KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, August 5, 2017

HALIA - KENAL JENISNYA

HALIA (Zingiber officinale) adalah tumbuhan herba yang paling mudah ditemui. Kebanyakan masakan bangsa Melayu tradisional menggunakan halia sebagai rempah untuk mewangikan masakan dan juga untuk menghilangkan bau sesetengah daging seperti daging kambing dan spesies ikan yang berbau hanyir. Halia adalah tumbuhan daripada famili Zingiberaceae. Halia atau zanjabil dalam bahasa arab ada disebut di dalam Al-Quran (ayat 17, Surah Al Insan) firman Allah Taala yang bermaksud “Dan mereka dalam Syurga itu, diberi dari sejenis minuman yang campurannya dari zanjabil”. Pada tinjauan penulis di Kg Janda Baik, Bentong, Pahang mendapati tanaman halia mudah membiak dengan cara pecahan rizom (Sila lihat foto diatas). Halia mudah tumbuh dengan subur di kawasan tanah bercerun yang mempunyai kelembapan yang tinggi dan mendapat sinar matahari yang cukup. Tumbuhan ini mempunyai batang yang tegak dengan rizom yang tersebar secara mendatar. Besar atau kecilnya halia ditentukan oleh varian jenisnya. Pada masa ini dua jenis halia komersil yang ditanam adalah dari jenis Halia Bentong dan Halia Sabah. Janie halia lain kebanyakannya hanya ditanam secara kecil-kecilan untuk kegunaan khusus dan perubatan. Sebagai contoh dimana jenis halia bara mempunyai rizom yang agak kecil berbanding dengan halia yang biasa digunakan dalam masakan selain dari warnanya yang agak kemerahan. Halia juga mempunyai bunga yang cantik, bunganya muncul dari celah kelopak daunnya dan terdiri dari bunga jantan dan betina. Halia sesuai tumbuh di kebanyakan iklim dan boleh tumbuh pada semua kawasan tropika tetapi baik pada kawasan agak tinggi.  Antara beberapa varieti halia adalah Halia Bentong, Halia Indonesia, Halia Cina, Halia Tanjung Sepat, Galia Tanduk Rusa, Halia Tambunan (Halia Sabah) dan Halia Bara. Rencana pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis atau varieti halia untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Tanaman Halia mempunyai beberapa varieti atau jenisnya di mana setiap varieti adalah berbeza dari segi bentuk rizom, warna, kepedasan dan aspek kandungan serat. Terdapat enam varieti yang popular dan menjadi pilihan pada pengusaha di Malaysia untuk dikomersialkan. Lawatan penulis ke Kg Janda Baik, BentongPahang dilakukan bagi menjalankan sendiri penanaman Halia Bentong disini (Sila klik disini). Penanaman Halia Bentong memerlukan tahap kemahiran dan modal yang besar berbanding dengan aktiviti tanaman lain. Kos terbanyak mengikut En Isnin yang penulis temui adalah untuk pembelian benih dimana ia memerlukan sebanyak 1 mt benih halia tua untuk ditanam dikawasan kebun seluas 1 hektar (Sila lihat foto disebelah). Lereng bukit disediakan jalur dan teres untuk menanam benih halia sekitar 4-5 cm dengan mempunyai tunas. Jarak tanaman diamalkan 0.25 m x 0.25m yang selalunya memberikan sebanyak 60,000 rumpun. Benih yang digunakan oleh En Isnin adalah hasil tuaian musim lepas dimana ia dipilih daripada rizom helia tua melebihi 12 bulan untuk dijadikan benih tanaman. Dengan menggunakan 3 pekerja upahan buruh asing, beliau telah siap menanam 80% daripada kawasan menggunakan benih sendiri. Ia memerlukan masa selama 12 tahun untuk menuai halia tua dan 6 bulan untuk halia muda. Kadang kala jika ada permintaan dengan harga baik beliau akan menuai dalam masa 8 bulan sahaja. Antara masaalah yang dihadapi dalam aktiviti penanaman halia adalah serangan penyakit reput umbisi dan kawalan rumpai terutama diperingkat awal penanaman. Menjadi amalan dimana kawasan bekas tanaman halia akan dibiarkan lama sebelum ia ditanam semula dengan tanaman halia. Sistem giliran tanaman ini dilakukan kerana menurut En Isnin jika kawasan tanah sama berterusan ditanam dengan halia ianya tidak sesuai seperti yang diharapkan. Menurutnya sebaik masa untuk kawasan dibiarkan tidak ditanam halia adalah selama 4 tahun.


