KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, July 4, 2017

DAUN KADUK - TANAM DAN KHASIAT

POKOK KADUK (Piper sarmentosum) mungkin kurang dikenali ramai merupakan adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga Piperaceae yang terdapat di Malaysia dan natif dari negara kita. Tumbuhan ini juga terdapat di Brunei dan Indonesia. Penulis mempunyai satu pasu pokok kadok yang ditanam dikawasan rumah di Johor Bahru. Pokok kaduk ini ditanam didalam pasu dengan tanaman herba lain seperti serai wangi, tenggek burung, limau purut, serai biasa, pokok potong kolesterol, snake grass dan beberapa lagi. Daun Kaduk telah lama dikenali sebagai ulam yang dimakan segar bersama-sama nasi putih dan juga boleh dimasak dengan pelbagai cara mengikut kehendak pengguna. Pokok Kadok adalah tumbuhan herba renek yang tumbuh dengan adanya naungan. Tumbuhan ini ditanam untuk tujuan kegunaan sendiri dikeliling rumah atau dikawasan keliling kebun. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman kaduk di Malaysia tetapi penulis mengganggarkan sekitar 15-20 hektar CHE. Artikel maghrib pada 3 Shawal 1348H ini saya berkongsi maklumat mengenai tanaman pokok kadok. Pokok kadok mempunyai bentuk daun seperti daun sireh (Heart Shape) atau lonjong yang berwarna hijau gelap dan urat daun yang jelas dan berketak-ketak. Bahagian daun merupakan komponen yang digunakan sebagai ulam dimana daun ini akan mengeluarkan aroma atau bau apabila diramas atau di koyakkan. Daunnya mempunyai rasa seperti berlada (Pedas) dan sedikit pahit sesuai untuk dijadikan ulam yang segar. Kalau di masak daunnya menyebabkan rasa masakan kita akan menjadi lebih sedap terutama untuk masakan ikan, daging, udang kering, telur dan juga kerang-kerangan. Batangnya adalah jenis yang agak lembut berwarna hijau. Tumbuhan ini mempunyai akar serabut atau 'lateral roots' yang aktif. Artikel subuh raya ke 3 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman dan khasiat daun kaduk untuk dijadikan bahan bacaan semua.

Menanam pokok kaduk memang mudah dilakukan semua orang. Ini kerana ia sesuai ditanam dikawasan sekeliling rumah dengan penjagaan yang minima. Kawasan tanah kebun lembab serta mempunyai naungan amat sesuai untuk ditanam dengan kaduk. Kaedah pembiakan pokok kadok adalah dengan keratan batang dari pokok kadok yang matang. Potong 15-20 cm batang pokok kadok (pastikan mempunyai sekurang-kurangnya 3-4 matatunas) dan tanam dikawasan keliling rumah atau didalam bekas (Pasu, Polibeg, Kontena dan sebagainya yang telah diisi dengan media cocoapeat atau tanah campuran). Pokok kaduk perlu disiram pada peringkat awal penanaman. Pembajaan dengan baja organik adalah digalakan (Untuk dimakan sebagai ulam segar) dan baja semburan foliar yang mengandungi NPK boleh digunakan. Pokok Kaduk tidak mempunyai masaalah serangan penyakit dan perosak yang serius. Tanaman ini boleh juga dijadikan sebagai tanaman hiasan kawasan rumah bersama-sama dengan pokok ornamental lain (Lihat foto disebelah).Buang rumpai yang terdapat dikawasan tanaman dengan cara manual iaitu mencabut menggunakan tangan untuk kawasan yang sedikit. Bagi tujuan keselamatan maka elakkan menyembur sebarang racun rumpai, racun serangga dan racun kulat pada tanaman kadok. Pucuk kaduk yang lembut berwarna hijau muda perlu dijaga dan diperiksa sebelum memetiknya. Bagi petani yang menanam kaduk secara luas untuk pasaran komersil adalah digalakkan untuk mendapatkan Sijil MyOrganik daripada Jabatan Pertanian. Ini akan menjamin hasil pucuk kaduk ini berkualiti, selamat dimakan dan berkhasiat.

Tanaman kaduk mudah dan cepat membesar jika dijaga dengan rapi. Daun kadok boleh dipetik apabila berukuran tapak tangan atau saiz yang sesuai mengikut keadaan pokok (Sila lihat foto disebelah). Daun kadok yang terdapat di bahagian tengah lebih rangup untuk digunakan dan daun yang lebih bawah mempunyai rasa lebih pedas dan lebih pahit. Pemerhatian saya di kebun herba di kawasan Kulai, Johor Bahru ketika membuat lawatan kekebun tersebut mendapati penanaman daun kadok diatas batas dengan menggunakan plastik silvershine sangat memuaskan. Pengusaha ini menanam herba lain seperti selom, ulam raja, terung pipit, cekur, kesum, serai, halia bara, pegaga dan banyak jenis herba lagi. Menurutnya permintaan daun kadok di Johor Bahru tidak banyak iaitu sekitar 8 - 10 kilogram seminggu. Harga ladang sekitar RM 15.00 - RM 25.00 sekilogram. Daun kadok mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan tradisional Melayu sejak zaman dulukala. Tidak hairanlah jika dikatakan pokok kadok merupakan tumbuhan sangat berguna bukannya seperti cerita dongeng 'KISAH PAK KADOK'. Maklumat yang diperolehi mendapati khasiat tumbuhan kadok dapat menyembuhkan penyakit sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang. Daun kadok juga menyembuhkan panyakit panau, menghilangkan batuk-batuk serta membunuh cacing dalam perut. Daun kadok yang dimakan segar sebagai ulam (Lihat foto sebelah) atau dicelur atau direbus (daun lebih tua) didakwa membantu mengurangkan penyakit keputihan, menghilangkan gatal bahagian sulit dan pengguna akan awet muda.

