Support My Blog

Thursday, May 19, 2016

PECAH RUYUNG DAPAT SAGU


Peribahasa KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANAKAN DAPAT SAGUNYA merupakan satu peribahasa lama yang sering didengar dalam masyarakat kita. POKOK SAGU (Metroxylon sagu) tergolong dalam tanaman dari keluarga Palmae (sekarang keluarga ini dipanggil juga sebagai keluarga Arecaceae) yang tumbuh menegak dan lazimnya akan mengeluarkan sulur. Peribahasa berasaskan tumbuhan pokok sagu ini memang sesuai digunakan kerana ia membawa makna sebagai "Tidak akan tercapai maksudnya kalau tidak mahu berusaha dan bersusah payah". Mungkin tidak ramai dikalangan kita pernah melihat atau mendengar ruyung sagu. Ruyung Sagu merupakan batang pokok sagu dewasa yang dipotong-potong sekitar 1 meter dengan kulitnya yang tebal dan keras. Penulis yang pernah bertugas di Sarawak pada 1995-1997 beberapa kali melawat kawasan penanaman dan pengeluaran sago di Mukah dan Dalat. Pengusaha akan menebang pokok sagu yang matang untuk di ambil batang rembia atau batang sago menjadi 'ruyung' dimana ia kemudian dikopek menggunakan kapak atau parang khas membuang kulit (Sila lihat foto diatas). Apabila kulit telah di kopek maka akan dilihat isi batang safo berwarna putih kekuningan yang lembut. Ini inilah yang akan disagat untuk menghasilkan parutan sago yang seterusnya diperah bagi mendapatkan air sagu. Mendakan cecair ini akan menghasilkan tepong sagi setelah melalui beberapa proses termasuk pengeringan. Memang kerja untuk mendapatkan sagu daripada batang pokok sagu satu kerja yang amat sukar dan memerlukan banyak tenaga serta kesabaran. Bukan sebarang orang mampu menebang, memotong batang rembia, membawa keluar batang rembia, membuang kulit, memarut, memerah dan seterusnya memproses sehingga mendapatkan hasil sagu. Ahli bahasa telah melihat kesukaran kerja memecahkan ruyung sagu untuk mendapatkan sagunya dengan mencipta peribahasa. Dalam kehidupan harian pun ia sangat relevan dimana untuk mencapai apa juga kejayaan semestikan perlukan kerja keras. Mereka yang kerja keras memang sepatutnya dapat hasilnya selaras dengan usaha yang dilakukan. Artikel malam ini bagaimana pun dalam "Anim Agro Technology" saya megupas mengenai pokok rembia atau pokok sagu sebagai menjelaskan secara ilmiah tumbuhan ini. 


Pokok Sagu (Metroxylon sagu) tergolong dalam tanaman dari keluarga Palmae (sekarang dipanggil juga keluarga Arecaceae) yang tumbuh menegak dan lazimnya akan mengeluarkan sulur. Pokok sagu banyak terdapat di Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia iaitu kawasan hutan hujan. Pokok sagu juga kita kenali juga sebagai pokok Rumbia (Sila baca artikel saya - Sila klik disini). Pokok sagu selalunya mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 - 12 meter. Pokok sagu juga mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok sagu juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak serta pendalaman Borneo antaranya suku kaum Bisaya, Penan dan Melanau. Dilihat dari segi marfologi pokok, pokok sagu mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6 - 8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok sagu mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunganya adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk(cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun di mana selepas ini pokok rumbia akan mati. Pengalaman saya betugas di Sarawak memberi peluang untuk saya mengenali pokok sagu yang digunakan sebagai satu tumbuhan bernilai ekonomi. 


Pokok sagu yang tumbuh semulajadi di banyak kawasan di Sarawak mempunyai signifikan dengan mesyarakat tempatan. Masyarakat Melanau terkenal dengan makanan tradisionalnya iaitu sagu. Pokok Sagu dipanggil pokok mulong oleh penduduk tempatan. Sejarah pokok mulong menurut beliau adalah berasal daripada Negara China. Beliau mengatakan bahawa pedagang dari China membawa pokok mulong ke Mukah, Sarawak. Berdasarkan cerita tempatan mereka mempercayai pedagang China ini hanya membawa dua batang pokok sahaja. Kawasan yang terdapat banyak pokok mulong di Mukah adalah dari kawasan Ulu Mukah dan Dalat. Dari sudut geografinya pula, tanah yang sesuai untuk menanam pokok mulong ialah tanah gambut. Tempoh pokok mulong matang bergantung kepada kesuburan tanah. Cara penanaman pokok mulong adalah dengan menggali sedikit lubang dan seterusnya memasukkan anak pokok tersebut ke dalam lubang yang telah digali itu tadi. Selepas itu, dua kayu akan dipacak secara berpalang merentasi anak pokok tersebut. Fungsi kayu yang berpalang adalah untuk mengelakkan anak pokok mulong dihanyutkan oleh air. Jangka masa untuk menebang pokok mulong adalah dalam tempoh 13 tahun. Tunas pokok mulong sentiasa bercambah selepas proses penebangan pokok mulong.