1. Halia Bentong
Halia Bentong merupakan varieti utama yang menjadi pilihan penguasaha halia kerana mempunyai rizom yang besar (Sila lihat foto disebelah). Halia Bentong juga mempunyai kandungan serat yang sangat rendah dan berisi bendalir di mana ia akan menghasilkan lebih banyak jus, rizom berwarna pucat kekuningan dan isi rizom berwarna kuning cair serta tahap kepedasan yang tinggi. Ia juga dikenali sebagai halia bukit tinggi kerana ditanam di kawasan cerun bukit tanah tinggi seperti di Bukit Tinggi, Janda Baik dan Bentong Pahang. Harga bagi halia varieti ini merupakan yang paling tinggi berbandig dengan varieti lain iaitu harga ladang RM10.00 - RM15.00 sekilogram. Halia bentong dijual sebagai halia tua dan kajian penulis dapati ia jarang pengusaha menjualnya sebagai halia muda. Selain itu halia ini juga merupakan varieti halia yang berkualiti dan menghasilkan pendapatan yang lumayan. Halia bentong juga merupakan halia yang terbaik di dunia. Halia Bentong telah dipaten daripada segi geografi kawasan (GI) kerana penanaman oleh Kerajaan Malaysia, di mana Halia Bentong yang ditanam di Malaysia sahaja diiktiraf sebagai Halia Bentong. Sebaliknya, jika Halia Bentong ditanam di luar Negara, pengusaha tersebut tidak boleh mengiktiraf halia tersebut sebagai Halia Bentong. Halia Bentong mendapat permintaan baik dikalangan pengguna Sila baca mengenai halia bentong (Sila klik disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila klik Disini). Halia ini diusahakan secara komersil dengan ambil masa 1 tahun untuk mrnuainya.

2. Halia Indonesia
Halia di Indonesia dipanggil sebagai 'JAHE" dimana ia merupakan tanaman yang penting. Varieti Halia Indonesia mempunyai rizom yang panjang, isi rizom berwarna kuning muda serta mempunyai kandungan serat yang tinggi (Sila lihat foto disebelah). Halia ini juga merupakan antara baka halia pilihan pengusaha untuk diusahakan di Malaysia. Rizom halia ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan halia Tanjung Sepat. Justeru itu ramai pengusaha dan pengguna mengklasifikasikan Halia Indonesia dan Halia Tanjung Sepat sebagai halia yang sama. Tinjauan penulis blog mendapati halia ini cepat membesar jika ianya dijaga dengan bai.


3. Halia Tanjung Sepat
Halia Tanjung Sepat sinonim dengan kawasan penanamannya iaitu Tanjung Sepat, Selangor dan dikatakan memang mempunyai ciri hampir sama dengan jenis Halia Indonesia. Halia ini mempunyai rizom berbentuk kurus yang panjang dan berwarna kekuningan muda. Mempunyai rasa yang pedas dan berserat tinggi. Halia jenis ini merupakan halia makan yang sering ditanam oleh pengusaha halia di Malaysia. Dalam pada itu oleh kerana kandungan seratnya yang tinggi didapati halia tanjung sepat diusahakan sebagai halia muda. Halia muda ini dituai pada umur 6-7 bulan selepas ditanam terutama dikawasan tanah gambut dalam.

