Support My Blog

Wednesday, August 3, 2016

HILANGKAN BAU DURIAN DALAM KERETA

BUAH DURIAN (Durio zibethinus) merupakan 'raja segala buah' yang popular dibeberap kawasan tropika termasuk di Malaysia. Buah durian merupakan jenis buah yang kuat baunya dan jika dimasukkan kedalam kereta memang akan menyebabkan kereta berbau untuk jangkamasa yang lama. Dalam kempen 'Jom Makan Durian 2016', Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 30 Julai 2016 mengumumkan jualan buah durian mencecah RM1.0 juta dalam masa 3 hari jualan dilakukan di Stadium Merdeka dan beberapa lokasi lain. Pembeli terpaksa membawa balik durian dibeli dalam kereta untuk dimakan dirumah. Bergantung kepada jumlah buah yang dibawa, tahap kemasakan  buah dan jarak jauh perjalanan, kesan bau durian yang melekat akan berbeza (Sila lihat foto diatas). Ramai orang luar negara mengatakan bau durian adalah 'Busuk' dan jika mereka menaiki teksi dimana bau durian tersebut akan menimbulkan keresahan dan mereka terus menyumpah sepanjang perjalanan. Kita orang tempatan pun yang masukkan buah durian dalam kereta akan merasa loya, pening dan rasa tidak senang dengan bau durian yang melekat dalam kereta. Rasa dan bau durian adalah unik lain daripada jenis buah yang lain menyebabkan ramai orang melahirkan rasa suka atau ada yang kata bau yang menyiksakan malahan ada yang yang kata ia amat menjengkelkan.  Dalam satu catitan sejarah dikisahkan Wallace (Orang Eropah) pada tahun 1856 pada mulanya menyatakan buah durian berbau seperti 'bawang busuk' namun begitu sebaik sahaja selepas beliau dan rakan mereka makan durian dan merasanya, mereka lebih dapati telah menyukainya daripada semua makanan lain. Orang tempatan menyukai buah durian sebagai 'buah eksotik yang berharga' terutama kini dengan kehebatan durian MUSANG KING atau Durian Raja Kunyit (D197), Durian Tembaga, Ochee, Durian D24, Durian Dato Nina, Durian Baserah dan beberapa varieti lagi. Tahap bau buah durian berbeza-beza disebabkan oleh varieti, tahap kemasakan, kulit pecah atau belum serta beberapa faktur lain. Durian daripada varieti berbeza boleh memiliki aroma yang amat berbeza dimana sebagai contoh varieti durian merah (Durio dulcis) memiliki perisa karamel mendalam dengan bau turpentine manakala durian isi-merah (Durio graveolens) mengeluarkan haruman seperti buah badam panggang. Durian Jenis Klon (Durio zibethinus) menghasilkan bau kuat dan rasa isi lebih manis berbanding dengan jenis durian hutan atau durian kampong biasa. Tahap masak buah itu juga memberi kesan kepada rasanya dimana antara penyebab bau atau aroma adalah kandungan bahan sebatian meruap termasuk Ester, Keton dan sebatian Sulfur. Bahan ini yang menyebabkan bau tersebut boleh melekat pada kereta jika dibawa untuk jarak dan masa akag jauh dan lama. Artikel pagi Ahad ini saya menulis lagi artikel ke 4,048 dalam "Anim Agro Technology" mengenau bau durian dan beberapa petua untuk mengurangkan bau dalam kereta.


Bau buah durian yang kuat ini boleh dikesan sehingga setengah batu jauhnya oleh beberapa jenis haiwan. Diantara jenis haiwan yang berselera dengan buah durian ialah tupai, kancil, babi, orang utan, gajah dan malah dilaporkan ada jenis harimau yang suka makan durian. Cara haiwan liar ini makan buah durian berbeza-beza dengan menebuk kulit dan makan isi dan meninggalkan bijinya tetapi ada yang juga menelan dengan bijinya sekali. Biji ini pula akan diberakkan dilokasi lain dan seterusnya akan tumbuh menjadi pokok durian baru sebagai satu sistem pembiakan. Bau durian yang kuat ini menyebabkan buah ini tidak dibenarkan untuk ianya dibawa kedalam Pejabat, Hotel Penginapan, Kapalterbang dan pelbagai premis yang ada sistem pendingin hawa terutama jika premis tersebut ada sistem pendingin hawa berpusat (centralised aircond). Penulis yang melawat negara Thailand mendapati ada cara lain makan durian varieti seperti Munthong atau Durian Chanee atau Durian Kanyou dengan cara membungkus isinya dalam bekas khas. Durian Thailand dipetik dari pokkok pada indeks 4 dan buah ini akan menghasilkan bau yang kurang (Sila lihat foto disebelah). Cara mudah membawa buah durian dilakukan dengan menaiki kenderaan yang tidak ada penghawa dingin. Ini kerana kenderaan yang bertutup dengan sistem aircond akan membolehkan bau durian akan masuk sistem kitaran udara dan ini menyebabkan keseluruhan kereta akan berbau buah durian. Selain durian selalunya buah manggis (Garcinia mangostana) juga dilarang dibawa masuk kebilik hotel kerana ia boleh menyebabkan cadar katil menjadi warna merah jika terkena cairan dari kulit manggis.  


