Support My Blog

Tuesday, May 24, 2016

BENIH PADI TIDAK SAH ANCAM BEKALAN BERAS

BENIH PADI TIDAK SAH mampu mengancam bekalan beras dalam negara.  Isu ini telah berlaku dibeberapa lokasi penanaman padi dengan pelbagai alasan dan punca. Walau pun kempen sentiasa dilakukan oleh pihak berwajib tetapi masih ada pesawah yang menggunakan benih tidak sah. Benih padi tidak sah boleh menyebabkan kekurangan hasil, perebakkan penyakit serta merugikan pesawah dan negara. Pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga telah menyatakan demikian pada akhbar tempatan yang disiarkan oleh Berita Harian pada 27 Januari 2016 iaitu berkenaan isu benih padi tidak sah sebagai satu testimoni yang perlu dihalusi. Pada penulis benih padi sah merupakan progeni benih asas atau daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan tahap ketulenan genetik dan diperakui menepati piawaian yang ditetapkan. Oleh itu setiap transaksi mengenai benih padi sah semestinya melalui pemeriksaan yang ketat agar tidak berlaku penyelewengan. Pelaksanaan program Insentif Benih Padi Sah (BPS) oleh MOA adalah bagi memenuhi dasar Kerajaan yang memang menggalakkan semua petani menggunakan benih padi sah untuk tujuan penanaman padi di Malaysia. Perakuan kualiti benih padi sah hanya akan diberikan bagi benih padi yang mematuhi syarat dan juga piawaian berdasarkan kepada spesifikasi yang terkandung dalam dokumen Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM) : Spesifikasi Pengeluaran Benih Padi (Oryza sativa) dan MS 469:2012 : Specification for Rice (Oryza sativa) Seeds for Planting. Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu laporan kenyataan akhbar berkaitan penggunaan benih padi tidak sah yang akan mengancam industri padi negara. 

Proses pengesahan ini akan melibatkan pemeriksaan ladang, pemeriksaan premis (loji) dan pengujian biji benih di makmal. Banyak pihak terlibat dalam menyediakan benih padi sah terutama oleh Jabatan Pertanian. Ladang benih padi perlu diperiksa mengikut SOP yang disediakan dan mematuhinya (Sila lihat foto disebelah). Di bawah penyeliaan MOA telah mensyaratkan semua benih padi hendaklah disahkan oleh Jabatan Pertanian. Sebanyak sembilan (9) syarikat telah dilantik melalui perolehan tender terbuka oleh Kerajaan untuk mengeluarkan benih padi sah bagi tempoh 2015-2016 seperti berikut iaitu (1) PPK Puteri Saadong (2) PPK Lahar Bubu iii. Pertama Padi Sdn. Bhd, (4) KB Jelapang Selatan (M) Sdn. Bhd. (5) OBL Maju Sdn. Bhd. (6) Felcra Plantation Services Sdn. Bhd. (7) SPPM MADA (8)  Haji Mohd. Nor (M) Sdn. Bhd. (9) KB Seri Merbok Sdn. Bhd. Semua syarikat ini sebenarnya telah mengambil alih peranan Jabatan Pertanian dan beberapa Agensi lain dilantik yang mengeluarkan benih padi sah sebelum penswastaan. Apa pun mereka mesti mematuhi prosedur penyediaan benih padi, kawalan mut dan pengedaran serta penentuan harga oleh pihak kerajaan. Kerajaan menetapkan keperluan benih padi sah Negara adalah pada tahap 80,000 mt setahun yang meliputi semua varieti di bawah seliaan MOA. Jumlah ini mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan sepanjang tahun. Jenis-jenis varieti tersebut adalah MR 219, MR 220, MR 220 CL2, MR 253, MR 263 dan MR 269. 

