Support My Blog

Saturday, May 7, 2016

CIKU - CARA DAPAT HASIL TINGGI



TANAMAN CIKU (Manikara sapota) atau dipanggil sebagai Sawo di Indonesia merupakan buah yang sangat popular dirantau Asia Tenggara. Ini kerana pokok ciku memang sesuai ditanam dikawasan tropika sebagai tanaman minikrop atau tanaman seligan dengan buah-buahan lain. Buah Ciku ini disukai ramai disebabkan rasanya yang manis dan isi buahnya yang lembut apabila cukup masak. Buah ciku di negara kita dan dibeberapa negara jiran seperti Indonesia masih jarang dikomersilkan walau pun buah ini juga memiliki potensi nilai ekonomi yang dikira tinggi. Peluang penanaman untuk ciku masih sangat terbuka luas dimana persaingannya juga masih sangat kurang berbanding dengan buah-buahan tropika yang lain. Penulis pernah mempromosikan tanaman ciku di Melaka dahulu dimana ia ditanam dibawah projek pemulihan tanah terbiar dibeberpa lokasi dibawah Projek MIADP. Pokok ciku adalah tanaman yang agak lambat sedikit membesar berbanding dengan pokok buah-buahan yang lain. Beberapa varieti ciku yang disyorkan untuk ditanam seperti Ciku Betawi (C61), Ciku Jantung (C62), Ciku Subang (C63) dan Ciku Mega C19 (C64). Satu lagi ciku yang baru didaftarkan adalan Ciku Raja (C65). Benih ciku yang berkualiti ini boleh dibeli daripada beberapa nurseri swasta yang telah disahkan kualiti benihnya melalui Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian Malaysia. Hanya benih yang diahkan tulin dan berkualiti akan menjamin varieti ciku yang ingin dihasilkan. Ini kerana setiap varieti ciku memerlukan sistem penjagaan yang mungkin agak berbeza. Artikel subuh ini saya menulis artikel ke 3,705 dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa cara atau panduan untuk kita mendapatkan hasil tinggi bagi tanaman ciku. 



Pokok Ciku mudah tumbuh pada berbagai suhu walau pun lazimnya suhu yang terlalu panas akan merosak tanaman dan proses pertumbuhannya. Keperluan curahan hujan yang ideal antara 1,250 - 2,500 mm/tahun dan taburannya merata sepanjang tahun.
Pokok ciku mampu tumbuh dengan baik sampai ketinggian sehingga 900 meter di atas permukaan laut. Jenis tanah yang sesuai adalah dari jenis tanah aluvial dan berpasir serta tanah liat lempung. Sebaiknya tanah mempunyai pH tanah sekitar 6 - 7. Pokok ciku adalah resisten terhadap kekeringan dan memiliki toleransi terhadap saliniti tanah sempai 6 dS/m dalam keadaan tertentu. Benih ciku lazimnya disediakan secara mengetut dahan pokok induk terpilih. Bagaimana pu terdapat beberapa kelemahan benih daripada tutu ini iaitu ia sering mempunyai sistem perakaran kurang kuat disebabkan ia tidak memiliki akar tunjang. Kelebihannya pula adalah dimana benih ini mempercepatkan kemampuan berbuah pada umur kurang dari satu tahun. Dilaporkan yang tanaman benih tut ini sudah mulai berbunga atau berbuah dalam waktu singkat. Benih ini juga didakwa mempastikan kelamin serta sifat genetiknya sama dengan pohon induk (True to type planting material). Jika dapat pokok jenis renek (Dwarf) akan memudahkan pengurusan tanaman dengan bail terutama dalam kerja-kerja penuaian hasil. Dahan untuk tut dipilih daripada cabang kecil ukurlilit dahan sekitar 2 cm.


Penanaman pokok ciku menggunakan anakbenih yang cukup umur dengan menyediakan lubang penanaman. Sebelum ditanam pastikan benih dikeluarkan daripada polibeg dengan berhati-hati agar tanahnya tidak pecah agar sistem perakaran tidak rosak. Benih diletakkan dalam lubang menegak di tengah lubang tanaman. Kemudian tanah di sekeliling akar dipadatkan agar tidak terdapat rongga-rongga udara yang dapat menyukarkan akar pokok mencari makananan dan air. Bagi kawasan yang terdedah sebaiknya dibubuh sungkupan atau struktur pelindungan. Pertumbuhan anakbenih ciku bergantung kepada penjagaan daripada mula menanam dan kesediaan baja dalam tanah. Pembajaan ciku perlu dilakukan daripada peringkat sebelum menanam lagi dengan membubuh baja CIRP dan baja organik kedalam lubang penanaman. Bagi pokok dewasa, pembajaan boleh dilakukan dengan menggali parit dibawah disekeliling pokok atau mengelilingi pokok. Parit dengan kedalaman ± 10 cm kemudian akan diisikan dengan baja atau pun boleh juga membuat empat lubang di bawah kanopi pokok dengan ukuran 20 cm x 20 cm x 20 cm untuk tiap lubang bagi diisikan dengan baja.