4. Halia Tanduk Rusa
Halia Tanduk Rusa merupakan halia yang dipercayai berasal daripada Negara Thailand. Halia jenis ini mempunyai rizom yang besar dan memanjang ke atas (Sila lihat foto disebelah). bagaimana pun jika halia ini ditanam dikawasan tanah subur dan diberikan baja dan air mencukupi maka bentuk tanduk rusa sedikit berubah. Halia ini mempunyai isi rizom berwarna kuning muda serta mempunyai rasa pedas yang kurang serta mempunyai kandungan serat yang tinggi. Mempunyai rupa rizom seakan-akan halia bentong. Ini menyebabkan ramai pengusaha dan pengguna tersalah membeli halia ini pada harga halia Bentong.

5. Halia Cina
Halia yang semakin popular dikalangan orang Malaysia adalah Halia Cina. Halia ini mempunyai jari-jari rizom yang besar penuh berisi, berlendir dan sederhana pedas. Isi rizom berwarna kuning pucat keputihan. Halia cina mempunyai satu ciri khas iaitu kandungan serat yang tinggi. Halia ini juga banyak digunakan di dalam pelbagai jenis masakan kerana rasanya yang kurang pedas. Di Malaysia halia cina ini juga ditanam tetapi jumlah keluasannya hanya sedikit sahaja. Halia Cina ini ditanam datas tanah dan ada yang menanamnya dalam bekas polibeg besar seperti yang  penulis jumpa di Highland Sprouts Organic Farm berhampiran Pekan Bukit Tinggi.

6. Halia Tambunan
Halia Tambunan juga selalu dipanggil sebagai 'Halia Sabah'. Walau pun halia ini asalnya banyak ditanam di Tambunan, Sabah tetapi kini sudah tersebar untuk ditanam dikawasan lain. Halia ini juga merupakan produk pertanian yang paling utama di daerah Tambunan, Sabah. Halia Tambunan mendapat nama bersempena daerah Tambunan sebagai kawasan penanaman halia terbesar di Sabah. Mempunyai kualiti yang hampir sama dengan halia bentong. Ramai pakar botani berpendapat bahawa halia Tambunan berasal daripada halia Bentong yang dibawa dan ditanam di Sabah serta diberikan nama baru iaitu halia Tambunan.

7. Halia Bara
Nama Halia Bara memang terkenal dikalangan masyarakat Melayu kerana dakwaan mengenai khasiatnya. Nama saintifik bagi halia bara ialah Zingiber officinale var rubrum darii keluarga sama. Halia bara sama seperti halia biasa iaitu mempunyai batang yang tegak dengan rizom tersebar secara mendatar. Besar atau kecil saiz rizom bergantung pada jenis halia. Beza antara halia bara dengan halia biasa ialah saiz pokoknya lebih kecil, rizom agak kemerahan, bau lebih kuat, rasa pedas yang tinggi, daun berbentuk linear tersusun secara berselang, licin dan berwarna hijau cerah ke hijau gelap. Secara keseluruhan, sifat halia bara sama seperti halia biasa kecuali saiz, warna rizom, dan bunga serta baunya yang agak kuat. Halia bara juga kadang-kadang dipanggil dengan nama halia merah, halia udang atau di Indonesia dipanggil Halia Emprit. Halia bara ini digunakan didalam perubatan dan juga kecantikan. Halia Bara didakwa mempunyai kandungan nilai perubatan yang tinggi serta mempunyai pasaran bagi segmen pharmaseutikal dan industri pemakanan. Pusat Pertanian Bumbung Lima, Pulau Pinang merupakan satu pusat yang membuat kajian dan pembiakan halia bara kelolaan Jabatan Pertanian Malaysia.
Demikianlah 7 jenis atau varieti halia yang ditanam di Malaysia walau pun kesemua varieti ini belum didaftarkan dibawah Plant Variety Listing Jabatan Pertanian. Diharap akan ada pihak yang akan mendaftarkan varieti ini dengan mengisi borang DK-1 dimasa akan datang. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
MENANAM HALIA... KENAL VARIETINYA...
HALIA BENTONG... LUAS TANAMNYA...
HARGANYA MAHAL..BENTONG ASALNYA...
VARIETI LAIN...DIBUAT RUJUKKAN SAJA...

By,
M Aben,
Senior Agronomist,
Kg Janda Baik, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(5 Zulkaedah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...