Support My Blog

Saturday, August 19, 2017

TANAM JAGUNG MANIS - JANA PENDAPATAN

JAGUNG MANIS (Zea mays) merupakan sejenis makanan yang dihasilkan melalui penanaman jagung manis di negara kita. Tanaman Jagung merupakan tanaman yang ditanam berasal dari kawasan asal di Lembah Sungai Balsas iaitu yang berada di Mexico Selatan sebagai tanaman makanan utama waktu itu. Kajian saintis juga mendapati terdapat sehingga 12% bahan genetik di dapati dari Zea mays spp. mexicana melalui proses introgression yang ujud sehingga kini. Pada masa ini penanaman jagung manis dalam negara kebanyakannya adalah dari jenis kacukan atau hibrid yang diimport dari luar negara. Keluasan penanaman jagung di Malaysia sekitar 6,500 hektar CHE setiap tahun dimana hampir 90% adalah daripada varieti Jagung Manis Hibrid. Benih jagung manis hampir 80% adalah diimport daripada luar negara dan hanya beberapa syarikat tempatan seperti GWG yang ada menghasilkan benih jangung manis hibrid dalam negara. Kawasan pengeluaran utama jagung manis di Malaysia adalah di Johor, Selangor, Perak dan Pahang. Di Johor sahaja mampu untuk menghasilkan sebanyak lebih dari 35% daripada bekalan jagung manis untuk pasaran tempatan dan eksport. Eksport utama jagung manis segar adalah ke Singapura. Berbanding dengan penanaman jagung bijirin untuk makanan ternakan haiwan, penanaman jagung manis lebih dominan kerana hanya perlukan 3 bulan sahaja untuk menuainya. Jagung manis juga kini dijadikanan makanan snek yang popular menjadi produk 'cup corn' yang dijual di pusat membeli belah dan gerai makanan yang ada di lebuhraya. Syarikat seperti Nelson diantara yang syarikat yang mempelopori produk berasaskan jagung manis cup corn terkenal di Malaysia dengan pasaran segar. Artikel malam Ahad ini sambil menionton perlawanan bolasepak diantara JDT dengan Perak saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu lagi testimoni mengenai penanam jagung yang berjaya ditulis dan dilaporkan dalam akhbar tempatan.


Dalam akhbar tersebut yang bertajuk 'Tanaman jagung buka peluang kerja' mempaparkan En Azam iaitu pengusaha tanaman jagung berjaya di Kedah (Sila lihat foto disebelah). Dimulakan dengan kenyataan dimana keputusan seorang pesara tentera mengusahakan tanaman jagung di sebidang tanah terbiar di Kampung Salit, Jitra, Kedah sejak tiga tahun lalu mengubah nasib dirinya dan keluarga. Laporan akhbar menyatakan dimana bukan saja mampu meraih puluhan ribu ringgit setiap bulan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dalam menuai hasil tanaman. Pengusaha tersebut iaitu Azam Din berumur 62 tahun menyatakan dimana sejak bersara pada 1990 dia melakukan pelbagai kerja di kampung termasuk menjaja buah-buah tempatan di pasar sehari sekitar daerah ini. Pendapatan masa itu tidak menentu bergantung kepada buah yang bermusim dan faktor cuaca. Kemudian telah timbul idea untuk mengusahakan tanaman jagung manis dan pisang berangan yang dilihat mempunyai potensi sepanjang tahun dan kebetulan di kampung ini banyak tanah ada pemilik, tetapi terbiar oleh tuannya. Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan penulis dan kumpulan panel hakim pertandingan pekebun jaya peringkat kebangsaan. Menurut temubual yang dijalankan dinyatakan hasil rundingan bersama tuan tanah persetujuan dicapai memajukan tanah seluas 2.8 hektar untuk jagung dan pisang, 0.9 hektar relung menggunakan modal daripada simpanan saya sendiri.


