Support My Blog

Wednesday, July 26, 2017

TEKNOLOGI BIAK BAKA KELAPA

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan satu jenis tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Terdapat seluas 87,500 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2017 dengan Negeri Johor, Selangor dan Perak mempunyai kawasan yang luas berbanding dengan negeri lain. Varieti kelapa Malayan Tall yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dengan nombor rujukkan CN1 merupakan varieti yang paling luas ditanam sekitar 80% daripada keseluruhan keluasan tanaman kelapa. Ini diikuti dengan kelapa varieti Kelapa MATAG (CN13, CN14 dan CN15), Kelapa Pandan (CN6) dan beberapa jenis kelapa renek lain seperti Kelapa Renek Kuning (MYD), Kelapa Renek Merah (MRD) dan kelapa lain. Walau pun masa ini anggaran hasil pengeluaran kelapa tempatan mencecah 650 juta biji setahun tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi. Oleh itu bagi kegunaan kilang memproses buah kelapa maka kerajaan perlu mengimport sebanyak purata 100 juta biji kelapa tua daripada negara jiran iaitu Indonesia setiap tahun. Hampir 20 buah kilang kelapa yang diberikan kebenaran khas (AP) untuk mengimport kelapa tua biji bagi kegunaan kilang kelapa yang mana kilang ini menghasilkan santan cair, santan serbuk, santan jenis premium, air kelapa, kerisek, hampas kelapa kering dan sebagainya. Malaysia kini juga mengeluarkan hasilan berasaskan kelapa untuk kegunaan domestik dan dieksport keseluruh dunia menggunakan jenis kelapa import dan sebahagian kecil dari kelapa tempatan. Kini kelapa varieti MATAG dan Kelapa Pandan meripakan jeni syang sangat popular untuk ditanam. Kelapa Matag adalah kelapa hibrid yang dihasilkan melalui kacukan diantara kelapa Tagnanan dan Kelapa renek (MYD atau MRD). Kelapa Matag mampu menghasilkan buah yang besar, cepat berhasil, jumlah hasil yang banyak dan kualiti buah kelapa pelbagai guna. Isu kekurangan benih kelapa Matag sering dibincangkan didalam banyak forum kerana permintaan untuk kelapa jenis ini amat tinggi sedangkan bekalan hanya sekitar 45,000 - 55,000 benih sahaja setahun oleh Jabatan Pertanian. Syarikat UP Plantattion dan NLFCS yang mempunyai ladang induk dan kepakaran khusus untuk menghasilkan benih kelapa Matag kini menjual sehingga lebih daripada RM50.00 sepokok untuk benih Matag F1. Kos pengeluaran benih Matag semakin mahal kerana kekurangan pokok induk untuk dikacukkan dan kos tenagakerja yang terus meningkat. Bagaimana pun perlu ada usaha untuk mencari benih hibrid kelapa yang berhasil tinggi dan cepat berbuah bagi menentukan pengeluaran kelapa tempatan mencukupi dimasa akan datang. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu laporan akhbar berkaitan teknologi biak kelapa untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. 


Pada masa ini Jabatan Pertanian, United Plantation Bhd. dan NLFCS merupakan pengeluar kelapa varieti Matag F1 yang diakreditasi. Jabatan Pertanian ada 4 pusat pengeluaran benih kelapa Matag F1 iaitu Stesyen Pertanian Jorak, di Pagoh, Muar, Johor dan Stesyen Pertanian Lekir di Perak di Semenanjung Malaysia sementara di Stesyen Tarat, Sarawak dan Stesyen Menumbok di Sabah. United Plantation pula ada pusat pengeluaran benih Matag di Teluk Intan sementara NLFCS mempunyai pusat pengeluaran benih Matag di Sg Siput, Perak. Apa yang berlaku adalah penjualan dan pengedaran benih Kelapa Matag F2 yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Benih kelapa Matag F2 ada yang diambikl daripada pokok kelapa Matag Tulin F1 dan disemai kemudian dijual kepada pelanggan. Benih ini memang TIDAK BOLEH dijual atau ditanam kerana iabukan kelapa matag sebenar. Bagi bekalan benih Kelapa Pandan ianya ada banyak pengeluar daripada Jabatan Pertanian Sendiri sehingga ada syarikat swasta yang telah dipersijilkan dibawah skim SPBT kelolaan Jabatan Pertanian. Penulis juga ada pengalaman untuk membangunkan sejenis kelapa renek yang berpotensi untuk ditanam selepas tahun 2020 iaitu varieti Kelapa Tacunan. Kelapa Tacunan ini adalah jenis kelapa renek tetapi menghasilkan buah dalam masa singkat (kurang 3 tahun) dengan saiz buah yang besar semacam kelapa Malayan Tall tetapi dari kumpulan jenis kelapa renek. Diharap kelapa Tacunan ini akan menjadi pilihan ramai pekebun kelapa dimasa akan datang apabila benih yang ada mula mengeluarkan buah untuk disemai dan diedarkan.

