Support My Blog

Monday, August 15, 2016

HARGA GETAH RENDAH?

HARGA GETAH (Rubber Price) dunia kini adalah diparas rendah yang menyebabkan pendapatan dibeberapa negara pengeluar utama getah asli dunia terjejas. Getah (Hevea braziliensis) merupakan tanaman yang kedua terpenting di negara kita selepas tanaman Kelapa Sawit. Kementerian Komoditi dan Perladangan (MPIC) telah pun menjelaskan bahawa kejatuhan harga getah ketika ini adalah disebabkan oleh penawaran yang lebih tinggi berbanding permintaan getah asli dalam pasaran. Kementerian itu juga menyatakan penawaran getah yang lebih tinggi mewujudkan lebihan stok dan faktor kelembapan ekonomi negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah telah pun memburukkan lagi keadaan. Dalam pada itu antara faktur lain yang menyebabkan penurunan harga getah dunia kini adalah disebabkan oleh nilai dolar AS (USD) yang rendah dimana ini memberi kesan kepada harga getah di pasaran antarabangsa manakala di Tokyo Commodity Exchange (TOCOM) telah membuat spekulasi harga berdasarkan gaya ekonomi dunia menyebabkan harga getah diperdagangkan di paras yang rendah. Faktur harga minyak dunia juga yang rendah masa kini menyebabkan industri pengeluaran getah tiruan atau getah sintetik polimer lebih kompetitif dan murah. Getah sintetik menjadi murah dan banyak dipasaran dunia yang menyebabkan harga getah asli juga terjejas. Teknologi pengeluaran getah sintetik juga semakin moden dan canggih dimana ia berjaya dalam menurunkan kos pengeluaran getah sintetik dengan kualiti yang lebih baik. Dalam pada itu juga semasa membuat rujukkan kepada MPIC, penulis diberitahu dimana keadaan ini dijangka akan menjadi lebih buruk sekiranya negara Thailand memutuskan terus menjual stok simpanan getah yang dianggarkan sebanyak 200,000 tan. MPIC sebenarnya telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu ini dan menyediakan beberapa alternatif dan cadangan mekanisme penentuan harga getah bagi mengawal selia harga getah di peringkat ladang untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa isu dan perkara yang berkisar dengan kejatuhan harga getah yang menjadi isu ekonomi dan politik dinegara kita sekadar untuk dijadikan bahan rujukkan.


Dalam menangani isu harga getah yang rendah ini, kerajaan melalui beberapa agensinya membuat beberapa strategi bagi mengatasi isu ini. Diantara strateginya ialah memastikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menerbitkan harga getah 'free-on-board' (FOB) dua kali sehari dan dihebahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta sebut harga yang diperoleh daripada ahli-ahli Panel Penasihat Harga Malaysian Rubber Exchange (MRE) dipamerkan dalam laman web rasmi LGM. MPIC yakin dengan pelaksanaan strategi berkenaan akan dapat juga mengurangkan manipulasi harga oleh peraih selain dari dapat memastikan para pekebun kecil menerima tawaran harga yang terbaik bagi hasil getah mereka selepas membuat rujukan harga yang dikeluarkan oleh LGM. Menurut kenyataan LGM, setiap suku tahun biasanya dibuat kajian oleh Jawatankuasa Kajian Harga LGM yang turut dianggotai oleh wakil Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (NASH) dan MPIC akan mengkaji mekanisme penetapan harga getah FOB berkenaan. Kementerian turut menafikan dakwaan bahawa harga pasaran getah negara ini dipengaruhi oleh kartel melibatkan syarikat-syarikat besar juga adalah tidak berasas kerana ada syarikat yang juga bertindak sebagai Panel Penasihat Harga MRE memberi sebut harga tinggi manakala syarikat yang didakwa terlibat dalam kartel pula bukan merupakan panel. Mereka juga ada menegaskan bahawa mekanisme Panel Penasihat Harga MRE bukanlah sekumpulan syarikat di dalam sebuah kartel sebaliknya diwujudkan bagi memastikan harga getah asli pasaran tempatan mencerminkan keadaan harga pasaran antarabangsa. Ahli panel dilantik bersilih ganti setiap dua tahun dan senarainya boleh diperoleh melalui laman Web LGM. Kini telah ada Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dilaksanakan oleh LGM untuk memberikan bantuan kewangan kepada pekebun kecil dan penoreh getah mengikut kadar ditetapkan. 


