dan jumlah hasil yang sederhana (purata 8,000 biji sehektar setahun). Kelapa Malayan Tall telah ditanam semenjak tahun 1960'an dibawah program Rancangan Pembangunan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) oleh Jabatan Pertanian sehingga ia telah ditamatkan pada awal 1980'an. Selain dari itu jenis kelapa untuk dijadikan air minuman yang terkenal adalah jenis Kelapa Pandan (CN6) yang ditanam khusus untuk menghasilkan yang airnya ada bau pandan dan rasanya manis. Jabatan Pertanian merupakan pembekal utama benih kelapa Matag dan Kelapa Pandan di Malaysia selain daripada beberapa syarikat dan nurseri swasta. Syarikat swasta seperti United Plantation Berhad (UPB) dan juga merupakan pembekal swasta yang mempunyai kualiti dan ketulinan benih yang dijamin. Estet NLFCS juga mempunyai kapasiti bekalkan benih kelapa Matag. Pembekal-pembekal dan nurseri-nurseri swasta, pasar malam dan individu ada yang menjual benih kelapa MATAG dimana pembeli perlu elakkan membelinya kerana ia tidak dijamin ketulinannnya. Permintaan tinggi terhadap anakbenih kelapa Matag menyebabkan ujud penjual benih kelapa Matag yang mendapatkan benih F2 untuk dijual. Adalah menjadi satu kesalahan menjual benih Kelapa Matag tidak tulin yang didakwa tulin dibawah Akta KPDNKK yang boleh didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan. Sebenarnya Kelapa MATAG (Generasi F1) merupakan kelapa hibrid (kacukan) yang dipilih. Benihnya dihasilkan daripada kacukan bunga jantan daripada kelapa Tagnanan dengan bunga betina kelapa renek Malaysia (Malayan Dwarf) atau dikenali sebagai kelapa gading dikalangan rakyat Malaysia. Buah matang daripada pokok kelapa MATAG adalah generasi kedua (F2), dimana jika benih F2 ditanam akan menghasilkan pokok dan buah yang tidak mempunyai ciri-ciri kelapa MATAG. Kini kelapa Matag telah didaftarkan di Jabatan Pertanian dengan 3 varieti iaitu Matag Hijau (CN13), Matag Orange (CN14) dan Matag Gold (CN15) berdasarkan kepada pencirian yang delah dibuat. Artikel subuh Sabtu ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kualiti benih kelapa Matag iaitu antara yang tulin dengan bukan tulin untuk dibeli atau ditanam oleh pekebun kelapa.

Mungkin ramai dikalangan pekebun kelapa kurang faham bagaimana kelapa matag dihasilkan. Benih kelapa MATAG dihasilkan daripada kacukan bunga jantan dari varieti kelapa “Tagnanan” dan bunga betina kelapa “Malayan Dwarf” sama ada dari varieti Malayan Red Dwarf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD). varieti Tagnanan juga ada beberapa varieti iaitu Tagnanan Green, Tagnanan Yellow dan juga Tagnanan Gold yang akan memberikan berbezaan warna buah apabila dikacukan dengan MRD atau MYD. Peringkat untuk penghasilan benih kelapa Matag melibatkan 3 proses iaitu daripada pemilihan debunga jantan, proses kacukan dan akhirnya proses menyemai benih di tapak semaian. Proses pertama adalah peringkat penyediaan debunga (bunga jantan) dimana proses pemilihan mayang kelapa tagnanan yang sudah matang dan ditandakan ketulinannya. Proses mengambil pollen dibuat adalah untuk mengambil bunga jantan kemudian ia perlu diproses seterusnya ditimbang dan masukan kedalam loyang. Ia perlu dikeringkan didalam alat pengeringan bersuhu 30-33 darjah celcius untuk selama 48 jam dimana kemudian debunga ini akan diayak menggunakan alat penapis dan ditimbang. Langkah seterusnya melakukan ujian tahap kesuburan debunga tagnanan. Debunga yang mempunyai tahap kesuburan dibawah 20% tidak akan digunakan untuk kerja-kerja pendebungaan. Kesuburan pokok, pengaruh cuaca dan amalan agronomi menentukan tahap fertility debunga tagnanan. Bagi mempastikan tahap kesuburan benih drbaiknya ia dismpan debunga itu pada tahap beku dalam peti sejuk. Debunga tagnanan boleh didapati daripada hanya pembekal bertauliah yang ada pokok induk disahkan seperti Jabatan Pertanian semenanjung, UPB dan NLFCS serta Jabatan Pertanian Sabah.

