Support My Blog

Friday, May 12, 2017

HARGA DURIAN MUSANG KING 'CEKIK DARAH'

HARGA DURIAN MUSANG KING 'CEKIK DARAH'?... begitulah tajuk muka depan akhbar KOSMO pada 11 Mei 2017 dan liputan penuh pada mukasurat 2 akhbar tersebut. Penulis yang baru melawat beberapa kebun tanaman durian Musang King komersil disekitar Daerah Raub, Pahang bagaimana pun tidak terkejut dengan tajuk akhbar tersebut kerana ia merupakan perkara yang baik untuk dilaporkan dalam akhbar perdana. Di Daerah Raub sahaja terdapat seluas 8,342 hektar kawasan tanaman durian daripada jumlah keseluruhan kawasan tanaman durian sebanyak 18,375 hektar (Sumber: Laporan statistik tanaman, Jabatan Pertanian Pahang 2016). Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?.... Apakah ianya satu fenomena biasa?... Apakah ada peranan orang tengah yang mengambil untung berlipat kali ganda sehingga dilabelkan sebaia 'cekik darah', Apakah peranan pihak tertentu yang menguruskan hal-hal tentang pemasaran tidak memainkan peranan mereka?... Adakah penanam durian musang king mengambil kesempatan mengenai perkara ini?... Apakah ia ada hubungkait dengan kes-kes yang berlaku dahulu sebagai 'Lambakkan Durian" sehingga merugikan petani?. Pada penulis perkara ini mudah sahaja jawapannya dimana ianya adalah berkaitan dengan perkara atau faktor 'bekalan dan permintaan' atau dalam bahasa Inggeris sering disebut 'Demand and Supply factor'. Kalau durian varieti Musang King atau nama lain dikenali sebagai Durian Raja Kunyit (Durio zibethinus) dengan nombor daftar varieti D197 ini dijual dengan harga tinggi memang berbaloi dengan kualiti yang ada pada varieti ini. Akhbar harian tersebut memang menyatakan durian musang king dijual dengan harga mencecah RM100.00 sekilogram. Walau pun durian musang king biasanya dijual sekitar RM35 hingga RM50 sekilogram, namun harganya telah melonjak mencecah RM100 sekilogram sejak beberapa minggu lalu seperti dilaporkan. Perkara ini amat wajar dibentangkan dalam akhbar untuk memberikan kefahaman kepada semua peminat durian diseluruh negara akan situasi ini. Artikel yang ke 4,392 malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu harga durian musang king yang tinggi pada bulan ini dan dikatakan sebagai 'cekik darah' berbanding beberapa tahun kebelakangan sebelum ini.

Apa pun wartawan yang melapor berita dari Kuala Lumpur ini menyatakan dimana ramai penggemar buah durian di negara ini mempertikaikan tindakan sesetengah peniaga yang mana didakwa mengambil kesempatan di atas populariti Musang King sebagai Raja Durian apabila ia dijual pada harga yang 'terlajak mahal' mencecah sehingga RM100 sekilogram sejak beberapa minggu lalu. Dalam tinjauan dibuat oleh wartawan Kosmo! semalam di beberapa lokasi di Chow Kit, Kuala Lumpur, Peta­ling Jaya dan Ampang, Selangor serta Bentong, Pahang mendapati rata-rata peniaga meletakkan harga tinggi antara RM80 hingga RM100 untuk sekilogram. Ini bermakna, seorang pelanggan perlu membelanjakan lebih RM150 sebiji hanya untuk mendapatkan sebiji Musang King yang bersaiz sederhana yang biasanya sebe­rat lebih sekilogram dengan purata antara enam hingga lapan ulas durian. Penulis blog dapati secara anggarannya adalah dimana bagi seorang penggemar durian terpaksa membayar harga RM20 untuk ha­nya seulas durian Musang King yang dimakannya. Jika dinikmati bersama ahli keluarga seramai lima orang sebagai contohnya maka kiraan yang penulis blog analisa maka ketua keluarga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM700 untuk lima biji buah durian Musang King. Ini pada penulis blog memang agak melampau dan diluar daripada kemampuan rakyat biasa. Mahu menanam durian sendiri tiada tanah dan ilmu pengetahuan selain daripada masa amat lama untuk menunggu durian musng king yang ditanam dan berjaya mengeluarkan buah sulong. Maka ramai peminat durian tegar akan terpaksa membelinya walau pun harganya amat tinggi. Penulis blog juga difahamkan kebiasaannya pada tahun-tahun sebelum ini harga buah durian Musang King dijual antara RM35 hingga RM50 sekilogram sahaja dimana penulis sendiri memang selalu membelinya di sekitar Bandar Raub atau kawasan berhampiran.