Dalam pada itu harga getah dijangka pulih dalam beberapa tahun akan datang. Pada masa ini ada cadangan penggunaan getah beku (cup lumps) dalam pembinaan jalan raya yang dijangka dapat mengembalikan harga pasaran komoditi getah yang kini semakin merundum. Dalam akhbar tempatan pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya merupakan permulaan yang baik terutama kepada peneroka yang terbabit dengan penanam getah di tanah rancangan Felda di seluruh negara. Kini telah ada beberapa cadangan teknologi pembinaan jalan raya menggunakan getah beku dimana ini akan memberi impak terutama kenaikkan semula harga yang turut memberi manfaat kepada pekebun kecil. Dalam pada itu Felda juga akan tetap memberi tumpuan terhadap industri tersebut terutama memperbanyakkan sektor hiliran berasaskan getah bagi menambah pendapatan syarikat.  Pada masa akan datang permintaan tinggi terhadap bahan mentah itu yang disusuli dengan kenaikan harga pasaran sudah pasti akan melegakan banyak pihak. FGV kini giat dalam meningkatkan pendapatan dari sumber getah walaupun ladang getah miliknya hanya 10 peratus berbanding tanaman kelapa sawit. Dalam kenyataan lain Felda juga akan sentiasa menjalin hubungan kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) terutama bagi meningkatkan hasil susu getah dan perkara berkaitan. Terkini Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya dan LGM telah pun menandatangani memorandum persefahaman bagi melaksanakan kajian bersama mengenai penggunaan campuran getah asli cup lumps sebagai bahan tambah dalam campuran asfal untuk meningkatkan penggunaan getah bagi pembinaan jalan raya.


Berbalik kepada isu harga getah yang rendah, antara isu yang perlu di bincangkan adalah kadar tukaran wang semasa dimana semasa matawang Thailand dan Malaysia ialah RM1.00 bersamaan THB8.30 ia akan menjejaskan harga getah dipasaran dunia. Kadar tukaran biasa sebelum nilai ringgit menjunam ialah RM1.00 bersamaan THB10.0. Jika hendak dibuat perbandingan pada minggu ini, purata harga sekilo getah sekerap (Cup Lumps) di Thailand ialah THB36.0 bersamaan dengan RM4.30. Sementara iatu di Malaysia, minggu ini LGM menerbitkan harga ladang getah sekerap di ladang seluruh Malaysia (farm gate price) pada kadar harga RM2.20 dan RM1.50 bagi gred sekerap terendah. (RM2.20 bersamaan dengan THB18.0 sahaja). Penulis diberitahu oleh pegawai LGM dimana daripada lima (5) pengeluar getah utama dunia pada tahun 2013, Thailand menghasilkan 3.9 juta tan metrik getah, diikuti oleh Indonesia pada 2.8 juta tan metrik. India menghasilkan 888,000 tan metrik diikuti oleh Vietnam pada 854,000 tan metrik. Malaysia yang merupakan pengeluar kelima terbesar getah asli menghasilkan 845,000 tan metrik. Selama beberapa dekad sebelum ini, Malaysia berada di tangga pertama sebagai pengeluar utama getah asli dunia. Kini Malaysia tidak lagi menjadi 'Hero' dalam pengeluaran getah seperti dahulu lagi. Penurunan harga getah juga dipengaruhi oleh isu kekurangan minat pekebun kecil menanam getah dan lebih ramai yang telah menukar tanaman getah kepada kelapa sawit terutama oleh pekebun kecil. Purata keluasan tanaman getah pekebun kecil hanya 1.8 hektar sahaja. Kini setiap penoreh getah telah disasarkan mendapat lebih dari RM900 sebulan iaitu penetapan garis pendapatan paras kemiskinan.