Daun Kadok boleh dijadikan 'Urap' dimana daun muda perlu dipotong-potong dan dicampur dengan kelapa, cili api, garam, taugeh, selom dan pelbagai jenis ulaman. Masakan lemak cili api ikan, daging, ayam dan lain bahan dan sebagainya akan lebih enak jika dibubuh daun kaduk. Resipi istimewa saya pernah makan di Kelantan ialah makan ayam goreng yang dibalut dengan daun kadok dimana ia dimakan dengan nasi panas yang dihidangkan pada waktu tengahari ketika perut sangat lapar...Free pulak tu - boss belanja. Rasa ayam kampong yang agak lemak dengan rasa pahit dan pedas memang cukup menyelerakan. Harganya satu pinggan adalah berpatutan dengan keenakannya. Tumbuhan herba daun Kaduk merupakan khazanah dari negara kita yang perlu dimunafaatkan. Pihak tertentu perlu membuat kajian dengan lebih berkaitan varieti, kaedah pembiakan, pekej amalan teknologi tanaman, amalan agronomi, pengurusan lepas tuai, sistem pemasaran dan yang paling utama ialah teknologi pemprosesan. Kalau moyang kita telah menggunakan kadok dengan yakin makin tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat gunakan khasiat daun kadok dalam bentuk jus, ekstrak, pil, kapsul dan sebagainya. Kepada mereka yang berminat hendak tanam pokok kadok boleh mulakan dengan mendapatkan benih dari rakan-rakan atau saudara mara dikampong. 

Daun kaduk sesuai dijadikan ulam untuk dimakan bersama nasi panas. Daun kaduk mempunyai khasiatnya tersendiri terutamanya dalam bidang perubatan melayu. Daun kaduk sesuai digunakan untuk mengubati masaalah seperti kes sembelit, sakit gigi, demam malaria, cacing, lemah badan dan lenguh tulang, batuk dan juga panau. cara rawatannya ialah dengan merebus terlebih dahulu daun kaduk tersebut dan air rebusan tadi diberi minum kepada mereka yang mengalami masalah dan penyakit yang disebutkan di atas. Daun Kaduk Mengurangkan Keputihan. Pucuk kaduk selain dibuat ulam yang menyelerakan samada di makan mentah atau di celur, daun yg tua saya akan rebus, sejukan dan di buat air basuhan selepas membuang air kecil atau selepas habis haid. Khasiatnya ialah dapat menjadikan awet muda, mengurangkn keputihan, menghilangkan gatal dan juga kerengsaan pada bahagian sulit. Daun kaduk juga didakwa mampu membuang angin dalam badan. Anda juga boleh mencuba mengambil sekeping pinang dan dikunyah dalam mulut bersama akar pokok kaduk ini. Telan cecair yang keluar bersama untuk merawat batuk dan menghilangkan asma.Untuk rawatan sakit gigi dan gusi pula,anda boleh cuba kunyah daun kaduk bersama halia, ia juga berupaya mengurangkan sakit tersebut. Bagi sesetengah orang yang dijangkiti kulat pada bahagian kaki,anda boleh mengambil air rebusan akar dan daun kaduk dan rendamkan kaki anda. Jika anda mengalami masalah penghadaman, ambil air rebusan daun kaduk dan minum. la juga boleh merawat masalah usus dan mengeluarkan angin dalam perut. Ambil daunnya dan gosok pada bahagian yang mengalami kesakitan seperti pada kulit. Anda juga boleh makan daun kaduk ini bersama nasi dan ia berupaya membantu proses penghadaman di samping dapat mengatasi masalah angin dalam perut. Ambil beberapa helai daun kaduk dan panaskannya. Kemudian tampal pada bahagian dada untuk menghilangkan sakit dada. Jika anda menggunakan seluruh bahagian daun kaduk dan ia dijadikan ubat minum, ia berupaya merawat batuk dan kahak, melancarkan proses penghadaman dan menghilangkan senak perut. Semuga amalan makan ulam daun kadok akan menyebabkan badan kita sentiasa sihat. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada anda semua yang membaca blog anim agro technology. Wasallam!!..
Daging ayam dibalut daun kaduk.
DAUN KADUK... NATIF DI MALAYSIA...
MUDAH DITANAM... SENANG DIJAGA...
PUCUK DIMAKAN...ULAMAN HERBA...
PELBAGAI KHASIAT...KENA MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria, Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(4 Syawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...