Mengurangkan bau buah durian dalam kereta merupakan satu cara yang ramai tidak tahu kaedahnya. Membeli durian berkualiti seperti Musang King, Beserah, Dato Nina, Tembaga dipesta durian memang amat menyeronokkan. Menteri dan ramai pengunjung pesta durian membeli buah durian segar untuk dibawa pulang dengam kereta (Sila lihat foto sebelah). Sudah pasti kenderaan mereka akan berbau untuk beberapa hari setelah membawa buah atau isi durian. Penulis berkongsi maklumat mengenai beberapa cara mudah dan murah untuk kita menghilangkan bau durian di dalam kereta adalah mengikut pengalaman dan membuat rujukkan petua orang-orang tua yang terbukti amat signifikan untuk dipelajari semua pembaca blog popular ini. Kalau petua ini kurang berjaya cuba gunakan beberapa petua lain yang anda fikir mudah dan berkesan. Paling asas adalah semasa hendak membawa buah durian kedalam bonet kereta untuk dibawa balik kerumah. Sebaiknya buah durian tersebut dibalut dengan daun ubi kayu atau daun betik atau apa-apa juga jenis daun daun yang kelebarannya boleh menutupi kelebaran buah durian. Daun-daun ini akan dapat menyerap bau durian secara langsung dalam bonet kereta. Terkini penulis dapati dengan cara meletakkan daun pokok kapalterbang (Eupatorium odorotum) adalah petua terbaik dalam aktiviti mengurangkan bau buah durian ini. Potong beberapa rumpun pokok kapalterbang ini dan susun dalam bonet kereta sebagai alas Sila baca artikel tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Setelah buah durian tersebut dikeluarkan dan dimakan sebaiknya kekalkan rumpun pokok kapalterbang dalam bonet untuk terus menyerap bau atau digantikan dengan daum kapalterbang yang baru.


Kaedah lain yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan atau usaha untuk menghilangkan bau durian dalam kereta adalah dengan meletakkan beberapa potongan buah nenas dalam kereta. Buah nenas (Annanas comosus) merupakan bahan penyerap bau durian yang berkesan dalam beberapa hari. Ini kerana buah nenas segar boleh menyerap bau durian. Potong separuh buah nenas itu dan letakkan dalam kereta anda. Tapi cara ini pasti membuatkan anda berfikir beberapa kali terlebih dahulu. Kalau anda rasa rugi hendak guna buah nenas makan anda boleh juga letakkan Daun Pandan (Pandanus odorata) dalam kereta. Bau dari daun pandan tersebut boleh menghilangkan bau durian dengan cekap juga. Daun pandan segar dipotong dari rumpunnya dan diikat kemudian diletakkan didalam bonet kereta atau dibawah tempat duduk untuk beberapa hari. Apabila bau sudah hilang dan daun pandan menjadi kering ia kemudian dibuang. Kaedah lain sesuai diamalkan bagi membuang bau durian dalam kereta dengan cara membungkus serbuk kopi (tidak kisah cap apa pun) dalam kain dan kemuidan ianya letakkan di dalam kereta. Aroma dari Serbuk Kopi (Coffea spp) itu akan menyerap segala bau durian atau bau yang lain dalam bonet kereta anda. Biji kopi kering juga biasanya ada yang digunakan oleh jurujual minyak wangi berjenama untuk meneutralkan bau hidung sebelum menghidu minyak wangi yang akan mereka sembur pada anda.Cara lain membuang bau dengan mengambil beberapa keping roti putih (tidak kira apa jenama) dan letakkan di dalam kereta anda selama dua hari. Roti juga boleh menyerap segala bau yang ada dan selepas dua hari roti tersebut akan mengeras. Jangan pula cuba kitar semula roti tersebut buat roti bakar kerana ia hanya sesuai dibuang sahaja dalam tong sampah. 


Beberapa teknik lain menghilangkan bau durian dalam kereta dengan meletakkan semangkuk cuka dalam bonet kereta dan tutup. Bau cuka yang sifatnya berasid ini boleh juga menghilangkan bau durian. Selain itu cuka juga boleh digunakan untuk tujuan mengelakkan kucing membuang najis di kawasan rumah anda. Jadi anda boleh mengelakkan diri daripada terkena najis kucing sebelum menaiki kereta. Bagaimana pun penulis dapati kalau dirumah kebetulan tiada roti maka disyorkan gunakan ARANG KAYU. Ini kerana bahan arang adalah penyerap bau yang cekap dan anda boleh menggunakan bungkusan arang tersebut untuk ditinggalkan ke dalam kereta selama beberapa hari (Sila lihat foto disebelah). Bau tersebut akan diserap oleh arang dan lepas itu kalau hendak guna semula arang tersebut boleh dikumpul semula bagi kegunnan bahan bakar seperti untuk BBQ. Bahan Serbuk Penaik (baking soda) juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau yang kurang enak dalam kenderaan anda. Cuba letakkan semangkuk serbuk penaik (baking soda) di dalam kereta dan bau busuk buah durian tersebut akan hilang. Satu lagi cara adalah dengan membungkus dahulu buah durian sebelum dimasukkan ke dalam kereta dengan beberapa lapis bungkusan beg plastik dan ikat dengan kemas. Selepas itu buka semua tingkap kereta semasa memandu dan jangan memasang pendingin hawa. Biarkan udara dari luar masuk ke dalam kereta anda dan sekaligus memberikan edaran dan sistem pengudaraan yang lebih baik dalam kereta. Walau pun anda berusaha menghilangkan bau durian dalam kereta tetapi rakan anda akan tersinggung dengan ada apabila 'Sendawa Durian' semasa bercakap berhadapan. Memang kurang sopan jika dendawa durian dalam kelompok orang yang tidak suka bau durian. Wasallam!!.
BAU DURIAN... MELEKAT DIKERETA...
JADI PENING... MUNTAH DAN LOYA...
PELBAGAI KAEDAH ...BANYAK PETUA...
BACA ARTIKEL... BARU TERJUMPA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Durian Komersil,
Kg Sg Ruan, Raub,
Pahang, Malaysia.
(28 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...