Dalam beberapa penjelasan mengenai isu ini, diantara alasan lazim pihak kerajaan Malaysia tentang kejatuhan harga getah ialah stok getah dunia yang berlebihan iaitu tahap pengeluaran 11.5 juta tan berbanding penggunaan 10.99 juta tan. Dilaporkan terdapat kira-kira 523,000 tan getah 'overhanging stock' yang mana ini menyebabkan harga getah kekal rendah. Apa pun diantara soalan yang payah untuk dijawab ialah mengapa Thailand (mengeluarkan 3.9 juta tan) yang mengeluarkan getah 4.5 kali ganda (4.5X) melebihi kadar dari pengeluaran Malaysia (854,000 tan) boleh membayar harga 1.95 kali ganda lebih tinggi (hampir 2 kali ganda) kepada penoreh dan pekebun mereka?. Sebenarnya jika harga getah bergantung kepada harga pasaran dunia (FOB) yang sama dan persoalannya adalah apakah yang menentukan perbezaan harga diantara ladang-ladang negara berjiran Malaysia-Thailand?.  Adakah kualiti 'dried rubber content' atau DRC getah sekerap (cup lumps) di Malaysia jauh lebih rendah daripada sekerap dari Thailand?.  Apakah penentu DRC getah sekerap antara dua negara ini berbeza sehingga berlaku kes seperti ini?. DRC getah sekerap di Malaysia ditentukan oleh LGM pada kadar 50% secara andaian atau cara anggaran sahaja. Tolok pengukur DRC yang dihasilkan daripada penyelidikan LGM tidak pernah digunakan. Kini kos penyelidikkan di LGM disumbangkan oleh penoreh getah atau pekebun iaitu bagi setiap kilogram getah yang telah dikeluarkan sebanyak 4 sen/kilo akan digunakan untuk LGM bagi menjalankan penyelidikkan. Pemotongan cukai ses sebanyak 10 sen/kilo akan diberikan kepada pihak RISDA iaitu diberikan kepada pekebun kecil sebagai kos untuk tanaman semula getah. Keseluruhan jumlah pemotongan yang wajib untuk ses getah masa kini adalah sebanyak 14 sen/kilo. Isu ini sedang dikaji oleh kerajaan bagi mempastikan industri getah menjadi lebih kompetetif sepanjang masa.


Kini penulis telah maklum dimana penoreh dan pekebun getah di Malaysia menanggung sendiri semua kos dalam industri getah termasuk kos pengeluaran, Penyelidikkan dan penanaman semula pokok getah. Dalam pengiraan kos sebenar (modal) untuk menghasilkan sekilogram getah di Malaysia, pekebun terpaksa menanggung RM3.20/kilo bagaimanapun meraka hanya dibayar RM2.20 sekilogram sebagai harga pasaran (Abdul Halim Majid, 2013). Pada masa ini di Malaysia terdapat 590,000 keluarga di Malaysia (purata 3.1 ahli keluarga) menjadikan jumlah seramai 1.829 juta orang bergantung kehidupan kepada sektor ini. Penulis juga merupakan seorang anak penoreh getah sehingga berjaya belajar dimenara gading atas duit getah. Laporan LGM dan RISDA di Malaysia mengenai taburan pekebun kecil getah mengikut bangsa paling ramai adalah Orang Melayu (77%) diikuti dengan kaum Cina (20%), Kaum India (1%), Org Asli (0.4 %) dan kaum lain-lain (0.9%). Laporan yang merujuk kepada Bancian RISDA  ini  menyatakan purata pemilikan kebun getah di Malaysia adalah 1.8 hektar sahaja. Pada kadar keluaran 845,000 tan (845 juta kilogram) setahun, kerajaan boleh memperuntukkan RM1.52 bilion (RM1.80/kilo) sebagai satu skim khas penstabilan harga getah untuk menjadikan harga sekerap berada pada paras RM4.00 sekilogram. Jumlah itu tidak terlalu besar berbanding jumlah penerima manfaat seramai 1.829 juta orang yang pasti semua mereka itu adalah kumpulan rakyat miskin yang terdesak sangat sekarang ini. Beberapa insentif kepada pekebun kecil getah, penoreh telah diperkenalkan melalui skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dikelolakan oleh LGM dilaksanakan masa ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua.  Wasallam!!!.

HARGA GETAH... AMAT RENDAHNYA...
RAMAI TERLIBAT... SELURUH NEGARA...
NEGARA THAILAND.. PENGELUAR UTAMA...
PENOREH MENGELUH...IA BAGAIMANA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Mesra, Raub,
Pahang, Malaysia.
(18 Zulkaedah 1437H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...