Support My Blog

Friday, March 25, 2016

PISANG - KESAN KEMARAU

KEMARAU PANJANG yang berlaku pada bulan Febuari - Mac 2016 menjejaskan pertumbuhan Ladang Pisang Berangan yang diusahakan oleh Encik Razak dan Anak-anaknya di Kg Paya Pasir, Chenor, Daerah Maran, Pahang. Penulis yang telah membuat tinjauan teknologi ke ladang seluas 60 ekar ini mendapati ketiadaan hujan semenjak awal Febuari sehingga pertengahan Mac 2016 menyebabkan pertumbuhan pokok, bunga dan tandan pisang sedikit terjejas. Dua orang anak beliau yang juga menguruskan kebun pisang berangan ini menyatakan beberapa cara untuk mengatasi masaalah ini. Salah seorang anak beliau iaitu En Taufik juga merupakan bekas peserta program latihan belia di Jepun tajaan Jabatan Pertanian yang bersemangat kuat untuk melaksanakan penanaman Pisang Berangan (Musa spp) dengan jumlah pokok ditanam melebihi 30,000 batang. Pisang Berangan merupakan jenis pisang dari Kelompok AAA (triploid dan partenokarpik) sama juga dengan jenis Pisang Embun, Pisang Serendah, Pisang Buai, Pisang Mundam, Pisang Raja Udang, Pisang Montel. Pisang Jelai Bunga, Pisang Masak Hijau, Pisang Cina, Pisang Amping, Pisang Serendah, Pisang Kapal dan juga jenis Pisang Minyak Laut. Pisang Berangan adalah dari jenis pisang yang dimakan segar dan mendapat harga pasaran dan permintaan yang baik. En Razak yang juga merupakan bekas usahawan pertanian gigih pernah menanam padi secara meluas dikawasan sawah berhampiran secara komersil. Bagaimana pun kini beliau menumpukan kepada penanaman pisang dicelah-celah tanaman kelapa sawit ditanah sendiri dan juga tanah sewa berhampiran. Semasa lawatan penulis, beliau menyatakan kesan kemarau pada kali ini agak serius dimana kekurangan air menjadikan tanaman pisang mula terencat pertumbuhannya dan proses pembentukkan tandan buah sedikit terjejas. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai aktiviti penanaman pisang oleh usahawan dan isu kemarau yang dihadapi oleh petani ini.


Tanaman Pisang yang berperingkat ini ditanam menggunakan benih Kultur Tisu (Tissue culture Seedling) yang dibeli daripada  beberapa syarikat pembekal termasuk Syarikat Felda Trading dengan harga RM1.60 sepokok. Penanaman dilakukan dengan jarak seperti disyorkan tetapi tidak ada sistem pengairan yang disediakan. Semasa menanam, Amalan Pertanian Baik (APB) dilaksanakan kerana pengurus ladang iaitu En Taufik berpengalaman dalam bidang ini setelah tamat berkursus di Jepun dan dalam penanaman melon secara fertigasi di Selangor. Kawalan rumpai dikebun kini berada ditahap terbaik kerana sanitasi kebun daripada rumpai amat bersih. Pembajaan dilakukan mengikut jadual yang membolehkan pertumbuhan sebelum musim kemarau ini mampu mencapai ketinggian optima dengan pembentukkan daun yang subur. Hampir 30% daripada pokok yang ditanam telah mula untuk mengeluarkan hasil seperti yang diperiksa oleh penulis (Sila lihat foto disebelah). Setiap tandan buah dibalut dengan pembalut plastik berwarna biru kehijauan dan disediakan lubang pengudaraan. Ini bertujuan untuk mendapatkan warna kulit pisang yang cantik dan seragam apabila dituai kelak. Beg plastik ditanda dengan 'marker' warna hitam untuk menyatakan bila tandan buah tersebut akan matang untuk dituai kelak. Bagaimana pun akibat kekurangan air maka beberapa tandan pisang yang baru keluar menjadi sedikit kecil saiznya dan jumlah sisir setandan kurang daripada purata 5-6 sisir. Bagaimana pun pada keseluruhan pokok masih subur dan belum kritikal.