Mengikut aspek kepercayaan pula, proses penebangan pokok mulong mempunyai pantang larangnya tersendiri. Antara pantang larangnya ialah sekiranya terdapat tikus yang melintasi kawasan pokok mulong tersebut, maka pokok mulong tersebut tidak boleh ditebang kerana kemungkinan ada orang yang meninggal umpama kita membaling batu kepada orang yang meninggal tersebut. Pantang larang seterusnya ialah sekiranya terdapat ular yang melintas ketika ingin menebang pokok mulong, kita boleh dianggap seperti mengikat keranda orang yang sudah mati dengan menggunakan tali. Kepercayaan ini dipercayai sehingga ke hari ini. Selain itu, sebelum pergi menebang pokok, jika terdapat seekor ayam yang melintasi perahu, kita tidak boleh menebang pokok mulong. Hal ini kerana mengikut kepercayaan mereka akan berlaku sesuatu bencana. Pantang larang yang seterusnya dalam menebang pokok mulong, adalah jika terdengar bunyi seekor burung “Bukeng” , siulan burung tersebut perlulah didengar dengan teliti sebelum menebang pokok mulong, hal ini kerana jika kali pertama mendengar siulan burung tersebut maka dilarang untuk menebang pokok tersebut. Namun jika siulan burung tersebut didengar berulang kali maka penebangan pokok mulong dibenarkan. Siulan burung tersebut membawa maksud siulan yang pertama memberitahu terdapat saudara yang terdekat yang meninggal manakala jika siulan tersebut berulangkali bererti tiada apa-apa yang berlaku. Setelah didengari segala pantang larang tersebut, mengikut kepercayaan kaum melanau itu sendiri segala pantang larang itu membawa maksud ada hantu yang memberitahu kepada burung “Bukeng” dan burung tersebut dikatakan menyampaikan kepada manusia. Pantang larang yang dinyatakan kini tidak lagi diguna pakai pada masa sekarang. Ilmu penebangan pokok mulong dan pemprosesan pokok mulong menjadi tepung lemantak (sagu). 


Kerja-kerja untuk penebangan dan juga pemprosesan pokok mulong adalah untuk dirinya sendiri, namun jika terdapat lebihan barulah beliau menjual kepada orang lain. Proses penebangan pokok mulong mengambil masa yang lama dan juga tenaga yang banyak. Langkah pertama adalah mengenal pasti jenis pokok mulong yang hendak ditebang terlebih dahulu, selepas itu penggunaan mesin gergaji (jingsaw) untuk menebang pokok. Sebatang pokok mulong apabila dibahagikan kepada 30 inci boleh dipotong kepada lapan bahagian. Lapisan pokok mulong adalah tiga lapisan , iaitu lapisan yang pertama sebelum ditebang pokok mulong lapisan yang pertama perlu dibersihkan menggunakan parang. Lapisan yang kedua adalah setelah ditebang dan sebelum dibahagikan kepada lapan bahagian. Dan lapisan terakhir adalah setelah direndam dalam air selama 20 hari. Selepas proses penebangan pokok mulong, bahagian-bahagian tersebut digolekkan menuju ke tebing sungai. Seterusnya bahagian-bahagian tersebut ditolak terus ke dalam sungai sebelum diikat menggunakan tali. Bahagian-bahagian tersebut disatukan menjadi seperti rakit kemudian ditarik menggunakan perahu atau tenaga manusia itu sendiri. Bahagian-bahagian tersebut boleh ditarik menggunakan perahu jika air sungai pasang, jika air sungai tersebut surut maka tenaga manusia diperlukan untuk menarik bahagian-bahagian tersebut. Sebaik sahaja selesai proses penebangan pokok, bahagian-bahagian kecil pokok mulong tersebut direndam dan dibiarkan selama 20 hari di dalam sungai untuk memastikan sagu yang diproses mempunyai isi yang mencukupi, selain itu proses merendam tersebut adalah untuk mengelakkan daripada dimakan oleh ulat. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
PECAH RUYUNG... SUSAH KERJANYA...
GUNA PARANG... KAPAK PUN SAMA...
ISI DIPARUT... DIPERAH PUN LAMA...
DAPAT SAGO...MAHAL HARGANYA...

By,
M Anem,
Senior Aagronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(25 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...