KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 23, 2016

ASAM JAWA - KHASIATNYA

ASAM JAWA (Tamarindus indica) adalah sejenis tumbuhan yang penting dari keluarga Fabaceae (Dulu Leguminoceae) dimana ia  menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia. Nama lain bagi asam jawa adalah Asam ; Asam Jawa ; Asam Kemal ; Asam Kuning (Melayu), Indian date ; Sweet Tamarind ; Tamarind (English), Anbli ; Ambli ; Chinh ; Imalii ; Tamarulhindi (India), Da Ma Lin ;; Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Cay me ; me ; Me chua (Vietnam), Kalamagi ; Salomagi ; Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam ; Kok mak Kham (Laos). Daya dapati tidak ada maklumat rasmi keluasan tanaman asam jawa di tanam di Malaysia tetapi penulis telah menganggarkan sekitar 25-30 hektar CHE. Saya memang minat makan ikan atau daging asam pedas yang mana komponen asam jawa, asam keping atau asam gelugor adalan satu kemestian sebagai ramuan. Kajian menunjukkan bahawa pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi di benua Afrika. Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Penulis belum jumpa ladang asam jawa di Malaysia secara meluas. Artikel subuh 7 Shawal 1432H ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat daripada Asam Jawa (Tamarindus indica) yang berpotensi untuk dimajukan di negara kita jika berminat.


Tumbuhan ini dikenali sebagai Tamarindus indica , Asam Jawa tumbuh liar dan adalah dipercayau natif di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian selatan Gurun Sahara. Tumbuhan ini perlukan kawasan yang agak panas kering dimana ia kini telah dikomersilkan dibeberapa negara seperti di Thailand dan Indonesia. Pokok asam jawa telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati dikebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika dan Amerika. Di Malaysia tanaman Asam Jawa tidak begitu dikomersilkan tetapi banyak ditanam di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia secara kecil-kecilan. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus, berwarna hijau muda dan menjadi hijau tua apabila telah matang. Apa yang saya perhatikan, pokok asam jawa boleh hidup dengan membesar dan tinggi mengikut kesesuaian tanah dan pengurusan tanaman. Buah asam jawa tergulong dalam jenis kekacang yang mana buahnya adalah agak bengkok, isinya berketul-ketul berbiji dengan iai lembut yang rasanya sama ada masam atau agak manis (varieti tertentu). Isi dan berwarna perang seperti warna kayu. Isi buah mudanya berwarna hijau dan lazimnya akan bertukar menjadi coklat apabila buahnya masak. Buah yang masak perlu dikutip dan dikmpulkan untuk diproses dikilang bagi dijadikan produk siap. Apa yang saya perhatikan, pokok asam jawa tumbuh paling baik dalam musim kemarau yang nyata tetapi sederhana. Di Malaysia, pokok asam ditanam atau tumbuh sendiri tetapi jarang dijadikan sebagai sumber ekonomi dan tidak ada laporan ststistik mengenai keluasan sebenar tanaman asam jawa di Malaysia. Terdapat beberapa jenis pokok asam, tetapi biasanya dibahagikan kapada dua, iaitu jenis yang manis dan yang masam. 


Buah pokok asam jawa yang kini ada varieti yang mempunyai manis banyak ditanam dan di jual di Thailand yang dimakan sebagai manisan dan snek. Terdapat polisi daripada Kementerian Pertanian Malaysia beberapa lama dulu untuk menggalakkan penggunaan produk berasaskan asam jawa sebagai minuman bentuk jus. Kini banyak bentuk produk asam jawa seperti asam jawa pejal dipasaran yang dibungkus. Produk asam jawa dalam bentuk pes, cecair, kordial dan kering juga merupakan satu bentuk pasaran baru. Malaysia adalah negara pengimport utama (net importer) produk asam jawa yang kini merupakan bahan utama penting dalam masakkan harian. Ia digunakan untuk memberikan rasa masam kepada makanan sehinggakan ada menu yang menggunakan asam jawa sebagai jenama resepinya. Antara masakan yang mesti gunakan asam jawa adalah makanan pedas seperti Asam Pedas Ikan Pari  dan beberapa lagi. Penulis paling suka makan nasi dengan lauk asam pedas Melaka atau Asam Pedas Parti Jawa, Muar atau Asam Pedas Tanjung Emas , Muar, Johor. Rasa masam dalam asam pedas mereka amat terasa .