Wartawan seterusnya telah menemuduga beberapa peminat tegar durian musang king untuk mengukuhkan isu ini. Seorang penggemar durian, Amirul Zaiq Roselan yang berumur 27 berkata, kini ramai pihak tidak puas hati de­ngan harga pasaran Musang King yang dianggap ibarat mencekik darah (Sila lihat foto disebelah). Jelasnya dimana harga hampir RM100 sekilogram secara logiknya tidak mampu dibayar oleh orang biasa melainkan seseorang yang benar-benar meminatinya dan berduit. Ia mendakwa secara logiknya memang perkara ini tidak berbaloi untuk menghabiskan ratusan ringgit semata-mata untuk sebiji durian. Ini macam peribahasa lama 'Mahal tali daripada beruk' dimana hanya untuk memuaskan makan raja buah ini mengeluarkan perbelanjaan yang amat mahal. Kulit buah durian yang tebal dan berat juga terpaksa 'dibayar' walau pun tidak boleh dimakan'. Seterusnya Encik Amirul menyatakan berdasarkan pengalamanya, harga Musang King sebelum ini jauh lebih murah. Katanya dia pernah menikmatinya pada harga biasa sekitar hanya RM40 sekilogram. Namun pada kali ini dia terpaksa memilih buah durian jenis lain kerana merasakan peniaga mengambil kesempatan di atas populariti Musang King. Akhbar ini juga turut membuat analisa perbandingan harga semasa varieti durian untuk dijadikan panduan dan renungan. Durian Musang King atau Raja Kunyit dijual sekitar RM80 - RM100 sekilogram. Durian ini mempunyai rasa lemak manis dan kepahitan merupakan durian premium. Bagi varieti Durian Udang Merah ia dijual dengan harga RM30 - RM35 sekilogram dengan isinya berwarna kuning kemerahan dan mempunyai isi yang tebal. Durian varieti D24 pula dijual sekitar RM 30 - RM35 sekilogram sementara varieti Durian 'XO' pula dijual dengan harga 40 - RM45 sekilogram. Bagaimana pun Durian Kampung daripada kajian wartawan mendapati ianya dijual sekitar RM25 - RM30 sekilogram. Ini merupakan satu fenomena yang berulang dalam kitaran beberapa tahun mengenai harga durian yang mana ia memang sangat berkait dengan permintaan dan bekalan.

Dalam lawatan penulis ke Daerah Raub minggu lepas bersama pegawai Pertanian Daerah dan APK kawasan disekitar juga mendapati kawasan penanaman durian komersil sekitar Sg Klau, Kg Teras dan sekitar bukit di Gunung Benom hanya pokok durian dikawasan berbukit tinggi sahaja yang ada mengeluarkan buah durian Musang King sementara pokok durian yang ditanam dikawasan tanah pamah atau daratan rendah rata tidak menghasilkan buah atau hanya sedikit sahaja yang berbuah. Temubual dengan beberapa petani dan peraih Cina yang ditemi menyatakan faktor cuaca hujan berterusan dari bulan Febuari telah menyebabkan pokok durian yang sepatutnya berbunga dan berbuah hanya mengeluarkan pucuk baru sahaja. Keadaan ini berbeza dengan tahun 2016 dimana direkodkan berlaku kejadian El-Nino yang mana kemarau panjang selama 4.5 bulan juga menjejaskan pengeluaran hasil durian seperti musim biasa. Beberapa kebun yang mempunyai sistem pengairan baik, amalan agronomi yang sempurna dan juga Ladang Organik Durian menlaporkan tahun 2017 ini dijangka pengeluaran buah durian amat berkurangan. Bagaimana pun jika ada nasib mungkin separuh tahun kedua diharapkan akan ada buah durian musang king keluar. Kenyataan bagaimana harga durian musang king 'cekik darah' memang ada kebenarannya tahun 2017 kerana status bekalan yang sangat sedikit dan permintaan yang amat tinggi. Pesanan penulis blog anim agro technology kalau nak makan buah ini walau harga mahal, beli sahaja dan makan untuk sekadar 'rasa' sahaja. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!...

DURIAN POPULAR... MAHAL HARGANYA...
RM100 SEKILOGRAM...GILA DIBUATNYA...
BUAH KURANG... PEMINAT SELALU SUKA...
BAYAR SAHAJA... ASALKAN HATI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1092, Hotel Sri Manja,
Indera Mahkota, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(15 Syaaban 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...