Proses Kacukan debunga tagnanan dengan MYD atau MRD sangat perlu diakukan secara sistematik dan tahap kemahiran tinggi. Pekerja mahir akan memilih mayang kelapa yang sudah matang. Seterusnya mayang akan dibelah seludang dan dipotong untuk tujuan membuang bunga jantan (Emasculation process). Tangkai bunga jantan yang dipotong perlu dikumpulkan dan dimusnahkan jauh daripada pokok induk MRD dan MYD agar tidak akan memnenaskan proses kacukan. Kemudian apabila butang (bunga betina) sudah bersedia maka boleh disapukan debunga jantan kepada bunga betina dengan menggunakan berus atau semburan (puffing). Aktiviti membubuh pollen ini dilakukan setiap hari selama 6 - 8 hari kerana masa butang terbuka untuk menerima pollen berbeza-beza mengikut masa. Pekerja perlu mengulangi pokok yang sama sehingga ianga selesai. Semua aktiviti membuat pendebungaan ini perlu direkodkan dengan turisan menggunakan pisau tajam iaitu tarikh aktiviti pada pelepah yang berhampiran dengan bunga yang dikacuk. Pekerja yang mahir akan memeriksa kacukan yang berjaya dimana ia akan menghasilkan buah dan akan matang selepas 12 bulan kemudian. Kejayaan membuat proses kacukan ini banyak bergantung kepada kemahiran pekerja, cuaca, kesuburan pokok induk dan juga kualiti debunga yang digunakan. Lazimnya jika debunga tagnanan yang disapu itu berkualiti rendah akan menjejaskan kejayaan. Begitu juga jika cuaca hujan berpanjangan pun akan menganggu proses kacukan. Bagaimana pun tahap kemahiran pekerja amat signifikan dalam menentukan kerja ini. Kos tenagakerja untuk tujuan bagi menjalankan proses pendebungaan kelapa hibrid ini adalah tinggi. Tandan Kelapa yang matang akan menjadi kelapa tua dipetik atau gugur dan ia perlu dipungut sebelum disemai ditapak semaian. 

Proses peringkat ke 3 adalah Aktiviti Menyemai Benih dimana pertama sekali adalah proses memilih buah yang telah matang. Hanya buah yang sihat dan elok dipilih dan buah rosak dibuang. Perlu juga disediakan tapak semaian dengan lantai menggunakan bahan pasir atau abuk kayu dengan ketebalan sekitar 4-6 inci dan dikepong dibahagian tepi dengan papan atau batubata. Tapak semaian perlu dipadang bunbung dengan jaring hitam (black netting) dan dipagar untuk elakan pencerobohan darimana haiwan atau manusia. Biji kelapa hibrid tadi perlu disusun dan disemai di dalam tapak semaian (Sila lihat foto sebelah). Sebaiknya susunan biji kelapa adalah rapat untuk memberikan jumlah maksima semaian dan mengelakan rumput dari tumbuh. Buat penjagaan tanaman iaitu kerja-kerja siraman, aktivitii pembajaan, kawalan perosak dan penyakit. Biji kelapa ini lazimnya akan tumbuh berperingkat dan penelitian penulis dapati biasanya dalam masa dua minggu dimana perlu dilakukan proses penakaian pertama. Ia dilakukan (pemilihan ketulinan) setelah pokok berumur 2-3 bulan. Pokok anakbenih kelapa Matag yang sesuai akan ditentukan ketulinannya untuk tanam setelah berumur 6-8 bulan. Pada keseluruhannya proses penyediaan benih hibrid kelapa MATAG memerlukan masa selama 18-20 bulan sebelum dapat dijual, diedarkan atau tanam diladang. Buah kelapa daripada pokok kelapa Matag F1 yang terhasil dan disemai memang boleh menjadi anakpokok tetapi ia TIDAK BOLEH dijadikan benih kelapa Matag untuk generasi F2.


Kenapa Kelapa MATAG Ada Berwarna Hijau, Kuning dan Oren ?. Kes begini sering tidak difahami oleh orang ramai malahan pemilik nurseri swasta yang mendakwa ada menjual benih kelapa Matag. Sebenarnya warna buah kelapa MATAG bergantung kepada sumber bunga induk Tagnanan jantan dan induk pokok MRD atau MYD betina yang digunakan semasa lakukan proses pendebungaan. Kelapa MATAG hijau dihasilkan daripada kacukan tagnanan hijau dengan Malayan Dwarf Kuning. kelapa MATAG kuning dihasilkan daripada kacukan tagnanan oren dengan Malayan dwaft kuning atau tagnanan hijau dengan Malayan dwaft merah. MATAG oren dihasilkan daripada kacukan tagnanan oren dengan Malayan dwarf merah. Lazimnya pada peringkat ditapak semaian atau semasa pokok masih kecil, kelapa MATAG boleh dikenali dengan melihat batang daun. Hanya pakar yang berpengalaman boleh membuat kerja pemilihan dan asingkan yang tulin. Permukaan atas daun berhampiran pangkal daun berwarna hijau tua manakala pada pokok yang tidak tulin atau tidak mengikuti ciri-ciri kelapa MATAG asli mempunyai daun berwarna hijau kekuningan pada bahagian tersebut. Pada sebahagian pokok MATAG yang tidak asli akan menunjukkan daun berkedut. Bagi pokok yang telah berbuah, buah kelapa MATAG berbentuk bulat, berwarna hijau, kuning atau oren dan berat buah dalam lingkungan 1.2 kg. Jika didapati benih kelapa yang didakwa sebagai kelapa matag tetapi tidak mempunyai ciri-ciri keasliannya, ia bermungkinan benih tersebut diperolehi daripada pokok kelapa matag atau benih yang tidak melepasi piawaian pemilihan semasa penakaian. PASTIKAN MEMBELI BENIH KELAPA MATAG YANG TULIN!...
Wasallam!.

BENIH TULIN....BELI DIMANA...
BACA ARTIKEL..FAHAM JUGA...
KELAPA MATAG...VARIETI UTAMA...
AWAS TERTIPU... KINI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Jorak,
Pagoh, Muar,
Johor, Malaysia.
(25 Zulkaedah 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...