Penulis pernah beberapa kali melawat Stesyen Pertanian MARDI Hilir Perak di Teluk Intan, Perak untuk mrlihat aktiviti penyelidikan baka kelapa. Terdapat sebahagian pokok kelapa di ladang MARDI ini yang ditanam untuk mendapatkan varieti baru. Tinjauan mendapati ada pelbagai jenis pokok kelapa pada hasill penyelidikan pokok kelapa yang terdapat di ladang penyelidikan di Stesen MARDI Hilir Perak. Sedar atau tidak penggunaan kelapa tempatan per kapita kita melibtkan kelapa segar dan kelapa muda adalah 36 biji setahun. Kita sepatutnya perlu membangunkan industri tanaman ini kerana potensi serta pasrannya besar menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan tanaman kelapa melalui Jabatan Pertanian. Kini ada usaha penbangunan teknologi biak baka kelapa sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas di Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Hilir Perak yang berperanan sebagai Stesen Utama Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Bagi Tanaman Kelapa. Menurut rakan saya iaitu Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, En Ahmad Ngalim pusat tersebut berperanan menjalankan penyelidikan dalam bidang biak baka, agronomi, fisilogi, pengawalan musuh dan penyakit serta teknologi lepas tuai tanaman kelapa serta menjalankan aktiviti pemindahan serta pengkomersialan teknologi tanaman kelapa dan industri berkaitan. Pusat berkenaan juga mengadakan program latihan kepada petani dan pengusaha dalam bidang berkaitan tanaman kelapa, selain penyelidikan huluan tanaman herba dan lain-lain tanaman industri. Sebagai bukti pusat tersebut yang terus menjalankan penyelidikan mengenai kelapa dimana kawasan ladang penanaman bagi kelapa hibrid lama 17 hektar (ha), kelapa hibrid baharu (8.3 ha), janaplasma lama (34.5 ha), janaplasma baharu (9.5 ha) dan benih Matag (2.5 ha). Kata beliau setakat ini enam varieti yang dihasilkan tetapi belum diisytiharkan adalah MyLag, Marena, MyLeca, Marleca, Careni dan Careca yang masih dalam peringkat kajian akhir tetapi menunjukkan ciri ciri yang baik.Sebagai contoh varieti MyLag, Marena dan Careca antara yang menunjukkan hasil tinggi . Mereka menjangka dapat menjual anak benih varieti ini pada 2018. Lazimnya banyak proses perlu dilalui sebelum perisytiharan nama rasmi varieti baru kelapa berkenaan. MARDI perlu mempercepatkan untuk umumkan hasil kajian berkaitan varieti kelapa baru yang boleh menjadikan bekalan kelapa negara mencukupi dimasa akan datang. kalau boleh Malaysia mampu mengeksport buah kelapa dimasa akan datang bukan mengimport biji kelapa tua seperti sekarang. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!.

SUKARNYA MEMBELI...BENIH KELAPA...
HIBRID MATAG... JADI BURUAN SEMUA...
KELAPA GANTIAN... ADA KAJIAN BAKA...
RAMAI MENUNGGU... SUDAH LAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 952, Hotel Mariott,
Putraaya, WP,
Malaysia.
(2 Zulkaedah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...