Pada masa ini tuan tanah telah bersetuju membenarkan beliau mengusahakan tanah ini selama tiga tahun tanpa sewa dan selepas ini perjanjian dibuat semula untuk berbincang berkaitan sewanya. Di Malaysia dilaporkan terdapat lebih daripada 200,000 hektr tanah terbiar yang boleh dibangunkan dengan pelbagai projek pengeluaran makanan dan maklumat ini boleh diperolehi daripada Bank Data Jabatan Pertanian seluruh negara. Tanah terbiar ditakrifkan sebagai tanah bermilik yang tidak diusahakan selama 3 tahun berturut-turut atau untuk tanah sawah yang tidak diusahakan selama 6 musim padi. Pada peringkat awal penanaman beliau membuat rujukkan dengan pegawai pertanian kawasan berhampiran berkenaan dengan cara-cara menanam jagung manis dan mendapatkan bantuan bahan input pertanian. Tanah tersebut dibajak dan dibina batas serta dipasang dengan sistem pengairan sesuai untuk tanaman jagung manis. Benih jagung manis jenis hibrid yang dibeli daripada pembekal tempatan daripada beberapa varieti yang menerima pasaran baik. Penanaman dilakukan secara berperingkat-peringkat untuk mempastikan hasil kutipan dilakukan mengikut kehendak pasaran.


Dalam beberapa musim beliau menanam jagung manis dinyatakan aktiviti ini memang memberikan pendapatan yang membanggakan. Beliau mampu untuk memperoleh pendapatan ladang sekitar RM15,000 bagi semusim jagung Taiwan dan RM30,000 untuk pisang setiap kali penuaian serta menjualnya sendiri kepada pelanggan. Aktiviti menjual jagung manis dengan sendiri lebih menguntungkan berbanding dengan jika beliau jual borong kepada peniaga pasar malam atau pemborong dari pasar tempatan. Kualiti jagung manis dari kebun beliau banyak terdiri daripada Gred A iaitu lebih daripada 60% (Sila rujuk foto disebelah). Sementara bakinya adalah Gred B dan hanya sedikit sahaja yang jatuh pada Gred reject. Dakwa beliau penggunaan baja foliar dan baja asas penanaman jagung manis memberikan buah yang bersaiz besar dengan isi yang padat serta manis. Projek ini turut memberi peluang pekerjaan kepada belia tempatan yang mengambil upah setiap kali musim menanam dan menuai hasil kerana jagung cuma mengambil masa 65 hari saja untuk dituai manakala pisang, lapan bulan. Azam turut menggunakan pengalaman 13 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di Kem 36 Workshop Sungai Petani untuk membangunkan sistem pengairannya sendiri dan telah mengubahsuai mesin pembajak bagi kegunaan kebunnya. Akhir kata beliau nyata untuk meluaskan lagi projek tanaman dengan mengusahakan nanas moris di kawasan tanah terbiar seluas 3.36 hektar di kampung ini dan kini dalam proses penanaman anak pokok. Nenas ini merupakan satu usaha tambahan memandangkan permintaan untuk buah nenas segar amat baik di sekitar Negeri Kedah. Beliau juga akan memohon untuk menanam nanas MD2 yang diwar-warkan sangat baik dipasaran domestik dan pasaran eksport dimana beliau akan menghubungi LPNM untuk mendapatkan bantuan benih Nenas MD2 dimasa akan datang. Penanaman jagung manis oleh En Azam boleh dijadikan contoh kepada usahawan lain dalam menghasilkan makanan yang berjaya. Wasallam!...
MENANAM JAGUNG... AKTIVITI BIASA...
JAGUNG MANIS.. 3BULAN SAHAJA....
USAHAWAN BERJAYA...BEKAS TENTERA...
KAWASAN TANAMAN... DAERAH JITRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Felda Taib Andak, Kulaijaya,
Johor, 
Malaysia.
(13 Zulkaedah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...