Support My Blog

Saturday, September 10, 2016

VARIETI DURIAN TERPILIH - PART 2

DURIAN (Durio zibethinus Linn) merupakan sejenis buah tropika yang digelar 'Raja Segala Buah' kerena baunya dan keenakannya. Tanaman durian di Malaysia telah lama dikomersilkan ditanam secara monokrop semenjak dahulu disamping penanaman secara dusun campuran bersama buah-buahan lain. Penulis yang telah menulis lebih daripada 50 artikel mengenai durian masih berminat untuk menulis lagi mengenai beberapa varieti durian yang perlu diketahui dan diingati oleh petani dan peminat makan durian. Tahun 2016 ini mencatitkan sejarah tersendiri dimana harga beberapa varieti durian mencecah lebih RM40.00 sekilogram iaitu varieti Musang King (D197) kerana pengeluaran dari kebun yang berkurangan akibat cuaca panas, kurang air dan kering berpanjangan (El-Nino). Bagaimana pun penulis yang ada membuat tinjauan di sekitar Raub dan Bentong, Pahang iaitu kawasan utama pengeluaran Durian Musang King di negara ini mendapati purata harga purata jualan runcit adalah sekitar RM30.00 sekilogram pada hari biasa dan meningkat kepada RM35.00 sekilogram pada hari Sabtu dan Ahad. Merujuk kepada beberapa ushawan durian yang mendapat sijil MyOrganic mereka mendapat harga premium melebihi RM50.00 sekilogram. Penulis dapati sebiji durian musang King Organik seberat 2 kg telah dijual dengan harga RM100.00. Kalau beberapa tahun dahulu ini perkara yang mungkin tidak dipercayai tetapi pada tahun 2016 segalanya telah mengubah persepsi. Beberapa petani yang menjaga kebun durian mereka dengan baik dengan adanya sistem pengairan kawalan musuh dan penyakit dan menghasilkan buah durian berkualiti amat gembira dengan pulangan diterima. Ada yang dakwa musim ini mereka senang-senang dapat lebih dari setengah juta dari 5 ekar kebun durian musang king. Program cantuman dewasa durian dan penanaman durian Musang King kini menjadi satu trend dikalangan petani dan pengusaha durian disekitar Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut. Apa pun artikel kali ini saya akan mempaparkan dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti durian yang sepatutnya rakyat Malaysia tahu selain daripada Musang King sahaja.


(4) VARIETI D96 - BANGKOK A
Varieti Durian ini amat jarang dikenali oleh petani dan peminat durian di negara kita. Drurian D96 ini telah lama didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 1955 (61 tahun dahulu) dan kini masih ada ditanam di Pusat Pertanian Serdang, Selangor dan Pusat Pertanian Jambu Rias, Karak, Bentong, Pahang. Pokok asal semasa varieti ini didaftarkan adalah di PPK Serdang, Selangor oleh Jabatan Pertanian. Buah durian varieti ini mempunyai saiz buah yang sederhana besar dengan kulitnya berwarna gangsa apabila cukup matang. Lazimnya buah durian D96 mempunyai bahagian buah yang hujungnya bengkok sedikit dengan duri yang pendek serta rapat. Antara ciri unik verieti D96 adalah mengenai durinya dimana setiap 5 duri pada kulinya terdapat satu (1) duri kecil ditengahnya (Sila lihat foto diatas). Buah varieti ini mempunyai ciri iaitu berisi tebal dan berwarna kuning oren dengan rasa yang lemak dan manis. Penulis ada beberapa kali makan durian D96 semasa membuat lawatan ke PPK Serdang dan PPK Jambu Rias. Durian ini jarang ada dijual dipasaran terbuka.


(5) VARIETI D99 - KOP KECIL
Durian D99 adalah varieti KOP KECIL ('Kop' adalah dalam bahasa Thai yang bermakna 'Katak') yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian pada tahun 1970 (Kira-kira 46 tahun dahulu). Varieti ini dibawa masuk dari negara Thailand dan ditanam dibeberapa lokasi di Malaysia. Ciri penting varieti ini adalah buahnya yang sederhana besar yang berbentuk bulat tetapi DEMPAK ditangkai dan dihujungnya. Mungkin ramai kurang faham terminologi 'dempak', ia juga bermaksud permukaan yang agak rata terutama dibahagian atas dan bawahnya. Warna kulitnya adalah Hijau Gangsa dengan mempunyai jenis duri yang kecil dan tajam. Ciri isi durian D99 adalah berwarna kuning dengan sederhana tebal. Ia mempunyai ira yang halus dan lembik apabila masak. Isinya yang manis membuatkan varieti ini amat disukai oleh peminat durian. Ciri unik D99 adalah dibahagian bawahnya meembentuk seperti bulat dengan ada lurah dibahagian tengahnya (Sila lihat foto diatas). Saya beberapa kali makan durian jenis ini dan memang enak sekali.

(6) VARIETI D118 - TEMBAGA
Durian Tembaga dengan kos pendaftaran di Jabatan Pertanian Malaysia sebagai D118 merupakan antara varieti yang disukai ramai. Durian Tembaga unggul dari segi nama dan didaftarkan dengan Jabatan Pertanian pada tahun 1970 (46 tahun dahulu) yang pokok indul atau asalnya berada di Kuala Kangsar, Perak. Buah yang sederhana besar ini berbentuk bulat lonjong dan tidak sekata. Kulitnya berwarna hijau perak atau Hijau Tembaga apabila masak. Ia didapati mempunyai duri yang kecil dan tajam dan mempunyai pangsa yang mudah dilihat dari segi rupabentuk buah. Isinya berwarna kuning cerah dan agak tebal. Mempunyai rasa lemak dan manis serta pahit sedikit. Kini durian tembaga kurang ditanam dikawasan lain kecuali di Pusat-pusat Pertanian sebagai germplasma. Penulis hanya 3 kali makan durian tembaga sekitar tahun 1990'an dulu di Pusat Pertanian Serdang dan Pusat Pertanian Air Hitam, Johor. Artikel ini bersambung pada Part 1 dan Part 3. Wasallam!!..

VARIETI DURIAN...APAKAH GUNANYA...
D1 KE D200... PANJANG SENARAINYA...
ADA YANG PUPUS...DISYORKAN ADA...
ARTIKEL PILIH ..YANG POPULAR SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Bukit Goh,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(2 September 2016)
30 Zulkaedah 1437H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...