 Ketiadaan hujan selama 1 bulan setengah ini dikawasan tanaman pisang berangan ini menyebabkan En Razak 'pening kepala' bagaimana untuk mengatasi masaalah ini. Beliau yang membuat pinjaman dengan AgroBank bercadang mendapatkan satu surat sokongan daripada beberapa pihak untuk membuat penjadualan semula bayaran pinjaman kepada Agrobank akibat kesan kemarau yang berpanjangan. Ini katanya dijangka dimana ia akan melewatkan dan menjejaskan pengeluaran hasil. Sumber bekalan air daripada sungai agak jauh dan kolam yang digali disekitar kawasan kebun pisang telah susut dan mulai kering. Pokok pisang lot sebelah iaitu pada peringkat tumbesaran perlukan air. Plot lama yang mulai mengeluarkan hasil memerlukan air banyak tetapi keadaan kemarau ini amat menganggu fikiran beliau (Sila lihat foto disebelah). Beliau ingin menyediakan sistem pengairan titis tetapi kekurangan modal untuk menyediakan pada masa ini kerana kos operasi untuk menanam seluas 60 ekar pisang diperingkat awal adalah tinggi. Beliau tidak menjangka akan berlaku keadaan kemarau atau tiada hujan berlaku begitu agak lama (lebih 6 minggu) sehinggakan ia menjejaskan sedikit dari segi jadual pengeluaran buah pisang dari kebunnya. Cuaca panas ini sehingga suhu mencecah 37-38 Celcius dimana ini telah menyebabkan sejatan air tinggi dan daun layu pada waktu tengahari akibat kekurangan air.


Penggunaan bahan gel pertanian (Plant gel) mungkin boleh dilakukan dikebun pisang ini. Berdasarkan perbincangan, petani ingin mengetahui teknologi penggunaan GEL yang dahulu pernah beliau lakukan sekitar tahun 1980'an dalam tanaman pisang. Beliau mendakwa penjualan gel 'diharamkan' kerana faktor keselamatan. Penulis menerangkan terdapat beberapa syarikat khusus mengedar dan menjual gel pertanian untuk tanaman iaitu Syarikat BSF dan EXCEL Soil dimana penulis pernah menggunakannya. Produk Gel Excel dijual dengan harga RM1,450 untuk satu tong dengan berupaya untuk keluasan tanaman pisang sehingga 1 hektar (Bergantung kepada umur pokok, jenis tanah dan jenis tanaman). Gel berstruktur kecil ini perlu dicampur dengan air dalam baldi sebelum ia menyerap air dan kembang. Apabila gel sudah kembang dalam 10-15 minit ia perlu dituang terus kedalam lubang (Pocket hole) dikiri dan kanan pokok pisang. Kemudian gel yang banyak air ini ditutup semula dengan tanah diatasnya. Setelah dikambus lubang perlu disiram dengan air semula. Biarkan sehingga akar pokok pisang mampu mengambil air dalam gel tersebut dalam tanah. Gel pertanian mampu menyimpan air sehingga 400 kali ganda dan disebut sebagai 'empangan kecil' dalam tanah. Dijangka teknologi ini adalah sebagai salah satu pilihan petani yang mengalami keadaan kemarau panjang, sumber air yang jauh dan mudah untuk dilaksanakan. Petani akan berfikir sama ada teknologi ini praktikal dilakukan atau ekonomik untuk dilaksanakan. Sebarang cadangan bagaimana hendak memberikan air kepada tanaman pisang ini beliau akan ambilkira. Diharap tulisan ini dapat memberikan idea kepada petani lain. Wasallam!...
TANAM PISANG...BERANGAN JUGA...
KEMARAU PANJANG..PENING KEPALA...
SISTEM PAIPING... AIR PUN TIADA...
PAKAI GEL... KENAPA TIDAK DICUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Paya Pasir, Chenor,
Maran, Pahang,
Malaysia.
(1 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...