KEGUNAAN DAN KHASIAT ASAM JAWA

Khasiat Asam Jawa memang telah banyak diperkatakan dalam saya membuat bacaan dan rujukkan. Lazimnya di negara Eropah, asam jawa yang dicampur dengan gula telah lama digunakan sebagai jem dan sirap sebagai minuman kesihatan. Saya dapati asam jawa juga telah digunakan sebagai sebahagian daripada ramuan sos untuk BBQ dan juga sos lain dalam masakan daging. Dibeberapa negara lain didapati sup tradisional disediakan dengan campuran asam jawa, gula dan kayu manis. Di India pula ada laporan yang mengatakan bahawa biji asam jawa dipanggang dan ianya kemudian direndam supaya kulitnya senang dikeluarkan. Biji tanpa kulit ini digoreng atau di rebus dan memang enak untuk dimakan sebagai makanan ringan. Biji asam jawa ini sebenarnya boleh dijadikan tepung atau kanji yang diasingkan untuk dijadikan bahan makanan. Terdapat juga di negara India yang mengunyah kulit pokok asam bersama dengan sireh atau dimakan begitu sahaja untuk tujuan menjaga kesihatan badan bagi kaum lelaki dan wanita. Amalan mengunyah kulit biji asam jawa dibuat terutamanya bagi wanita yang mengandung.


Bahagian bunga, daun, buah asam jawa yang belum masak dan benih yang belum bercambah juga memang dimakan oleh pelbagai kaum sebagai ulam atau lauk seperti kari. Terdapat juga buah asam jawa yang belum masak juga dibuat jeruk atau dimakan mentah seperti mangga muda. Bahagian akar asam jawa juga boleh digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas untuk membuang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar bagi kurang selera makan. Walau pun rasanya agak masam, air asam jawa boleh dicampur dengan bahan lain yang sesuai untuk lebih enak diminum. Kini telah banyak jus asam jawa dan kordial asam jawa yang dijual dipasaran untuk pengguna. Terdapat juga laporan mengenai kulit buah dan kulit kayu asam jawa sebagai ubat cirit birit. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa didapati mengandungi banyak tanin manakala isinya pula mengandungi banyak asid tartar. Kini dengan teknologi moden didapati kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak ulser dan gatal kerana digigit serangga.


Beberapa khasiat asam jawa adalah dengan meminum air rebusan daunnya diminum untuk dijadikan sebagai penawar demam panas. Daun muda yang dipetik dan di tumbuk lumat dan ditampal pada tempat tertentu didapati mampu untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Terdapat juga produk jus daun muda yang boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada berkenaan. Kulit kayu asam jawa yang direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah. Dinegara  Amerika Tengah, kegunaan utama asam jawa adalah didalam kaedah perubatan tradisional iaitu sebagai pelawas buang air besar. Asam Jawa juga mampu atau sesuai digunakan sebagai pelawas buang air kecil dan penawar demam panas dengan cara asam jawa dibancuh dengan air dan dicampur dengan gula sebelum diminum. Ada kaedah amalan dimana asam jawa yang belum dimasak direbus dan air rebusannya itu diminum untuk mengubati selesema. Air rebusan asam jawa daripada bahagian daun pula diminum untuk mengubati penyakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong. Bagi orang yang mengalami selesema yang sangat teruk, buah hijau asam jawa ditumbuk dan dicampur dengan daunnya dan beberapa tumbuhan lain sebelum direbus dan air rebusannya diminum. Banyak amalan di Malaysia yang manyatakan dengan meminum air asam jawa mampu menyejukkan suhu badan.


Sejak turun termurun kita telah tahu yang air rebusan daun asam jawa yang dicampur dengan daun limau dan daun durian belanda boleh dijadikan air minuman terutaman bagi menyegarkan badan.Dengan kita meminum air rebusan daun asam jawa mampu bertindak sebagai penawar masaalah selesema. Buah Asam jawa Masak dan direbus sehingga sebati boleh dijadikan minuman sirap asam jawa dimana ianya sangat mujarab untuk mengubati batuk. Juga ada laporan dengan buat air rebusan daun asam jawa diminum sebagai penawar demam campak. Jika air asam jawa dibuat air mandian, ianya mempu bertindak sebagai bahan penawar demam panas dan sakit otot. Selain itu dengan merebus daun asam jawa selama 20 minit dan selepas itu dicampur dengan air limau nipis dan gula, jika diminum boleh menjadi sebagai penawar demam. Khasiat lain adalah dimana air rebusan asam jawa memang boleh digunakan losyen bagi mengubati bengkak mata. Air rebusan air rebusan ini digunakan untuk mengubati jaundis dan pendarahan. Bagi biji asam jawa yang dipanggang, ada laporan yang menjadikan biji asam jawa akan diprroses menjadi tepung dan digunakan sebagai ubat cirit birit. Sebenarnya banyak khasiat asaam jawa yang kita tahu digunakan untuk tujuan kesihatan dan kecantikan. Produk asam jawa mudah kita beli dimana-mana kedai runcit dan harganya juga agak murah. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!!..
ASAM JAWA...BANYAK GUNANYA...
RASA MASAM...BANYAK ZATNYA...
PERASA MAKANAN...UTAMANYA...
KESIHATAN.... KECANTIKAN JUGA...

By,
M Anem

Senior Agronomist,
Dewan Putera
Bella Vista Resort and SPA
Kuah, Pulau Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(5 Mac 2013)

Ditulis semula pada Dec 2016.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...