Kadar baja digunakan bergantung kepada umur pokok dan juga tahap kesuburan tanah. Pada umur 0-3 tahun perlu diberikan 5-10 kg baja organik. Pada umur pokok 4-7pk/tahun pula diberikan baja 3.5 kg/pk/tahun baja urea iaitu untuk pembentukan daun diperingkat vegetatif. Perlu juga diberikan 1.5 kg/pk/tahun SP-36 dan 1 kg/pk/tahun KCl dengan 4 aplikasi setahun atau pun 3 bulan sekali. Sebaiknya waktu pembajaan terbaik adalah menjelang musim hujan dan akhir musim hujan. Apabila pokok ciku sudah berbunga dan diperingkat reproduktif iaitu sekitar umur 8-14 tahun maka baja untuk buah diberikan. Baja urea sebanyak 15.5 kg setahun, Baja SP-36 (2 kg/tahun) dan Baja KCl (1.5 kg/tahun) yang diberikan sebanyak 4 aplikasi (3 bulan sekali). Pembajaan selapas umur 14 tahun adalah dengan memberikan 7 kg urea/tahun, 3 kg SP36/tahun, 2 kg KCl/tahun dan baja organik sebanyak 20-20 kg/pokok/tahun. Semua pembajaan disyorkan unntuk diberikan pada awal dan akhir musim hujan untuk tujuan keberkesanannya. Baja organik boleh diberikan dua kali sahaja jika ia dibungkus dalam guni yang diletakkan dibawah pokok dengan memotong bahagian bawah guni tersebut. Baja organik ada 'slow-release fertilizer' yang mengambil masa 6 bulan untuk terurai sepenohnya.


Pemangkasan pokok ciku seperti buah-buahan tropika yang lain perlu sentiasa dijalankan. Pemangkasan sangat diperlukan untuk pemeliharaan tanaman agar tumbuh dengan baik. Ianya akan membantu mengurangkan serangan serangga perosak dan juga penyakit. Proses pemangkasan pertama dibuat pada musim hujan dimana tanaman mencapai ketinggian 100-160 cm dari paras tanah. Potong pada paras setinggi hanya menjadi 75-150 cm untuk cantasan pembentukkan pertama. Seterusnya pada musim hujan juga lazimnya tunas yang telah berumur 1 tahun perlu dipangkas hingga tinggal 25-40 cm sahaja (Sila lihat foto disebelah). Pangkasan selenggara perlu dilakukan sepanjang waktu apabila perlu terutama jika ada dahan berpenyakit, pokok terlelu rimbun dan masaalah gila daun berlaku. Kawalan rumpai dilakukan sepanjang masa penanaman. Lazimnya setelah 1- 2 bulan menanam, merumput dilakukan untuk membersihkan rumput yang mengganggu. Jika tanaman sudah tumbuh besar gangguan dari rumpai tidak berapa kritikal lagi tetapi jika tanaman masih kecil akan sangat menggangu sebab rumpai akan kadar tumbesaran pokok ciku. Buang sebarang rumpai parasit seperti pokok dedalu yang dan duit-duit. Ia selalu dilakukan secara manual dengan memotong bahagian ranting yang ada tumbuuhan dedalu dan membakarnya. Dedalu cepat membiak jika kawasan kurang diuruskan dengan baik dan ia boleh menyebabkan pokok ciku kurang berhasil atau akhirnya mati (Sila baca artikel tulisan saya mengenai dedalu - Sila klik disini). Cara kawalan dengan potong pokok dedalu sebelum ia berbunga kerana spora pada bunga yang ditiup angin cepat merebak.


Pokok ciku yang diuruskan dengan baik akan mula berbunga pada umur 3-5 tahun dikebun. Sebaiknya dilakukan proses apa yang dikatakan penjarangan buah. Proses ini akan mengurangkan jumlah buah yang terdapat dalam setiap pokok. Jika dilakukan ia akan menghasilkan buah ciku yang lebih besar dan berkualiti sesuai dengan sasaran untuk memperbanyakkan buah dalam Gred A. Caranya dengan mengurangkan putik buah yang sangat lebat tinggal 50-60% daripada jumlah asal jika buah setangkai sangat lebat (Sila lihat foto disebelah). Buah ciku merupakan jenis buah yang masak tidak serentak dan berperingkat-peringkat. Hanya buah yang telah matang dengan ciri-ciri fisiliogi yang tua atau matang sahaja dipilih untuk dipetik. Ciri-ciri buah ciku yang sudah tua adalah menilai ukuran maksimum buah, kulit coklat muda dan isi buah yang agak lembek. Penulis dapat tips dari petani di Melaka menyatakan buah ciku matang apabila dipetik dengan mudah lepas dari tangkai dan relatif bergetah sedikit. Elakkan dari memetik buah ciku yang masih muda kerana ia kan memerlukan waktu yang lama untuk pemeramannya dan rasa buah tidak manis. Buah ciku yangg dipetik menggunakan galah yang dipasang dengan jaring dan elakkan daripada terjatuh ditanah. Ini kerana jika buah jatuh kebawah akan menyebabkan ia lebam atau jika disimpan lama akan menjadi busuk. Buah yang dipetik digredkan dan dimasukkan dalam kotak sebelum dihantar kepada pemborong atau untuk diperoses kepada produk lain. Harga buah ciku matang bergantung kepada musim dan lokaliti. Penanaman ciku secara besar-besaran dan komersil masih kurang diminati ramai petani kerana kemungkinan isu harga, pasaran dan kos memetik yang agak tinggi. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!.
TANAM CIKU...SAWO DI INDONESIA...
BENIH DI BELI... CARA TUT ASALNYA...
ADA 5 VARIETI... PILIH YANG  MANA...
ADA POTENSI... SIAPA BERANI CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(15 RabiulAwal 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...