Namun begitu daripada jumlah sasaran sebanyak 80,000 mt pengeluaran benih padi ini, hanya 85% sahaja pengeluaran yang dibuat berdasarkan permintaan dan keperluan tahun semasa. Oleh itu, MOA berpandangan tiada keperluan untuk menambah kuota sedia ada memandangkan prestasi pengeluaran tahunan masih dalam lingkungan tahap 80,000 mt. Sementara itu varieti padi MR 220 CL2 (Clearfield) adalah sejenis varieti benih padi sah diselia oleh MOA. Dilaporkan proses pembangunan MR 220 CL2 ini adalah merupakan kerjasama antara MARDI dan BASF. Varieti padi MR 220 CL2 ialah progeni daripada hasil kacukan antara titisan kebal imidazolinone iaitu IMI-TR 1770 dengan padi varieti MR 220. Ianya khusus untuk mengatasi masalah padi angin. Ketika ini sebanyak empat (4) pengeluar telah diberi kebenaran mengeluarkan MR 220 CL2 bagi tahun 2015- 2016 berdasarkan keupayaan dan kemampuan membekal serta menyediakan MR 220 CL2. Syarikat tersebut adalah (1) KB Seri Merbok Sdn. Bhd. (2) PPK Lahar Bubu (3) Felcra Plantation Services Sdn. Bhd. dan (4) SPPM MADA yang ada kelulusan MIA. Pihak MOA sentiasa memastikan benih padi sah perlu melalui proses perakuan kualiti oleh Jabatan Pertanian bagi menentukan jenis varieti yang dihasilkan adalah mengikut syarat yang ditetapkan. MOA memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan kepada pengeluaran hasil padi Negara. Namun begitu pengeluaran benih padi di Malaysia terus meningkat daripada sebanyak   2,578,519 mt (2011), sebanyak 2,599,382 mt (2012), sebanyak 2,603,654 mt (2014) dan meningkat kepada sebanyak 2,844,809 mt (2014).

Benih varieti MR 220 CL2 dijual secara pakej iaitu untuk 1 beg benih (20kg/beg) bersama 1 uncang racun “OnDuty” dengan harga antara RM90- RM120/beg. Bagi satu hektar, petani perlu membeli 7 beg benih padi bersama 7 uncang racun dengan harga yang tinggi. Kesempatan ini diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memperdaya petani dengan menjual benih padi tidak sah seperti disyorkan. Dalam hal ini, petani telah sedia maklum dan faham akan kaedah penggunaan benih ini tetapi oleh kerana harganya yang mahal petani telah beralih kepada sumber yang lebih murah dan tidak mendapat pengesahan Jabatan Pertanian. 8. Untuk memastikan petani di Malaysia menggunakan benih padi sah dan mematuhi Amalan Pertanian Baik, Jabatan Pertanian serta agensiagensi terlibat di bawah MOA sentiasa mengadakan sesi penerangan dan aktiviti pengembangan untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang cara penggunaan benih padi sah bagi memastikan bekalan benih yang dijamin kualitinya seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran. Sebagai satu lagi usaha penambahbaikan, setakat ini MOA mempunyai undang-undang yang secara umumnya mengawalselia padi dan beras di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan di bawah undangundang tersebut terdapat peraturan-peraturan yang berkaitan dengan perlesenan. Bagi langkah untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan mekanisme penguatkuasaan, MOA sedang menyediakan undang-undang yang khusus berkaitan dengan kualiti benih melalui rang undang-undang kualiti benih. MOA dari masa ke semasa sentiasa memantau dan memastikan dasar yang ditentukan oleh Kerajaan dapat memenuhi keperluan hasil padi Negara terutamanya dalam mencapai tahap sara diri. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
BENIH PADI SAH... PERLU DIGUNA...
BENIH TIDAK SAH... BERBAHAYA...
9 SYARIKAT... DILANTIK OLEH MOA...
PESAWAH GUNA... HASIL BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sawah Sepayang, IADA Rompin,
Pahang, Malaysia.
(25 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...